Pages

Saturday 5 May 2012

Kemanusiaan yang dilupakan


Dalam sibuk-sibuk umat Islam meng’update’ dan menyebarkan perkembangan politik tempatan, gosip-gosip artis, ‘isu panas’ mengenai moral ahli politik dan bermacam-macam lagi, isu Palestin merupakan isu global yang tidak patut diabaikan dan dilupakan.

Tahukah kita? Sejak tahun 1967 sehingga sekarang, sudah hampir 750 ribu penduduk tempatan Palestin ditangkap, berpuluh-puluh ribu dalam kalangan mereka adalah kanak-kanak.
Menurut statistik terbaru, hampir 75 ribu telah ditangkap sejak bermulanya Intifadha Al-Aqsa.

Tahanan kami..Aqsa kami..

Tahanan penjara

Bilangan tahanan Palestin yang merengkok dalam penjara rejim Zionis kian bertambah dari hari ke hari. Anggaran sehingga hari ini mencecah 4600, merangkumi 8 orang tahanan wanita, 138 kanak-kanak, 309 pekerja  awam dan 27 orang ahli politik dan mereka  yang memegang jawatan penting dalam kerajaan sah Palestin, antaranya Dr Abdul Aziz Dweik yang merupakan Ketua Dewan Perundangan Palestin.

Dr Abdul Aziz Dweik

Jenis dan tempoh penahanan

Dalam kalangan tahanan-tahanan tersebut, terdepat lebih kurang 533 orang tahanan yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup! Hukuman yang paling lama dikenakan oleh rejim pengganas Zionis dalam sejarah ialah ’67 life sentence’, dikenakan ke atas Mujahid Al-Qassam, Abdullah Al-Barghouthi.

 Abdullah Al-Barghouthi

Terdapat juga tahanan yang dikenakan hukuman penjara melebihi 20 tahun! Menurut statistik, jumlah tahanan jenis ini mencecah 57 orang! Dalam kalangan ini pula, terdapat 23 tahanan yang ditahan melebihi 25 tahun!


Jenis hukuman yang paling ekstrim yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis ialah ‘Kurungan seorang diri’, tahanan yang dikenakan hukuman ini ditempatkan dalam satu sel yang kecil dan gelap berukuran 200x220 cm! Ruang udara pula perukuran 10 cm! Mereka terputus hubungan dengan dunia luar, seolah-olah berada di dalam ‘kubur’! Mereka tidak dibenarkan mengikuti perkembangan semasa, diziarahi oleh keluarga, jika tidur dipaksa bangun, jika sedang solat diganggu, dihalang membaca Al-Quran hatta bersenam pun tak dibenarkan! Bilangan mereka mencecah 22 orang.

Hasan Salamah, tahanan kurungan seorang diri selama 12 tahun!

Terdapat juga 8 orang tahanan wanita, mereka ditempatkan di tempat yang tidak sepatutnya bagi seorang wanita. Rejim Zionis seolah-olah bukan penduduk bumi! Tidak mempedulikan hal ehwal dan hak-hak yang diiktiraf dan diketahui oleh penduduk dunia terhadap seorang wanita!

Ahlam Tamimi yang sudah dibebaskan

Selain itu, terdapat hampir 202 tahanan yang syahid di dalam penjara! Mereka syahid disebabkan:

i)                    Kecedaraan yang mereka alami akibat diseksa tidak diberikan rawatan
ii)                   Pembunuhan secara ‘direct’ oleh rejim Zionis

Bagaimana rejim Zionis ‘melayan’ mereka?

i)                    Menahan tanpa bicara
ii)                   Kurungan seorang diri yang mengakibatkan tekanan fizikal dan mental
iii)                 Keluarga tahanan dari wilayah Gaza dilarang menziarahi mereka
iv)                 ‘Undang-undang Shalit’, di mana mereka dihalang mengikuti perkembangan semasa dan menuntut ilmu
v)                  Melakukan siasatan dengan mem’bogel’kan tahanan, seksaan secara ‘berjemaah’ serta menyerang mereka di tengah malam  

Mogok lapar

Pada tanggal 17 April 2012, para tahanan telah bersepakat untuk membuat mogok lapar secara besar-besaran di dalam penjara, sebagai tanda protes mereka ke atas rejim Zionis yang menindas dan tidak menunaikan hak-hak serta kewajipan terhadap para tahanan. Ini merupakan kemuncak kesabaran mereka terhadap kezaliman rejim Zionis. Mereka juga membuat beberapa tuntutan:

i)                    Mansuhkan penahanan tanpa bicara
ii)                   Mansuhkan kurungan seorang diri
iii)                 Benarkan ahli keluarga tahanan menziarahi mereka
iv)                 Layanan yang berperikemanusiaan
v)                  Menetapkan undang-undang ketika menyiasat

Mogok bertemakan 'Kami hidup dengan kemuliaan!'


Apa peranan aku?

Wahai umat islam! Apa lagi yang perlu dipaparkan kepada kita mengenai tahanan Palestin ini?

Tidak tersentuh ke hati kita membaca statistik yang dipaparkan?

Tidak berperasaankah kita?

Tidak berhati perutkah kita?

Sudah hilangkah nilai-nilai seorang manusia?

Sudah hilangkah rasa kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam?

Ayuh! Hayya! Jom! Lakukan sesuatu, sumbangkan semampu yang boleh dengan:

i)                    Update perkembangan semasa mereka
ii)                   Sebarkan isu dan berita mereka
iii)                 Doakan mereka dalam setiap Qiamullail dan selepas solat
iv)                 Kempen besar-besaran, melalui artikel-artikel, tayangan video, pementasan teater dan sebagainya
v)                  Ambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang melibatkan isu mereka

p/s: untuk info-info tambahan dan meng'update' isu ini, disarankan website ini http://www.palinfo.com/ Juga terdapat terjemahan dalam pelbagai bahasa.





Tuesday 1 May 2012

Ada apa dengan Facebook?



Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang membuang masa berjam-jam di hadapan komputer sedangkan Allah s.w.t sangat mengambil berat akan penjagaan masa sehingga dinamakan satu surah dalam Al-Quran dengan ‘Al-Asr’:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.(103:1-3)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang chatting berjam-jam dengan bukan mahram sedangkan Allah s.w.t melarang hamba-Nya daripada mendekati perkara-perkara yang boleh mendatangkan zina:

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.(17:32)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang post dan share perkara-perkara yang mempromosi maksiat sedangkan aku membaca firman Allah:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan kemaksiatan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.(5:2)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang asyik bergaduh dan suka cari pasal dengan orang yang berbeza pandangan dan aliran, mencaci maki, menggunakan bahasa yang kasar dan kesat serta memburuk-burukkan dan mengutuk-ngutuk, sedangkan Allah s.w.t telah memberi panduan mengenai cara berinteraksi dengan perbezaan pandangan:

..Dan berdialoglah dengan cara yang terbaik. (16:125)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang sanggup menyebarkan hadis-hadis palsu tanpa merujuk sumbernya atau ulama’ yang sepatutnya sedangkan baginda telah memberi amaran yang berat terhadap golongan yang menyebarkan hadis palsu melalui sabda baginda:

..Sediakanlah tempatnya di dalam neraka.(Muttafaq ‘alaih)


Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang leka ber’fb’ sehingga mengabaikan solat sedangkan Allah s.w.t telah menetapkan solat pada waktu-waktu tertentu dan Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa solat pada (awal) waktunya merupakan antara sebaik-baik amalan:

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.(4:103)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang menghabiskan malam-malamku melayan ‘fb’ sedangkan Rasulullah s.a.w menghabiskan malam-malam baginda dengan ibadah dan khulwah dengan Allah (tidur baginda juga ibadah), para ulama’ juga membahagikan malam mereka sepertiga untuk tidur, sepertiga untuk mengkaji ilmu dan sepertiga untuk  beribadah. Allah s.w.t telah menjanjikan syurga buat hamba-hambaNya yang:

Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.(51:17-18)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang tidak menjaga pandangan dengan melihat gambar-gambar manusia yang mendedahkan aurat sedangkan aku sering mengulang-ulang firman Allah s.w.t:

Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya..” (24:30)
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya..” (24:31)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang sesuka hati meletakkan gambar-gambar peribadi yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang lain, sedangkan Allah s.w.t memerintahkan supaya:

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.(66:6)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih dengan keadaanku yang sibuk berkongsi kisah-kisah artis, gosip-gosip panas, tuduhan-tuduhan berbaur politik dan aib-aib peribadi pemimpin tanpa teringin langsung berkongsi dan menyebarkan kata-kata hikmah, kalam-kalam ulama’ dan kisah-kisah benar yang boleh dijadikan panduan dan teladan, sedangkan Allah s.w.t memerintahkanku supaya:

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberi (hak) kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.(16:90)

Semoga Allah s.w.t mengurniakan kekuatan kepada seluruh umat Islam untuk menggunakan segala kemudahan dan teknologi yang dikurniakan di dunia ini dengan sebaik-baiknya, sebagai jalan untuk umat Islam berkhidmat terhadap agama Allah s.w.t, menyebarkan keadilan dan kasih sayang kepada seluruh alam dan seterusnya menegakkan kalimah-Nya di atas muka bumi ini. Insha Allah