Pages

Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Tuesday, 1 May 2012

Ada apa dengan Facebook?



Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang membuang masa berjam-jam di hadapan komputer sedangkan Allah s.w.t sangat mengambil berat akan penjagaan masa sehingga dinamakan satu surah dalam Al-Quran dengan ‘Al-Asr’:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.(103:1-3)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang chatting berjam-jam dengan bukan mahram sedangkan Allah s.w.t melarang hamba-Nya daripada mendekati perkara-perkara yang boleh mendatangkan zina:

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.(17:32)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang post dan share perkara-perkara yang mempromosi maksiat sedangkan aku membaca firman Allah:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan kemaksiatan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.(5:2)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang asyik bergaduh dan suka cari pasal dengan orang yang berbeza pandangan dan aliran, mencaci maki, menggunakan bahasa yang kasar dan kesat serta memburuk-burukkan dan mengutuk-ngutuk, sedangkan Allah s.w.t telah memberi panduan mengenai cara berinteraksi dengan perbezaan pandangan:

..Dan berdialoglah dengan cara yang terbaik. (16:125)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang sanggup menyebarkan hadis-hadis palsu tanpa merujuk sumbernya atau ulama’ yang sepatutnya sedangkan baginda telah memberi amaran yang berat terhadap golongan yang menyebarkan hadis palsu melalui sabda baginda:

..Sediakanlah tempatnya di dalam neraka.(Muttafaq ‘alaih)


Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang leka ber’fb’ sehingga mengabaikan solat sedangkan Allah s.w.t telah menetapkan solat pada waktu-waktu tertentu dan Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa solat pada (awal) waktunya merupakan antara sebaik-baik amalan:

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.(4:103)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang menghabiskan malam-malamku melayan ‘fb’ sedangkan Rasulullah s.a.w menghabiskan malam-malam baginda dengan ibadah dan khulwah dengan Allah (tidur baginda juga ibadah), para ulama’ juga membahagikan malam mereka sepertiga untuk tidur, sepertiga untuk mengkaji ilmu dan sepertiga untuk  beribadah. Allah s.w.t telah menjanjikan syurga buat hamba-hambaNya yang:

Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.(51:17-18)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang tidak menjaga pandangan dengan melihat gambar-gambar manusia yang mendedahkan aurat sedangkan aku sering mengulang-ulang firman Allah s.w.t:

Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya..” (24:30)
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya..” (24:31)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang sesuka hati meletakkan gambar-gambar peribadi yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang lain, sedangkan Allah s.w.t memerintahkan supaya:

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.(66:6)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih dengan keadaanku yang sibuk berkongsi kisah-kisah artis, gosip-gosip panas, tuduhan-tuduhan berbaur politik dan aib-aib peribadi pemimpin tanpa teringin langsung berkongsi dan menyebarkan kata-kata hikmah, kalam-kalam ulama’ dan kisah-kisah benar yang boleh dijadikan panduan dan teladan, sedangkan Allah s.w.t memerintahkanku supaya:

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberi (hak) kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.(16:90)

Semoga Allah s.w.t mengurniakan kekuatan kepada seluruh umat Islam untuk menggunakan segala kemudahan dan teknologi yang dikurniakan di dunia ini dengan sebaik-baiknya, sebagai jalan untuk umat Islam berkhidmat terhadap agama Allah s.w.t, menyebarkan keadilan dan kasih sayang kepada seluruh alam dan seterusnya menegakkan kalimah-Nya di atas muka bumi ini. Insha Allah

Sunday, 1 April 2012

Jom Munajat !


Pernah salah seorang murid Imam Ahmad bin Hanbal bertanya :

 “ Wahai Abu Abdullah! Apa pendapat kamu terhadap puisi yang menyebutkan tentang syurga dan neraka?”

Imam Ahmad bin Hanbal menjawab: “Contoh seperti puisi mana?”           

Muridnya menjawab: “Seperti yang diucapkan oleh pemuisi-pemuisi (membacakan syair di bawah):


إذا ما قال لـي ربـى أمـا استحييـت تعصينـي           *****            وتخفى الذنب عن خلقـى وبالعصيـان تأتينـى
Jika Tuhanku bertanya kepada ku Tidak malukah kau bermaksiat kepada-Ku?
Kau sembunyikan dosamu dari pandangan makhluk-Ku dan datang pada-Ku dengan penuh dosa

فكيف أجيب يا ويحى ومن ذا سوف يحمينى        *****         أسلـى النفـس بالآمـال مـن حيـن إلـى حـيـن
Bagaimana aku nak jawab duhai diriku yang malang? Dan siapalah yang dapat selamatkanku?
Aku terus menyogok jiwaku dengan impian dan harapan dari semasa ke semasa

وأنسـى مـا وراء المـوت مـاذا بعـد تكفيـنـى          *****          كأنى قد ضمنت العيش ليـس المـوت يأتينـى
Dan aku sering melupakan apa yang bakal aku lalui lepas mati dan selepas dikafankan
Seolah-olah aku dah dijamin akan hidup selamanya, seakan-akan mati itu takkan datang

وجاءت سكرة الموت الشديدة من سيحمينى        *****        نظرت إلى الوجوه أليس منهم من سيفدينـى
Dan sakaratul maut datang padaku dengan ngeri. Nah, siapa yang akan melindungiku?!
Aku melihat pada wajah-wajah orang lain, ada ke yang akan menebusku?

سأسـأل مـا الـذى قدمـت فـى دنيـاى ينجينـى           *****      فكيف إجابتى مـن بعـد مـا فرطـت فـى دينـى
Aku akan disoal apa amal yang telah aku buat di dunia yang boleh menyelamatkanku?
Bagaimana aku nak jawab setelah aku abaikan agamaku?

ويـا ويـحـى ألــم أسـمـع كــلام الله يدعـونـى            *****       ألم أسمـع لمـا قـد جـاء فـى قـاف و ياسيـن
Celakanya aku! Tidakkah aku (dahulu) mendengar ayat-ayat Allah?
Tidakkah aku mendengar apa yang telah diceritakan dalam (surah) Qaf dan Yasin?

ألم أسمع بيوم الحشـر يـوم الجمـع والديـن               *****       ألـم أسمـع منـادى المـوت يدعونـى ينادينـى
Tidakkah aku mendengar mengenai hari dikumpulkan manusia, hari perhimpunan dan hari qiamat?
Tidakkah aku mendengar panggilan maut yang menyeru dan menjemputku?

فـيــا ربـــاه عـبــد تـائــب مـــن ذا سيـؤويـنـى            *****      ســوى رب غـفـور واســع لـلـحـق يهـديـنـى
Wahai Tuhanku! Seorang hamba datang bertaubat, siapa lagi yang boleh melindunginya?
Selain Tuhan yang Maha Luas pengampunan-Nya, memberi petunjuk kepadaku dengan kebenaran

أتيـت إليـك فارحمـنـى وثـقـل فــى موازيـنـى             *****      وخفف فى جزائى أنـت أرجـى مـن يجازينـى
Aku telah datang pada-Mu, maka aku memohon supaya kasihanilah diriku dan beratkan neracaku
Dan ringankan (percepatkan) hisabku, kerana Engkaulah sebaik-baik Penghisab

Imam Ahmad berkata: “Ulangi sekali lagi!”

Muridnya berkata: “Lalu aku ulangi sekali lagi,”

Lalu beliau (Imam Ahmad) bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam rumah dan beliau mengulang-ngulangi syair tadi.

Lalu, aku bertanya pada diriku: 

Pernahkah aku menangis atas dosa-dosaku? 

Pernahkah aku menangis mengenangkan kewajipan-kewajipan yang diabaikan?


Perindu munajat malam





Serta merta, teringat sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi:

عينان لا تمسهما النار، عين بكت من خشية الله، وعين باتت تحرس في سبيل الله

"Dua mata yang tidak akan disentuih oleh api neraka ; mata orang yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga kerana berjuang di jalan Allah."

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim (mengenai 7 golongan yang mendapat naungan Allah):

 ..ورجل ذكر الله خالياً ففاضت عيناه..

"..dan seseorang yang mengingati Allah di kala sendirian, lalu berlinanganlah air matanya.."

Ya Allah, hadirkanlah ke dalam hati-hati kami rasa cinta kepada-Mu dan takut akan azab seksa-Mu. Kurniakanlah kepada kami keredhaan-Mu dan syurga-Mu. 

Thursday, 29 March 2012

Koreksi Seorang 'Penyeru'


Hakikatnya, seorang ‘penyeru’ itu mesti mencerminkan perkara yang diseru itu melalui sikap dan akhlaknya. Jika ‘penyeru’ itu mendakwa dia menyeru manusia ke jalan Allah (fi sabilillah), menyeru kepada Islam, Iman dan Ihsan serta menyeru kepada pemahaman dan pengamalan Islam secara menyeluruh (syumul), tetapi sikap serta akhlaknya di mata masyarakat amat jauh sekali daripada perkara yang diseru itu, inilah azab yang maha besar menimpa ‘penyeru’ tersebut! Jika ‘penyeru’ tersebut menyedari tentang ini, cepat-cepatlah ke mihrab memohon keampunan kepada Tuhan Sekalian Alam!

Mana mungkin seorang yang sering mencanang-canang tentang pentingnya memahami dan mengamalkan Islam, tetapi diri sendiri diabaikan, ibarat pepatah Melayu (yang diubah suai): bikin tak serupa cakap! Tidak gerunkah kita dengan firman Allah s.w.t? :   

“Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab ? Maka tidakkah kamu berfikir?” (2:44)

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (61:3)

Mustahil bagi seorang yang mendakwa dirinya ‘penyeru ke jalan Allah’ mengabaikan aspek pengislahan dirinya di samping menyeru orang lain untuk mengislahkan diri masing-masing!
Allah s.w.t berfirman :

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” (66:6)

Rasulullah s.a.w pada awal seruannya secara terang-terangan di Makkah menyeru kepada masyarakat Mekah dengan seruan : “Anqizu anfusakum min an-nar..!” (Wahai kalian Quraisy, selamatkanlah diri kamu dari api neraka, wahai kalian Ka’ab, selamatkanlah diri kamu dari api neraka, demi Allah sesungguhnya aku tidak berkuasa menolong kamu dari azab Allah. Apa yang ada hanyalah hubungan Rahim yang boleh kutunaikan).

Seseorang yang sudah ada kesedaran dan cita-cita untuk menjadi ‘penyeru’ wajib mengambil teladan daripada bapa segala seruan, iaitu Nabi dan Rasul! Mari kita selak lembaran sirah Nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu tanpa rasa muak dan jemu, kerana hakikatnya sejarah (sirah) itu untuk diteladani dan diambil ibrah bukan hanya dijadikan kisah di atas tilam atau untuk bermadah!

Mari kita renung hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Usamah bin Zaid bin Harithah r.anhu : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Akan didatangkan seorang lelaki pada hari kiamat kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka dan terburailah isi perutnya di neraka sebagaimana seekor keldai yang berputar mengelilingi penggilingan (tepung). Maka berkumpullah para penduduk neraka di sekitarnya. Mereka bertanya, “Wahai fulan, apa yang terjadi padamu, bukankah dahulu kamu memerintahkan yang ma’ruf kepada kami dan melarang kami dari kemungkaran?”. Lelaki itu menjawab, “Benar! Dahulu aku memerintahkan kalian mengerjakan yang ma’ruf sedangkan aku tidak melakukannya. Dan aku melarang kalian dari kemungkaran namun aku justeru melakukannya.”
   

Nah, tak cukup lagi ke ancaman-ancaman yang dijanjikan oleh Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w?




------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Eh?


Mana mungkin orang yang tak terisi akan mampu mengisi!

Mana mungkin dianggap musleh jika diri sendiri tak pernah berusaha untuk jadi soleh!

Mana mungkin menegakkan daulah islamiyah di atas muka bumi jika tak mampu menegakkan daulah islamiyah di dalam diri!

Mana mungkin...mana mungkin…dan mana mungkin...!
------------------------------------------------------------------------------------------------------------


The best life is in the obedience on Allah..




Akhir sekali, marilah sama-sama kita tanamkan dalam diri kita prinsip yang digariskan oleh al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna ini:

أصلح نفسك و ادع غيرك
‘Baikilah dirimu DAN serulah orang lain’


Ya Allah, bantulah kami dalam mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu, mengerjakan ketaatan kepada-Mu dan menyeru manusia ke jalan-Mu. Sesungguhnya tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan bantuan-Mu.

Sunday, 25 March 2012

Orang Agama vs orang beragama


Syarat ibadah yang telah digariskan oleh para ulama’ merangkumi:
i)                    Niat yang ikhlas
ii)                  Bertepatan dengan apa yang diajar oleh syara’

Firman Allah s.w.t:
“..mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus..”(98:5)
Firman Allah s.w.t lagi:
Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah s.a.w), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(3:31)

Jom koreksi diri.

Kita belajar agama untuk menjadi Orang Agama atau orang beragama?

Kita beribadah untuk menjadi Ahli Ibadah atau hamba Allah s.w.t?

Memang tak salah untuk kita target nak jadi Orang Agama atau Ahli Ibadah, tapi yang salahnya apabila perkara ni jadi matlamat kita yang utama.

Firman Allah s.w.t:
Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.(9:105)

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qais Al-Asy’arie, Rasulullah s.a.w ditanya berkenaan seorang lelaki yang berperang dengan berani, sombong dan riya’, mana satu yang dikategorikan fi sabilillah? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa yang berperang (dengan niat) menegakkan kalimah Allah, maka dialah yang berada fi sabilillah.” (Muttafaq ‘alaih)

Hakikat iman itu bertambah dan berkurang, ibarat kain yang terdedah kepada kelusuhan, Rasulullah s.a.w sentiasa menyarankan kepada kita untuk terus mentajdid niat dari semasa ke semasa.

Mari kita renung nasihat Saidina Umar Al-Khattab:

 إني لا أحمل همَّ الإجابة، ولكن أحمل هم الدعاء 

'Sesungguhnya aku tiada memikul beban ijabah (pengkabulan permintaan), tetapi aku memikul beban untuk berdoa'  



اللهم أعنا على ذكرك و شكرك و حسن عبادتك

Oleh itu, sama-sama kita memohon kepada Allah s.w.t supaya menetapkan hati-hati kita di atas agama Allah, mempunyai niat yang sentiasa lurus dan tidak terpesong dari jalan Allah dan menguatkan keazaman kita untuk terus bekerja demi menegakkan kembali agama Allah di atas muka bumi ini serta membawa rahmat ke seluruh alam.



Tuesday, 20 March 2012

Adakah kita ummah yang beramal?

Aku cemburu dengan orang yang hafal Quran

**tapi**

Aku lagi cemburu dengan orang yang faham dan beramal dengan Quran


Aku cemburu dengan orang yang kreatif menulis artikel, skrip, blog dan 'status'

**tapi**

Aku lagi cemburu dengan orang yang berjaya menulis seorang manusia dengan acuan Islam






فاقد الشيء لا يعطيه
"Orang yang tak terisi takkan mampu mengisi"

"Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (9:105)



Salam Mujahadah.