Kepelbagaian merupakan lumrah
kehidupan. Kepelbagaian muncul seawal penciptaan adam dan hawa, serta
makhluk-makhluk lain yang lebih awal daripada mereka. Manusia dan kepelbagaian
hampir-hampir mustahil untuk dipisahkan, hatta di dalam tubuh badan manusia
wujud kepelbagaian yang amat menakjubkan!
Kepelbagaian pasti akan
melahirkan perbezaan dan perselisihan. Perselisihan (atau dalam bahasa arabnya
disebut khilaf atau ikhtilaf) pula merupakan salah satu tujuan penciptaan
makhluk. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 118 dan
119:
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai
Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut
agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka
terus-menerus berselisihan. Melainkan orang-orang yang telah diberi rahmat oleh
Tuhanmu, dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”
Khilaf seharusnya melahirkan
rahmat, bukan dendam kesumat!
Di Malaysia, khilaf di dalam isu
politik sangat dahsyat, sehingga membawa kepada keengganan untuk solat
berimamkan individu yang dianggap seteru politiknya. Segala puji bagi Allah,
isu ini tidak lagi berlaku hari ini. Namun, ia telah beranjak kepada isu akhlak
dan nilai-nilai baik kemasyarakatan hatta kemanusiaan. Golongan yang berkhilaf
seolah-olah sudah hilang sifat manusianya sebelum agamanya, sudah tidak
dipedulikan lagi soal etika, tingkah laku dan nilai-nilai murni!
Bagaimana seharusnya sikap kita
dalam menanggapi khilaf? Bagaimana kita hendak merealisasikan prinsip-prinsip
akhlak dalam menanggapi khilaf? Jawapannya mungkin adalah dengan memperbetul
dan memperbaiki kefahaman dan gambaran minda masyarakat dalam menanggapi
khilaf. Artikel ini akan cuba menggariskan asas-asas dan prinsip-prinsip penting
untuk menjadikan khilaf yang membawa rahmat, bukan dendam kesumat. Sebahagian
besar saya ambil dan olah daripada isi kandungan buku ‘Bagaimana Mengurus
Perselisihan’ oleh Dr Salman al-‘Audah.
Bagaimana cara Rasulullah
s.a.w menguruskan khilaf?
Mari sama-sama kita merenung
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud r.anhu:
Selepas perang badar,
Rasulullah s.a.w telah meminta pandangan daripada para sahabat: “Apa pandangan
kamu terhadap tawanan perang?” Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, mereka
merupakan kaummu dan kerabatmu, maka biarkanlah dan kasihanilah mereka,
moga-moga mereka diampunkan oleh Allah.” Umar menyanggahinya: “Wahai
Rasulullah, mereka telah mendustakan dan menghalau engkau, penggal sahaja
lehernya!” Abdullah bin Rawahah berkata: “Kumpulkan kayu api di dalam sebuah
parit, nyalakan api lalu masukkan mereka ke dalamnya.” Al-Abbas pula berkata: “Mereka
telah memutuskan hubungan silaturrahim denganmu.” Rasulullah tidak berkata
apa-apa, lalu mulalah manusia membuat andaian, ada yang mengatakan baginda
mengambil pandangan Abu Bakar, ada yang mengatakan Umar dan ada yang mengatakan
Abdullah bin Rawahah. Lalu, Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka: “Sesungguhnya
Allah melembutkan hati seseorang sehingga menjadi selembut susu, dan
mengeraskannya sekeras batu. Dan sesungguhnya hatimu wahai Abu Bakar ibarat Ibrahim
yang mengungkapkan: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang
menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka
kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” (Ibrahim 14:36), Isa
yang mengungkapkan: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang
menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika
Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maaidah 5:118) Manakala engkau wahai Umar seperti
Nuh yang mengungkapkan: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun
dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!” (Nuh 71:26) dan Musa
yang mengungkapkan: “Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan
meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu
mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi
sakitnya.” (Yunus 10:88)
Jelas di sini bagaimana
Rasulullah s.a.w mengiktiraf dan menghormati perbezaan pandangan para sahabat
dengan memberikan kata-kata perangsang dan menenangkan para sahabat dengan
ungkapan yang sangat tulus, telus dan adil.
Qudwah dari Imam 4 Mazhab
Mari kita sama-sama meneliti dan
menginsafi pula sikap para imam mazhab yang masyhur iaitu Imam Abu Hanifah,
Imam Malik, Imam as-Syafie dan Imam Ahmad dalam menguruskan perbezaan. Perbezaan
pandangan yang berlaku antara mereka tidak pernah menimbulkan persengketaan
apatah lagi pertelingkahan, bahkan mereka tetap berkasih sayang, saling
menziarahi, menukilkan pandangan antara satu sama lain, saling memuji antara
satu sama lain, hatta Imam as-Syafie ketika diminta oleh Imam Ahmad untuk
mengimamkan solat Subuh, beliau tidak berdoa qunut kerana menghormati pandangan
Imam Ahmad. Perkara ini merupakan antara fiqh (kefahaman) yang sangat agung ada
pada para imam mazhab, yakni tidak memperbesar-besarkan khilaf atau bersikap
melampau dan berlebih-lebihan yang boleh membawa kepada krisis ukhuwah imaniyah
(persaudaraan iman). Hal ini kerana, mereka meyakini bahawa khilaf dalam
perkara cabang fiqh tidak sepatutnya sampai mengabaikan aspek kasih sayang sesama
muslim yang merupakan asas di dalam persaudaraan Islam serta larangan saling
mendengki dan bertelingkah merupakan larangan yang qat’ie (nyata dan jelas).
Seorang ulama’ yang bernama Falih
Muhammad az-Zahiri (bermazhab Zahiri) telah menukilkan sebuah syair yang sangat
menarik menggambarkan kerendahan hati para imam mazhab:
"Imam Abu Hanifah berkata tidak
sepatutnya mereka yang memahami Islam mengambil pandanganku sebelum
menimbangnya dengan quran dan hadis
Imam Malik imam dar al-hijrah
(madinah) berkata di sisi kaabah setiap kalam itu boleh diterima dan ditolak
melainkan rasul
Imam as-Syafie pula berkata jika
kamu melihat pandanganku menyanggahi apa yang diriwayatkan daripada hadis, maka
hentakkannya di dinding
Imam Ahmad berkata jangan tulis
semua yang aku katakan bahkan minta kepadaku dalilnya."
Perselisihan seputar isu
pelaksanaan Syariah
Isu pelaksanaan syariah telah
menjadi polemik yang dahsyat di Malaysia sejak sekian lama. Lebih membimbangkan
lagi apabila ia dijadikan modal oleh sebahagian pihak atau parti politik untuk
meraih undi dan sokongan sekelompok rakyat. Pada pengamatan penulis, kefahaman
terhadap mafhum dan konsep asal Syariah jika tidak ditangani dengan saksama
akan menyebabkan kekeliruan yang berpanjangan terhadap Syariah yang sepatutnya
sangat suci, benar dan adil keseluruhannya. Namun, interpretasi dan persembahan
sebahagian pihak yang mendakwa mewakili Islam dan pendokong Syariah telah
menyebabkan berlakunya salah faham dan kekeliruan terhadap Syariah. Selain itu,
sikap sebahagian pihak yang memonopoli dan mendakwa hanya kefahaman mereka yang
mewakili kebenaran dan pemegang tongkat sakti Syariah, lalu menganggap
pandangan pimpinan mereka sahajalah yang benar dan harus diterima pakai oleh
orang lain. Perkara ini adalah tidak benar sama sekali dan menyanggahi tabiat
dan fitrah kehidupan, di mana Allah telah menciptakan umat ini dengan pelbagai
bentuk kemahiran, kelebihan dan pengetahuan.
Oleh itu, menganggap seseorang
pimpinan atau ulama’ mewakili seluruh umat dan wajib ditaati adalah amat salah
sekali, kerana ketaatan mutlak hanya pada Allah dan Rasul. Kebenaran dan
kebaikan itu tidak boleh dimonopoli oleh seorang pimpinan, imam atau ulama’. Oleh
itu, jika konsep dan kefahaman asal terhadap Syariah ini ditangani dengan
sebaiknya, persoalan-persoalan lain akan lebih mudah untuk dijawab dengan baik.
Hukum Allah vs hukum manusia
Polemik ini juga tidak kurang
dahsyatnya di Malaysia mutakhir ini. Hal ini kerana wujud sebahagian golongan
yang berfikir secara simplistik dan menganggap bahawa hukum Allah itu mesti
dilaksanakan untuk mendapat keredhaan Allah.
Sebelum membincangkan perkara ini
dengan lebih jauh sama ada dari aspek teknikal, situasi masyarakat, perundangan
dan sebagainya, persoalan yang ingin dibangkitkan penulis di dalam penulisan
ini adalah:
Apakah hukum Allah? Bagaimanakah yang dikatakan hukum Allah? Siapakah
yang wajar dan berautoriti untuk mendakwa hukum yang dikanunkan itu adalah
hukum Allah?
Untuk menjawab persoalan ini,
telah jelas disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada
Buraidah bin al-Husaib r.anhu:
“Ketikamana Rasulullah s.a.w
melantik seseorang panglima untuk mengetuai perang atau angkatan tentera,
baginda akan berpesan kepada panglima tersebut untuk bertaqwa kepada Allah dan
bersikap baik terhadap pengikut, kemudian baginda bersabda: “Jika sekiranya
kamu mengepung sesebuah bandar, lalu mereka menginginkan agar engkau
melaksanakan hukum Allah, janganlah engkau berbuat demikian, tetapi laksanakan
atas hukum engkau, kerana sesungguhnya engkau tidak pernah mengerti adakah
betul hukum tersebut adalah hukum Allah atau tidak.”
Oleh itu, jelaslah di sini
dakwaan sebahagian pihak yang mengatakan hukum yang didatangkan oleh mereka
adalah hukum Allah secara mutlak, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir,
fasiq dan munafiq sama sekali tidak benar!
Oleh itu, penulis menyarankan
agar diselesaikan dan ditangani dengan teliti, adil dan saksama persoalan
kefahaman yang betul sebelum menguruskan sesebuah perselisihan dan perbezaan
pandangan. Semoga Allah s.w.t memandu kita untuk memperoleh kefahaman yang
betul dan benar sekaligus menjauhkan kita dari sikap berlebih-lebihan, melampau
dan ta’sub dengan pandangan pimpinan, ulama’ atau kelompok tertentu.
No comments:
Post a Comment