Pages

Showing posts with label Seruan n Didikan. Show all posts
Showing posts with label Seruan n Didikan. Show all posts

Saturday, 7 June 2014

Al-Fatihah - Seruan Penyatuan, Pembebasan dan Petunjuk

Berbicara mengenai Surah Al-Fatihah menjadikan kita sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat Al-Quran. Seringkali muslim mengucapkan di awal ucapan, agar sentiasa mensyukuri nikmat iman dan islam. Namun, apakah isi kepada iman dan islam tersebut? Sesungguhnya, penghayatan terhadap nilai iman dan islam tidak akan dapat diperoleh melainkan dengan penghayatan kita terhadap Al-Quran dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w.

Penamaan Surah

Penamaan surah-surah di dalam Al-Quran adalah semata-mata tauqifiyyah (dari Allah), tiada ruang untuk berijtihad padanya. Penamaan surah juga amat bertepatan dengan dengan isi kandungan surah tersebut, selari dengan hikmah yang dikehendaki oleh Allah. Hakikatnya, nama Al-Fatihah yang bermaksud 'pembuka' sudah cukup menggambarkan kepentingan dan keagungan surah ini. Ia menjadi pembuka kepada isi kandungan Al-Quran yang lebih kompleks, pembuka selera untuk menikmati kelazatan hidangan Al-Quran, pembuka hati untuk memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran, pembuka minda untuk berfikir dan merenung isi kandungan Al-Quran, pembuka jalan bagi yang ingin menempuh perjalanan menuju Tuhan dan pembuka utama ke arah penyatuan, pembebasan dan petunjuk insan!

 Tema Surah

Setiap surah di dalam Al-Quran mempunyai temanya yang tersendiri. Ramai ilmuwan di zaman silam dan moden telah mengkaji dan menulis mengenai tema-tema dan nilai-nilai yang diperoleh daripada surah-surah di dalam Al-Quran. Tema penyatuan, pembebasan dan petunjuk melalui kefahaman terhadap surah Al-Fatihah dipilih kerana nilai-nilai ini telah banyak disalah fahami, diabaikan dan dilupakan oleh manusia abad ini. Di samping itu, tulisan ini mungkin sebagai permulaan dan dorongan untuk terus menulis, mengkaji dan menganalisis nilai-nilai yang diperoleh dari Al-Quran agar kitab ini terus dijadikan inspirasi, teman, panduan, rujukan dan sandaran dalam menghadapi arus kehidupan.

Seruan Penyatuan

Seringkali manusia berbicara mengenai kesatuan dan penyatuan. Inilah fitrah manusiawi, sememangnya jiwa manusia cintakan kesatuan. Namun, seringkali manusia terbabas ketikamana hendak membumikan dan memaknakan nilai yang dicintai ini. Kadangkala, manusia buntu dan hilang hala tuju dalam mencari erti kesatuan. Persoalan asasnya adalah dari mana hendak diceduk nilai ini?

Bagi mereka yang betul-betul mengimani dan menginsafi keupayaan Al-Quran untuk menjawab persoalan-persoalan asas dalam kehidupan, surah Al-Fatihah sudah cukup banyak menyarankan dan menyeru kepada penyatuan umat manusia secara keseluruhan. Setelah dimulakan surah ini dengan nama Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, ayat seterusnya menyeru supaya mengucapkan syukur dan pujian kepada Allah yang disembah dan dimohon pertolongan. Allah bukan Tuhan khusus sesuatu kaum, kabilah, etnik, negara dan kampung bahkan Allah adalah Tuhan sekalian alam. Ia merobohkan segala tembok perkauman, perpecahan dan dualisme dalam kalangan masyarakat. Kesatuan ini wujud pada dua dimensi: kesatuan dalam konsep rububiyah (ketuhanan) dan kesatuan dalam konsep basyariah (kemanusiaan), iaitu kesatuan kemanusiaan yang berakar dari Adam. Setiap insan merupakan saudara kepada insan yang lain, selagimana mereka mengiklankan prinsip kesjahteraan, keamanan dan kemanusiaan sejagat. (Taammulat fi Al-Quran Al-Karim, An-Nadwi)

Kata kerja yang datang dalam bentuk plural juga menggambarkan bahawa manusia amat memerlukan sinergi untuk membina kesepaduan antara satu sama lain. Penghayatan terhadap konsep ukhuwah insaniyah dan ukhuwah islamiyah seharusnya diperkemaskan, agar kesepaduan yang ingin dibina tidak terbabas. Oleh itu, pentingnya kesepaduan yang jitu sesama masyarakat dalam merealisasikan konsep ibadah (kepatuhan), isti'anah (pohon pertolongan) dan ihtida' (pohon petunjuk) kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Seruan Pembebasan

Kebebasan bukan muncul natijah daripada kezaliman, penindasan, perhambaan dan pertelingkahan yang berlaku sesama manusia. Kebebasan adalah nilai asas yang muncul selari dengan penciptaan manusia. Manusia yang bebas ialah manusia yang tidak meletakkan kebergantungannya pada manusia yang lain. Pada permulaan seruan lagi, Allah sudah memerintahkan untuk memulakan bacaan dengan nama-Nya, mengucapkan pujian dan syukur hanya pada-Nya, menyembah, memohon pertolongan dan petunjuk hanya pada-Nya. Oleh itu, manusia tidak perlu risau dan takut akan ugutan, tohmahan, celaan, kezaliman dan penindasan yang dilakukan ke atas mereka oleh segolongan manusia lain selagi mana mereka meyakini bahawa setiap insan pada asalnya adalah bebas, pada akalnya, gerak gerinya dan jiwanya.

Namun, kebebasan yang dikecapi ini hendaklah dipandu dengan baik. Tidak dinamakan kebebasan jika manusia keluar dari belenggu sesama manusia, tetapi terjerumus ke satu bentuk penindasan dan belenggu yang lain, iaitu an-nafs al-ammarah (jiwa yang kotor). Kebebasan yang hakiki juga dinilai pada bebasnya manusia dari belenggu jiwa yang sentiasa cenderung untuk melakukan perkara yang terpesong dan bercanggah dengan nilai manusia dan agama. 

Penghayatan terhadap surah ini menunjukkan bagaimana sesebuah kebebasan itu seharusnya dilihat dan dinilai. Konsep ibadah (kepatuhan), isti'anah (pohon pertolongan) dan ihtida' (pohon petunjuk) hanyalah kepada Allah, tanpa menafikan konsep pengambilan asbab (cara-cara untuk mencapainya). Inilah yang dinamakan jalan pemisahan, pemisah antara kebebasan yang mutlak dari segala bentuk perhambaan dan perhambaan mutlak oleh hamba sesama manusia! Bebas dari perhambaan terhadap falsafah keraguan, dongeng-dongeng, karut-marut, sistem-sistem dan kerajaan-kerajaan. (Fi Zilal Al-Quran, Sayyid Qutb)

Seruan Petunjuk

Umat yang bersatu dan bebas tidak dapat dihasilkan tanpa meletakkan kebergantungan dan pengharapan hanya pada Yang Maha Esa, penuh dengan sifat Kesempurnaan, Kekuatan dan Keadilan. Pengharapan ini muncul selari dengan kesatuan dan kebebasan yang dibina dan dikecapi. Pengharapan juga diletakkan agar kesatuan dan kebebasan ini berkekalan dan sentiasa dipelihara. Manusia tidak mungkin lari dari kebergantungan dan pengharapan kepada Tuhan. 

Pengharapan ini ditetapkan dengan permohonan petunjuk kepada jalan yang lurus dan tetap di atasnya. Setiap juzuk dalam kehidupan memerlukan panduan dan petunjuk. Petunjuk inilah yang merupakan tuntutan teragung yang diperlukan manusia, kerananya diutuskan para rasul dan nabi, diturunkan kitab dan sahifah. Tanpa petunjuk ini, tidak bernilai dan tidak akan bahagia kehidupan manusia. (Taammulat fi Al-Quran Al-Karim, An-Nadwi)  

Petunjuk tidak datang bergolek, ia hanya akan diperolehi bagi mereka yang bersungguh-sungguh mencarinya. Petunjuk juga tidak datang melalui jalan yang bercelaru dan keliru, juga tidak diperoleh melalui jalan yang kotor dan penuh noda kepada Tuhan dan manusia. Petunjuk yang dikehendaki di dalam surah ini telah diletakkan hala tujunya, iaitu jalan yang lurus, jauh dari kebengkokan dan kecelaruan. Jalan inilah merupakan jalan yang terpantas untuk sampai kepada tujuan hakiki (redha Allah), namun ia tidak lari dari cabaran dan dugaan, tidak kira datang dari golongan yang dimurkai (enggan dan berpaling dari petunjuk seperti Yahudi) ataupun golongan yang sesat (menyeleweng dari petunjuk seperti Nasrani). (Tafsir Al-Quran Al-'Azhim, Sya'rawi)

Inilah surah yang agung, mempunyai nilai yang suci dan tinggi. Kunci dan pintu kepada khazanah Al-Quran, diulang-ulang di dalam solat dan ibadat, pembuka majlis ilmu dan adat, namun adakah manusia beringat-ingat?

Monday, 13 January 2014

Prinsip Akhlak dan Dimanakah Kita?

Persoalan akhlak merupakan persoalan yang amat kritikal. Isu akhlak atau ethics tidak sepatutnya dipandang enteng pada zaman kini. Dengan lambakan media sosial, budaya intektual melalui wacana-wacana perbincangan isu semasa dan interaksi antara masyarakat berbilang kaum dan agama, paradigma ini sepatutnya dipandu dan dimurnikan supaya ianya selari dengan prinsip umum akhlak yang mulia. Kita tidak ingin melihat atau melahirkan sebuah masyarakat yang tinggi daya inteleknya atau popular disebut 'minda kelas pertama', tetapi akhlaknya atau etikanya tidak mencerminkan tahap intelektualnya. Kita inginkan sebuah masyarakat yang disebut dalam peribahasa melayu: Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Syeikh Muhammad Al-Ghazali menerangkan di dalam muqaddimah bukunya, 'Akhlak Muslim' bahawa rukun Islam mempunyai hubung kait yang amat kuat dengan prinsip akhlak. Perkara ini ditegaskan dengan nyata oleh Rasulullah s.a.w dengan menyatakan tujuan utama risalah baginda dan metod dakwah baginda sepertimana disebut di dalam hadis:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. 
(Riwayat Malik di dalam Muwatta')

Oleh itu, risalah baginda yang telah bertapak di dalam sejarah, dan perjuangan para sahabat untuk menyebar luaskan risalah ini dan mengumpulkan manusia ke dalamnya tidak lain adalah bertujuan untuk mengukuhkan, meluruskan dan melengkapkan sikap mulia yang sedia ada dalam masyarakat supaya mereka mampu mengamalkannya di atas basirah (pedoman).

Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang disyariatkan. Pensyariatan ibadah ini bukan sekadar musim-musim atau syiar-syiar kosong yang menghubungkan manusia dengan benda ghaib yang tidak dikenali, ataupun membebankan mereka dengan bebanan amal yang samar-samar, ataupun sekadar pergerakan  yang tidak bermakna! Sesungguhnya ibadah-ibadah tersebut adalah latihan-latihan berterusan untuk membiasakan manusia hidup dengan akhlak yang terpuji dan berpegang teguh dengannya walau apa pun yang terjadi.

Dalil-dalil yang jelas di dalam Al-Quran dan Hadis telah menyebut maqasid (tujuan) utama pensyariatan ibadah-ibadah fardhu yang merupakan rukun Islam:

1) Solat. Firman Allah:

Sesungguhnya (maksud) solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut:45)

Menjauhi perbuatan keji dan membersihkan diri dari maksiat merupakan hakikat sebenar solat. Di dalam hadis qudsi, Allah berfirman:

Sesungguhnya Aku akan menerima solat hamba yang merendah diri terhadap kebesaranKu, tidak berbuat keburukan ke atas makhlukKu, tidak tidur dengan berterusan melakukan maksiat, meluangkan waktu siang dengan mengingatiKu, dan mengasihi orang miskin, ibnu sabil, ibu tunggal dan orang ditimpa musibah. 
(Hadis riwayat Al-Bazzar)

2) Zakat. Kefardhuan zakat bukanlah ibarat cukai yang diambil dari poket kita semata-mata. Sesungguhnya ia menanamkan nilai kasih sayang, kebersamaan dan ikatan yang kukuh antara semua lapisan masyarakat. Al-Quran sendiri telah menjelaskan maqsad (objektif) pengeluaran zakat:

Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan diri mereka. (At-Taubah: 103)

Dengan itu juga, Rasulullah s.a.w sendiri telah meluaskan konsep kesyumulan sedekah di dalam hadis baginda:

Senyuman kepada saudara kamu adalah sedekah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah sedekah, membimbing orang yang sesat adalah sedekah, membuang benda kotor, duri dan tulang belulang di jalanan adalah sedekah, memenuhkan bekas saudara kamu adalah sedekah, memimpin orang buta berjalan adalah sedekah. 
(Hadis riwayat Bukhari)

Kefahaman konsep sedekah sebegini tidak terhad kepada pengeluaran harta dan diberi kepada orang lain, tetapi merangkumi segala bentuk moral yang baik disumbangkan untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain.

3) Puasa pula bukan sekadar suruhan untuk menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi juga menahan dan mengawal diri dari melakukan akhlak-akhlak yang buruk. Di dalam Al-Quran, dijelaskan tujuan utama pensyariatan puasa iaitu, Taqwa (Al-Baqarah: 183). Rasulullah s.a.w juga menyebutkan maqasid (objektif) puasa di dalam banyak hadis, antaranya:

Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan berbohong, maka Allah tidak berhajat untuk mengganjarinya atas usahanya meninggalkan makan dan minum. 
(Hadis riwayat Bukhari)

Puasa itu bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri dari perbuatan keji dan sia-sia.
(Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

4) Ibadah haji pula bukan sekadar permusafiran muslim ke tanah suci untuk melakukan ibadah ritual, ataupun berhijrah meninggalkan segala hiruk-pikuk kehidupan untuk beribadah secara total kepada Allah, tetapi ia bermatlamatkan untuk memandu dan mengamalkan nilai akhlak yang mulia. Sepertimana yang disebutkan di dalam Al-Quran:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaipan meminta sedekah) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah: 197)

Secara umumnya, akhlak merupakan sifat dalaman pada diri seseorang yang dizahirkan ke luar. Tokoh ilmuwan moden, Syeikh Abdullah bin Bayyah menyifatkan keadaan zaman ini adalah 'keadaan yang gila/buas'. Beliau juga menegaskan bahawa prinsip akhlak yang asas merupakan fitrah dan dimiliki oleh semua, samada muslim atau bukan muslim. Beliau juga antara tokoh yang menyeru supaya masyarakat pada hari ini mengambil berat dan mempraktiskan 'nilai akhlak yang global', bagi melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, bertolak ansur dan bekerjasama untuk pembangunan sebuah tamadun yang lebih baik.  

Sunday, 22 December 2013

Firaun, Idola Para Diktator

Firaun seringkali dikaitkan dan dibayangkan sebagai anasir jahat yang ditakuti dan diperangi. Ia mengalir dalam segala bentuk kepimpinan, tak kiralah kepimpinan peringkat individu, keluarga, masharakat ataupun negara.

Firaun merupakan contoh dan gambaran yang jelas bagi melambangkan nilai kediktatoran atau ketiranian dan penyimpangan yang jauh dari nilai fitrah kemanusiaan. Tahap kediktatorannya adalah sangat tinggi, dan mencapai klimaksnya bilamana Firaun mengaku dan mendakwa dirinya tuhan:

مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرِي

Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku.(Al-Qasas:38)

أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى

 (seraya) berkata:"Akulah Tuhanmu yang paling tinggi". (An-Nazi’at:24)

Jika kita meneliti ayat-ayat Quran yang menceritakan keperibadian sebegini, kita akan dapat menilai perbuatannya dan perbuatan pembesar sekelilingnya yang jelas jauh menyimpang dari fitrah yang lurus. Sesungguhnya sebahagian besar Nabi dan umat terdahulu telah meletakkan tujuan utama risalah mereka untuk memerangi anasir firaun tersebut, dan membersihkan saki bakinya bagi mencapai kebebasan yang sebenar. Begitu juga umat kita pada hari ini, jihad dan penentangan untuk memerangi anasir firaun ini tidak akan pernah selesai sehinggalah tidak bertapak lagi anasir ini di atas muka bumi agar masharakat mendapat kebebasan dan keadilan yang diimpikan.  

Berdasarkan pengamatan terhadap nas Al-Quran, kami mendapati sifat-sifat firaun dapat dirangkumkan kepada beberapa poin utama, agar masharakat pada hari ini dapat menilai kedudukan dan kecenderungan majoriti pemerintah dunia arab dan dunia islam zaman ini secara umum:

Pertama: Membuat apa sahaja sewenang-wenangnya dan melampaui batas. Perkara ini dapat dilihat melalui sikap pemerintah yang tidak mengendahkan tuntutan rakyat, menyekat kebebasan bersuara dan membuat penangkapan sesuka hati.

وَإِنَّ فِرْعَوْنَ لَعَالٍ فِي الْأَرْضِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الْمُسْرِفِينَ

Sesungguhnya Fir'aun itu berbuat sewenang-wenang di muka bumi. dan Sesungguhnya Dia Termasuk orang-orang yang melampaui batas. (Yunus:83)

إِنَّهُ كَانَ عَالِيًا مِنَ الْمُسْرِفِينَ

Sesungguhnya Dia adalah orang yang sombong, salah seorang dari orang-orang yang melampaui batas.(Ad-Dukhan:31)

إِنَّهُ طَغَى

Sesungguhnya ia telah melampaui batas". (Taaha:24 dan 43, An-Nazi’at:17)

Kedua: Berbohong, memesongkan fakta dan menyesatkan rakyat. Perkara ini dapat dilihat pada media cetak dan elektronik yang sentiasa berdiri di belakang kerajaan, membenarkan semua tindakan kerajaan dan menyebarkan berita palsu yang sentiasa menyebelahi kerajaan.

 وَأَضَلَّ فِرْعَوْنُ قَوْمَهُ وَمَا هَدَى

dan Fir'aun telah menyesatkan kaumnya dan tidak memberi petunjuk.(Taaha:79)

Ketiga: Sombong dan membesarkan diri sesuka hati. Perkara ini dapat dilihat melalui pasukan keselamatan, polis dan samseng-samseng upahan yang diupah oleh sebahagian kerajaan untuk memulakan kekacauan dan menyekat kebebasan bersuara.

فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُجْرِمِينَ

tetapi mereka tetap menyombongkan diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.(Al-A’raf:133, Yunus:75)

فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا عَالِينَ

Maka mereka ini takbur dan mereka adalah orang-orang yang sombong.(Al-Mukminun:46)

وَاسْتَكْبَرَ هُوَ وَجُنُودُهُ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ

dan Berlaku angkuhlah Fir'aun dan bala tenteranya di bumi (Mesir) tanpa alasan yang benar (Al-Qasas:39)

فَاسْتَكْبَرُوا فِي الْأَرْضِ وَمَا كَانُوا سَابِقِينَ

akan tetapi mereka Berlaku sombong di (muka) bumi, dan Tiadalah mereka orang-orang yang luput (dari kehancuran itu).(Al-Ankabut:39)

Keempat: Double-standard dan penindasan yang nyata terhadap kelompok tertentu. Sebagai contoh, apa yang berlaku di Mesir: wanita dipenjarakan, pelajar-pelajar universiti dibelasah dan disumbat ke dalam penjara dan pemimpin-pemipin ikhwan muslimin ditangkap.

إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ

Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka hidup. (Al-Qasas:4)

Kelima: Melakukan kerosakan di atas muka bumi. Tugas pemimpin dan kerajan sepatutnya menjaga keamanan dan kesejahteraan negara, tetapi wujud sebahagian pemerintah yang memulakan kekacauan dalaman dengan dakwaan ingin memerangi pengganas, menjamin keselamatan Negara dan sebagainya.

إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ

Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan.(Al-Qasas:4)

الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ. فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ

 yang berbuat sewenang-wenang dalam negeri,lalu mereka berbuat banyak kerusakan dalam negeri itu (Al-Fajr:11-12)

Keenam: Melakukan dosa secara terang-terangan. Dosa peribadi yang dilakukan tidak mengapa, kerana manusia memang tidak akan lari dari melakukan dosa, tetapi jika pemimpin melakukan dosa terang-terangan dan dapat disaksikan oleh masharakat maka inilah anasir firaun yang telah meresap.

إِنَّ فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَجُنُودَهُمَا كَانُوا خَاطِئِينَ

Sesungguhnya Fir'aun dan Ha- man beserta tentaranya adalah orang-orang yang bersalah. (Al-Qasas:8)

وَجَاءَ فِرْعَوْنُ وَمَنْ قَبْلَهُ وَالْمُؤْتَفِكَاتُ بِالْخَاطِئَةِ

 dan telah datang Fir'aun dan orang-orang yang sebelumnya dan (penduduk) negeri-negeri yang dijungkir balikkan karena kesalahan yang besar (Al-Haaqah:9)

 Ketujuh: Menakut-nakutkan dan memperkecilkan rakyat dan memaksa untuk ditaati. Sesungguhnya perkara yang dipelajari dari Nabi Muhammad s.a.w adalah: “Tidak perlu taat kepada makhluk, jika disuruh melakukan maksiat kepada pencipta.”

فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ

Maka Fir'aun mempengaruhi kaumnya (dengan Perkataan itu) lalu mereka patuh kepadanya.(Az-Zukhruf:54)

Kelapan: Melakukan segala bentuk kezaliman dan jenayah berat. Tidakkah perbuatan memenjarakan dan mendakwa orang yang tidak bersalah, melepaskan pemimpin korup dan membebankan rakyat merupakan satu kezaliman dan jenayah yang berat?

ثُمَّ بَعَثْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ مُوسَى بِآَيَاتِنَا إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَظَلَمُوا بِهَا

kemudian Kami utus Musa sesudah Rasul-rasul itu dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya, lalu mereka mengingkari ayat-ayat itu (Al-A’raf:103)

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا

dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka) Padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. (An-Naml:14)

وَكُلٌّ كَانُوا ظَالِمِينَ

dan kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.(Al-Anfaal:54)

وَكَانُوا قَوْمًا مُجْرِمِينَ

dan mereka adalah kaum yang berdosa. (Al-A’raf:133, Yunus:75)

 Kesembilan: Tamakkan kuasa dan harta benda. Perkara ini tidak perlu diulas, bolehlah lihat gaya hidup dan sikap pemimpin dunia islam pada hari ini.

قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِنْ تَحْتِي أَفَلَا تُبْصِرُونَ. أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِنْ هَذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ. فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

dan Fir'aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai ini mengalir di bawahku; Maka Apakah kamu tidak melihat(nya)?Bukankah aku lebih baik dari orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?mengapa tidak dipakaikan kepadanya (Musa) gelang dari emas[1361] atau Malaikat datang bersama-sama Dia untuk mengiringkannya?" (Az-Zukhruf:51-53)

 Kesepuluh: Tidak menepati janji yang ditabur. Perkara ini secara jelas dapat dilihat ketika pilihan raya, pelbagai manifesto dan janji akan ditaburi tetapi sangat sedikit yang dilaksanakan dan ditepati.

إِذَا هُمْ يَنْكُثُونَ

Maka tatkala Kami hilangkan azab itu dari mereka, dengan serta merta mereka memungkiri (janjinya). (Al-A’raf:135, Az-Zukhruf:50)

 Kesebelas: Tidak meraikan pandangan, menutup mulut orang lain dan tidak mendengar pandangan yang bertentangan dengan hawa nafsunya

قَالَ فِرْعَوْنُ مَا أُرِيكُمْ إِلَّا مَا أَرَى وَمَا أَهْدِيكُمْ إِلَّا سَبِيلَ الرَّشَادِ

Fir'aun berkata: "Aku tidak mengemukakan kepadamu, melainkan apa yang aku pandang baik; dan aku tiada menunjukkan kepadamu selain jalan yang benar". (Ghafir:29)

فَمَا آمَنَ لِمُوسَى إِلَّا ذُرِّيَّةٌ مِنْ قَوْمِهِ عَلَى خَوْفٍ مِنْ فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِمْ أَنْ يَفْتِنَهُمْ

Maka tidak ada yang beriman kepada Musa, melainkan pemuda-pemuda dari kaumnya (Musa) dalam Keadaan takut bahwa Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya akan menyiksa mereka. (Yunus:83)

Keduabelas: Memperkecilkan dan memperlekehkan kebenaran (sarkastik). Perkara ini berlaku dalam sebahagian agensi kerajaan terutamanya media cetak dan elektronik.

فَقَالَ لَهُ فِرْعَوْنُ إِنِّي لَأَظُنُّكَ يَا مُوسَى مَسْحُورًا

tatkala Musa datang kepada mereka lalu Fir'aun berkata kepadanya: "Sesungguhnya aku sangka kamu, Hai Musa, seorang yang kena sihir". (Al-Isra’:101)

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِآيَاتِنَا وَسُلْطَانٍ مُبِينٍ. إِلَى فِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَقَارُونَ فَقَالُوا سَاحِرٌ كَذَّابٌ

dan Sesungguhnya telah Kami utus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami dan keterangan yang nyata,kepada Fir'aun, Haman dan Qarun; Maka mereka berkata: "(Ia) adalah seorang ahli sihir yang pendusta". (Ghafir:23-24)

                 فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِآيَاتِنَا إِذَا هُمْ مِنْهَا يَضْحَكُونَ

Maka tatkala Dia datang kepada mereka dengan membawa mukjizat- mukjizat Kami dengan serta merta mereka mentertawakannya. (Az-Zukhruf:47)

Ketigabelas: Mengancam dan mengugut sesiapa sahaja yang tampil berani untuk mendedahkan kesalahan dan kesilapan yang dilakukan pemerintah dengan hukum bunuh, penjara atau buang negeri.

                                                                                                                                                                                                         فَسَوْفَ تَعْلَمُون. لَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ مِنْ خِلَافٍ ثُمَّ لَأُصَلِّبَنَّكُمْ أَجْمَعِينَ                                                                                                                         
Maka kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu ini); Demi, Sesungguhnya aku akan memotong tangan dan kakimu dengan bersilang secara bertimbal balik[555], kemudian sungguh-sungguh aku akan menyalib kamu semuanya." (Al-A’raf:123-124)

Keempatbelas: Menghalalkan darah rakyat. Perkara ini berlaku dalam sebahagian besar diktator yang memerintah di negara-negara timur tengah, atau lebih popular dikenali arab springs. Jika diamati seksaan dan ancaman yang dilakukan oleh pemerintah di negara-negara tersebut, tidak akan dapat dibayangkan dan diterima oleh pemikiran mahupun fitrah manusia.

وَقَالَ الْمَلَأُ مِنْ قَوْمِ فِرْعَوْنَ أَتَذَرُ مُوسَى وَقَوْمَهُ لِيُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَآلِهَتَكَ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَاءَهُمْ وَنَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَاهِرُونَ

berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Fir'aun (kepada Fir'aun): "Apakah kamu membiarkan Musa dan kaumnya untuk membuat kerusakan di negeri ini (Mesir) dan meninggalkan kamu serta tuhan-tuhanmu?". Fir'aun menjawab: "Akan kita bunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup perempuan-perempuan mereka; dan Sesungguhnya kita berkuasa penuh di atas mereka". (Al-A’raf:127)

وَقَالَ فِرْعَوْنُ ذَرُونِي أَقْتُلْ مُوسَى وَلْيَدْعُ رَبَّهُ إِنِّي أَخَافُ أَنْ يُبَدِّلَ دِينَكُمْ أَوْ أَنْ يُظْهِرَ فِي الْأَرْضِ الْفَسَادَ

 dan berkata Fir'aun (kepada pembesar-pembesarnya): "Biarkanlah aku membunuh Musa dan hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, karena Sesungguhnya aku khawatir Dia akan menukar agamamu atau menimbulkan kerusakan di muka bumi". (Ghafir:26)

Kelimabelas:  Berkempen secara besar-besaran menggunakan segala bentuk cara; samada media cetak, elektronik dan apa-apa cara sekalipun untuk memutar belit dan mengaburi mata rakyat.

            فَأَرْسَلَ فِرْعَوْنُ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ. إِنَّ هَؤُلَاءِ لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ. وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَائِظُونَ. وَإِنَّا لَجَمِيعٌ حَاذِرُونَ

kemudian Fir'aun mengirimkan orang yang mengumpulkan (tentaranya) ke kota-kota. (Fir'aun berkata): "Sesungguhnya mereka (Bani Israil) benar-benar golongan kecil, dan Sesungguhnya mereka membuat hal-hal yang menimbulkan amarah kita, dan Sesungguhnya kita benar-benar golongan yang selalu berjaga-jaga". (As-Syu’ara:53-56)

Alangkah indahnya hidup ini, jika semua bentuk dan anasir firaun ini dapat dibersihkan dan dihapuskan dari atas muka bumi ini. Ingat, Firaun bukan merupakan individu yang hanya mempunyai satu jasad ataupun hanya terhad pada satu peringkat dalam perjalanan sejarah, tetapi ia merupakan suatu ‘roh jahat’ yang sentiasa akan mengalir sepanjang sejarah jika ada manusia yang sudi menghidupkannya.

فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِلْآخِرِينَ

dan Kami jadikan mereka sebagai pelajaran dan contoh bagi orang-orang yang kemudian. (Az-Zukhruf:56)



Friday, 29 November 2013

Fiqh Futur

Selalu dengar orang mengeluh, terutama sekali so-called 'Duat' mengenai perasaan tak bersemangat, 'down' dan sangat popular dengan kalimat futur? Tapi, pernah dengar tak mengenai 'Fiqh Futur'?

-------------------------------------------------------------------------
Si A: "Syeikh, ko pernah dengar tak Fiqh Futur?"

Si B: "Eh, memandai-mandai je ko cipta fiqh baru! Bidaah ni! Ko wahabi ea?"

Si A: "Erk..Sabar syeikh, janganlah tuduh sembarangan. Lain kali kalau nak cakap tu, fikir dulu. Jangan fikir dulu baru cakap! Pernah dengar hadis Nabi yang menerangkan dengan jelas sejelas-jelasnya mengenai futur?" 

Si B: -Buat muka pelik dan menggeleng kepala-

-------------------------------------------------------------------------
Sabda Rasulullah s.a.w:

"إن لكل عمل شِرَّة، ولكل شِرَّة فترة، فمن كانت فترته إلى سنتي، فقد اهتدى، ومن كانت فترته إلى غير ذلك فقد هلك"
 رواه أحمد وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما

“Sesungguhnya bagi setiap amal itu ada (masa) semangat dan bersungguh-sungguh, dan bagi setiap kesungguhan itu ada (masa) fatrah (kefuturan/lemah semangat). Barangsiapa pada waktu semangatnya lemah, lalu berpegang pada sunnahku, maka dia telah mendapat petunjuk dan barangsiapa yang berpegang pada selainnya (sunnahku) maka dia telah binasa” (HR Ahmad dan Ibn Hibban dalam kitab sohih mereka)


Kita ibaratkanlah kehidupan kita seperti nat pada sebuah roda keretapi. 
Nat tersebut adalah diri kita dan roda tersebut adalah garis masa perjalanan hidup kita. 
Ada masanya nat tersebut berada di atas, dan pada masa yang lain ia berada di bawah. Namun, nat tersebut tetap teguh pada roda keretapi dan roda keretapi tersebut tetap di atas landasan keretapi. 
Inilah fiqh yang difahami dari hadis Nabi s.a.w tersebut, iaitu walau apapun yang terjadi dalam diri dan kehidupan, kita tetap akan meneguhkan diri dan hati kita di atas landasan (sunnah) Rasulullah s.a.w. 

Berikut merupakan 25 tanda, 10 sebab,15 cara pencegahan dan 10 bahan bacaan cadangan untuk menghadapi futur atau yang saya simpulkan sebagai FIQH FUTUR. 

i) Tanda-tanda:

1) Rasa malas pada roh, fizikal dan mental
2) Sedikit baca Quran dan tidak terkesan dengan bacaan
3) Mula rasa tak ikhlas, mengungkit dan riya’ (beramal untuk dilihat orang)
4) Hubungan dan kebergantungan kepada Allah mula goyah
5) Tidak terkesan dengan nasihat dan peringatan
6) Dakwah dilakukan hanya untuk lepaskan tanggungjawab dan untuk mengelakkan dipersoalkan
7) Menyibukkan diri dan pemikiran dengan dunia, banyak tidur, bersiar-siar dan membeli belah barang yang tidak perlu
8) Berlebihan dalam perkara mubah seperti makan, laman sosial dan tidur
9) Keyakinan mula goyah dalam konsep pekerjaan Allah seperti rezeki, takdir dan musibah
10) Membuang masa dengan perkara yang tak bermanfaat
11) Sangat sayang pada harta dan kekayaan sehingga tidak mahu menginfakkannya untuk dakwah
12) Mula mengabaikan aspek plan, strategi dan perancangan untuk dakwah
13) Menjauhkan diri dari rakan-rakan yang baik
14) Mengasingkan diri dari amal islami dan amal dakwah
15) Mula tidak menghadiri majlis ilmu dan kerap ponteng kelas formal
16) Terhakis minat terhadap perbincangan ilmiah dan keagamaan
17) Sering merungut dan mengeluh kerana bosan dengan tarbiah dan dakwah
18) Sering menyalahkan orang lain, menjadi pemarah dan sukar memaafkan
19) Menyerahkan tugas dan tanggungjawab yang dipikul kepada orang lain tanpa sebab yang munasabah
20) Tidak fokus dan tidak memberi keutamaan kepada maslahah dakwah dan pembangunan ummah
21) Selalu merasakan diri betul dan tidak ingin mengaku kesalahan
22) Mula mendekati maksiat dan tidak sensitif dengan dosa
23) Mula terpengaruh dan menyebarkan berita-berita yang tidak benar berkenaan dakwah dan amal islami
24) Tidak mengendahkan ama-amal sunat dan tidak melazimi tahajjud
25) Timbul syubhah dan keraguan terhadap kefahaman asas dakwah dan amal islami

ii) Sebab-sebab:

1) Kurang memberi perhatian kepada hubungan dengan Allah
2) Berterusan melakukan dosa kecil tanpa ada kesedaran untuk bertaubat
3) Kurang memberi perhatian terhadap tarbiah ruhiyah dan zatiyah (diri sendiri)
4) Kurang berdoa dan memohon kekuatan dari Allah
5) Selesa dengan persekitaran dan rakan-rakan yang tidak meningkatkan iman
6) Sering bertangguh-tangguh melakukan kebaikan
7) Tidak meletakkan target dan perancangan untuk dakwah dan kehidupan
8) Perasan diri sudah sempurna dan baik (membandingkan diri dengan golongan yang lemah iman)
9) Memendam masalah dan rasa tak puas hati tanpa usaha untuk melakukan pembaikan, perbincangan dan penjelasan
10) Kurang membaca dan mengambil motivasi dari sirah nabi, kisah sahabat dan ulama yang gigih menyebarkan dakwah dan melakukan islah

iii) Cara pencegahan:

1) Ikhlaskan hati dan sentiasa lakukan muhasabah serta tajdid niat
2) Menjaga ibadah fardhu dengan baik dan melazimi solat berjemaah di masjid
3) Sentiasa berusaha untuk meningkatkan amal-amal sunat
4) Banyakkan membaca dan memahami tafsir Quran, hafazan dan tidak mengabaikan tadabbur (manfaat dari kefahaman tafsir)
5) Banyakkan berdoa dan berzikir kepada Allah
6) Usaha untuk tingkatkan pembacaan dan mengambil motivasi dari sirah nabi, kisah sahabat dan ulama yang gigih menyebarkan dakwah dan melakukan islah
7) Rapatkan diri dengan sunnah-sunnah Rasulullah, cuba untuk menghafal hadis dan menghadiri majlis ilmu
8) Sentiasa ingat mati (contohnya menziarahi kubur)
9) Sentiasa berfikir dan merenung kebesaran Allah
10) Bersahabat dengan orang-orang soleh dan meminta nasihat dari mereka
11) Sentiasa bertaubat
12) Melakukan rehlah (bersiar-siar) ke tempat-tempat yang boleh diambil pengajaran
13) Mendengar ceramah/tazkirah dari radio, youtube dan sebagainya
14) Kerap menziarahi rakan-rakan yangber sama-sama melakukan dakwah
15) Membaca buku-buku berkaitan tarbiah rohani, penyakit hati dan hasutan syaitan

iv) Buku-buku cadangan:

1) Tafsir fi zilal Quran, Sayyid Qutb
2) Riyadhussolihin, Imam Nawawi
3) Sohih Targhib wa Tarhib, Syeikh Nasiruddin Al-Albani
4) Tahzib Madarij Salikin, Syeikh Abdul Mun’im Soleh Al-Izzi
5) Ad-Daa’ wa ad-Dawaa’, Ibn Qayyim
6) Talbis Iblis, Ibn Jauzi
7) Ihya’ Ulumuddin, Al-Ghazali
8) Tarbiyatuna ruhiyyah dan Tazkiyatunnafs, Syeikh Said Hawwa
9) Khittah Barraqah li zinnafs tawaqquh, Syeikh Solah al-Kholidi
10) Buku-buku sirah, sejarah dan tamadun umat Islam, terutama sekali tulisan-tulisan para ilmuwan kontemporari dalam bidang sejarah seperti Dr Imaduddin Khalil, Dr Ali as-Solabi dan Dr Raghib as-Sirjani

Wallahu A'lam.
Semoga bermanfaat untuk diri saya dan sesiapa sahaja yang membaca post ini.
Semoga Allah s.w.t beri kekuatan kepada kita untuk terus melakukan peningkatan iman, akhlak, ilmu dan kecergasan tubuh badan.

Saturday, 5 May 2012

Kemanusiaan yang dilupakan


Dalam sibuk-sibuk umat Islam meng’update’ dan menyebarkan perkembangan politik tempatan, gosip-gosip artis, ‘isu panas’ mengenai moral ahli politik dan bermacam-macam lagi, isu Palestin merupakan isu global yang tidak patut diabaikan dan dilupakan.

Tahukah kita? Sejak tahun 1967 sehingga sekarang, sudah hampir 750 ribu penduduk tempatan Palestin ditangkap, berpuluh-puluh ribu dalam kalangan mereka adalah kanak-kanak.
Menurut statistik terbaru, hampir 75 ribu telah ditangkap sejak bermulanya Intifadha Al-Aqsa.

Tahanan kami..Aqsa kami..

Tahanan penjara

Bilangan tahanan Palestin yang merengkok dalam penjara rejim Zionis kian bertambah dari hari ke hari. Anggaran sehingga hari ini mencecah 4600, merangkumi 8 orang tahanan wanita, 138 kanak-kanak, 309 pekerja  awam dan 27 orang ahli politik dan mereka  yang memegang jawatan penting dalam kerajaan sah Palestin, antaranya Dr Abdul Aziz Dweik yang merupakan Ketua Dewan Perundangan Palestin.

Dr Abdul Aziz Dweik

Jenis dan tempoh penahanan

Dalam kalangan tahanan-tahanan tersebut, terdepat lebih kurang 533 orang tahanan yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup! Hukuman yang paling lama dikenakan oleh rejim pengganas Zionis dalam sejarah ialah ’67 life sentence’, dikenakan ke atas Mujahid Al-Qassam, Abdullah Al-Barghouthi.

 Abdullah Al-Barghouthi

Terdapat juga tahanan yang dikenakan hukuman penjara melebihi 20 tahun! Menurut statistik, jumlah tahanan jenis ini mencecah 57 orang! Dalam kalangan ini pula, terdapat 23 tahanan yang ditahan melebihi 25 tahun!


Jenis hukuman yang paling ekstrim yang dilakukan oleh rejim pengganas Zionis ialah ‘Kurungan seorang diri’, tahanan yang dikenakan hukuman ini ditempatkan dalam satu sel yang kecil dan gelap berukuran 200x220 cm! Ruang udara pula perukuran 10 cm! Mereka terputus hubungan dengan dunia luar, seolah-olah berada di dalam ‘kubur’! Mereka tidak dibenarkan mengikuti perkembangan semasa, diziarahi oleh keluarga, jika tidur dipaksa bangun, jika sedang solat diganggu, dihalang membaca Al-Quran hatta bersenam pun tak dibenarkan! Bilangan mereka mencecah 22 orang.

Hasan Salamah, tahanan kurungan seorang diri selama 12 tahun!

Terdapat juga 8 orang tahanan wanita, mereka ditempatkan di tempat yang tidak sepatutnya bagi seorang wanita. Rejim Zionis seolah-olah bukan penduduk bumi! Tidak mempedulikan hal ehwal dan hak-hak yang diiktiraf dan diketahui oleh penduduk dunia terhadap seorang wanita!

Ahlam Tamimi yang sudah dibebaskan

Selain itu, terdapat hampir 202 tahanan yang syahid di dalam penjara! Mereka syahid disebabkan:

i)                    Kecedaraan yang mereka alami akibat diseksa tidak diberikan rawatan
ii)                   Pembunuhan secara ‘direct’ oleh rejim Zionis

Bagaimana rejim Zionis ‘melayan’ mereka?

i)                    Menahan tanpa bicara
ii)                   Kurungan seorang diri yang mengakibatkan tekanan fizikal dan mental
iii)                 Keluarga tahanan dari wilayah Gaza dilarang menziarahi mereka
iv)                 ‘Undang-undang Shalit’, di mana mereka dihalang mengikuti perkembangan semasa dan menuntut ilmu
v)                  Melakukan siasatan dengan mem’bogel’kan tahanan, seksaan secara ‘berjemaah’ serta menyerang mereka di tengah malam  

Mogok lapar

Pada tanggal 17 April 2012, para tahanan telah bersepakat untuk membuat mogok lapar secara besar-besaran di dalam penjara, sebagai tanda protes mereka ke atas rejim Zionis yang menindas dan tidak menunaikan hak-hak serta kewajipan terhadap para tahanan. Ini merupakan kemuncak kesabaran mereka terhadap kezaliman rejim Zionis. Mereka juga membuat beberapa tuntutan:

i)                    Mansuhkan penahanan tanpa bicara
ii)                   Mansuhkan kurungan seorang diri
iii)                 Benarkan ahli keluarga tahanan menziarahi mereka
iv)                 Layanan yang berperikemanusiaan
v)                  Menetapkan undang-undang ketika menyiasat

Mogok bertemakan 'Kami hidup dengan kemuliaan!'


Apa peranan aku?

Wahai umat islam! Apa lagi yang perlu dipaparkan kepada kita mengenai tahanan Palestin ini?

Tidak tersentuh ke hati kita membaca statistik yang dipaparkan?

Tidak berperasaankah kita?

Tidak berhati perutkah kita?

Sudah hilangkah nilai-nilai seorang manusia?

Sudah hilangkah rasa kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam?

Ayuh! Hayya! Jom! Lakukan sesuatu, sumbangkan semampu yang boleh dengan:

i)                    Update perkembangan semasa mereka
ii)                   Sebarkan isu dan berita mereka
iii)                 Doakan mereka dalam setiap Qiamullail dan selepas solat
iv)                 Kempen besar-besaran, melalui artikel-artikel, tayangan video, pementasan teater dan sebagainya
v)                  Ambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang melibatkan isu mereka

p/s: untuk info-info tambahan dan meng'update' isu ini, disarankan website ini http://www.palinfo.com/ Juga terdapat terjemahan dalam pelbagai bahasa.





Sunday, 22 April 2012

Madrasah Rasulullah s.a.w #1


Antara peringkat yang paling penting dalam sejarah dakwah dan tarbiyah adalah Zaman Mekah. Pada zaman inilah Rasulullah s.a.w membina rijal yang sifatnya core, tahan lasak dan ekstrim (yang positif). Zaman ini terbahagi kepada; Dakwah Sirriyyah (Sembunyi2) dan Dakwah Jahriyyah (Terang-terangan).

Dalam tempoh kira-kira 3 tahun selepas Kenabian, Rasulullah s.a.w memulakan dakwah baginda secara sirr (sembunyi2).

Siapa yang tidak tahu tentang permulaan dakwah Nabi s.a.w di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam???

'Style' (baca: Manhaj) yang Nabi s.a.w pakai pada peringkat ini mempunyai dua ciri keistimewaan:

  1.   Manhaj yang ‘pure’, bebas dari sebarang penyelewengan kesamaran. Satu-satunya sumber yang diguna  pakai dalam silibus adalah Quran dan Hadis
  2.  Manhaj yang ‘simple’, tiada cabang-cabang yang memeningkan dan tiada syariat yang pelbagai.
      Manhaj ini pula boleh dibahagikan kepada: 

       Teori
      
      1. Pendidikan Aqidah

  • Pembinaan Aqidah yang betul, tepat dan sejahtera
  • Menitikberatkan aspek ‘ruuhi’
  • Menanamakan rasa keimanan yang mendalam terhadap Islam
  • Menekankan aspek mengenal Allah, Rasul, Kitab dan Hari Akhirat

Inilah asas pembinaan ‘Qaedah Sulbah’ (‘coregroup’ dakwah).

Teks surah Makkiyah pula berkisar tentang;

  • Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma wa Sifat
  • Khabar dan perbicaraan Hari Akhirat, Syurga, Neraka dan alam ghaib
2. Pendidikan Akhlak
  • Menanamkan akhlak mulia dalam diri setiap muslim
  • Penyucian hati (tazkiyah)
  • Pembersihan hati dan anggota dari dosa dan maksiat
  • Menyeru untuk mempraktikkan akhlak yang mulia dan sentiasa mengaitkannya dengan redha Allah dan syurga (targhib)
Hasilnya, terbinalah satu masyarakat yang miskin dengan harta, tetapi kaya dengan akhlak mulia.

Perkara ini disimpulkan oleh Rasulullah s.a.w melalui sabda baginda:

"إِنَّمَا بُعْثِتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ"
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan ketinggian akhlak”

3. Pendidikan melalui Sejarah

Kisah dakwah Nabi-nabi, umat-umat terdahulu, kesudahan bagi ‘group baik’ dan balasan bagi ‘group jahat’.

Hal ini kerana Sunnatullah (ketetapan Allah) tidak sekali-kali akan berubah! Belajar Sirah (baca:sejarah) membuatkan kita seolah-olah melihat masa depan.

Formulanya sama, kesudahannya sama dan balasannya juga sama.

"Maka sekali-kali kamu tidak akan mendapat penggantian bagi sunnah Allah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu." (35:43)


Praktikal

1. Mendidik mengerjakan Solat

Inilah tiang agama, jika didirikan, terdirilah agama dalam diri, jika dirobohkan, ranaplah agama dalam diri. Namun, pada awal zaman Mekah, solat hanya disyariatkan 2 kali sehinggalah berlakunya Isra dan Mikraj pada akhir-akhir zaman Mekah.

2. Mendidik berQiyamullail

Aspek yang paling penting perlu ada pada diri setiap muslim yang bergelar ‘penyeru’. Generasi awal yang memeluk Islam mempunyai bekalan yang cukup untuk memikul beban dakwah melalui Madrasah Malam. Inilah seagung-agung pembinaan iman!  

"Sesungguhnya Kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang berat. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan." (73:5-6)

3. Mendidik berDakwah

Tanggungjawab dakwah telah dipikul oleh seluruh muslim pada zaman ini. Mereka melakukannya berdasarkan situasi dan keadaan masing-masing. Secara umumnya, setiap ketua keluarga akan memastikan keluarganya mengamalkan nila-nilai yang diajar Islam secara menyeluruh. Inilah seutuh-utuh institusi kekeluargaan!

"Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat" (26:214)

Secara umumnya, peringkat dakwah ini tidak terdedah kepada sebarang penentangan yang dahsyat daripada kaum musyrik Mekah. Ini kerana umat Islam pada ketika ini tak 'kacau line' mereka secara terang-terangan. Mereka hanya melaksanakan ibadah-ibadah khusus tanpa menyeru untuk meruntuhkan berhala, menghapuskan agama nenek moyang dan melarang pengamalan adat istiadat jahiliah.