Pages

Thursday 17 September 2015

Menanggapi Khilaf dengan Kefahaman dan Seputar isu Pelaksanaan Syariah

Kepelbagaian merupakan lumrah kehidupan. Kepelbagaian muncul seawal penciptaan adam dan hawa, serta makhluk-makhluk lain yang lebih awal daripada mereka. Manusia dan kepelbagaian hampir-hampir mustahil untuk dipisahkan, hatta di dalam tubuh badan manusia wujud kepelbagaian yang amat menakjubkan!
Kepelbagaian pasti akan melahirkan perbezaan dan perselisihan. Perselisihan (atau dalam bahasa arabnya disebut khilaf atau ikhtilaf) pula merupakan salah satu tujuan penciptaan makhluk. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 118 dan 119:

“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Melainkan orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”

Khilaf seharusnya melahirkan rahmat, bukan dendam kesumat!

Di Malaysia, khilaf di dalam isu politik sangat dahsyat, sehingga membawa kepada keengganan untuk solat berimamkan individu yang dianggap seteru politiknya. Segala puji bagi Allah, isu ini tidak lagi berlaku hari ini. Namun, ia telah beranjak kepada isu akhlak dan nilai-nilai baik kemasyarakatan hatta kemanusiaan. Golongan yang berkhilaf seolah-olah sudah hilang sifat manusianya sebelum agamanya, sudah tidak dipedulikan lagi soal etika, tingkah laku dan nilai-nilai murni!

Bagaimana seharusnya sikap kita dalam menanggapi khilaf? Bagaimana kita hendak merealisasikan prinsip-prinsip akhlak dalam menanggapi khilaf? Jawapannya mungkin adalah dengan memperbetul dan memperbaiki kefahaman dan gambaran minda masyarakat dalam menanggapi khilaf. Artikel ini akan cuba menggariskan asas-asas dan prinsip-prinsip penting untuk menjadikan khilaf yang membawa rahmat, bukan dendam kesumat. Sebahagian besar saya ambil dan olah daripada isi kandungan buku ‘Bagaimana Mengurus Perselisihan’ oleh Dr Salman al-‘Audah.

Bagaimana cara Rasulullah s.a.w menguruskan khilaf?

Mari sama-sama kita merenung sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud r.anhu: 
Selepas perang badar, Rasulullah s.a.w telah meminta pandangan daripada para sahabat: “Apa pandangan kamu terhadap tawanan perang?” Abu Bakar berkata: “Wahai Rasulullah, mereka merupakan kaummu dan kerabatmu, maka biarkanlah dan kasihanilah mereka, moga-moga mereka diampunkan oleh Allah.” Umar menyanggahinya: “Wahai Rasulullah, mereka telah mendustakan dan menghalau engkau, penggal sahaja lehernya!” Abdullah bin Rawahah berkata: “Kumpulkan kayu api di dalam sebuah parit, nyalakan api lalu masukkan mereka ke dalamnya.” Al-Abbas pula berkata: “Mereka telah memutuskan hubungan silaturrahim denganmu.” Rasulullah tidak berkata apa-apa, lalu mulalah manusia membuat andaian, ada yang mengatakan baginda mengambil pandangan Abu Bakar, ada yang mengatakan Umar dan ada yang mengatakan Abdullah bin Rawahah. Lalu, Rasulullah s.a.w berkata kepada mereka: “Sesungguhnya Allah melembutkan hati seseorang sehingga menjadi selembut susu, dan mengeraskannya sekeras batu. Dan sesungguhnya hatimu wahai Abu Bakar ibarat Ibrahim yang mengungkapkan: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” (Ibrahim 14:36), Isa yang mengungkapkan: “Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Maaidah 5:118) Manakala engkau wahai Umar seperti Nuh yang mengungkapkan: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!” (Nuh 71:26) dan Musa yang mengungkapkan: “Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” (Yunus 10:88)

Jelas di sini bagaimana Rasulullah s.a.w mengiktiraf dan menghormati perbezaan pandangan para sahabat dengan memberikan kata-kata perangsang dan menenangkan para sahabat dengan ungkapan yang sangat tulus, telus dan adil.

Qudwah dari Imam 4 Mazhab

Mari kita sama-sama meneliti dan menginsafi pula sikap para imam mazhab yang masyhur iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam as-Syafie dan Imam Ahmad dalam menguruskan perbezaan. Perbezaan pandangan yang berlaku antara mereka tidak pernah menimbulkan persengketaan apatah lagi pertelingkahan, bahkan mereka tetap berkasih sayang, saling menziarahi, menukilkan pandangan antara satu sama lain, saling memuji antara satu sama lain, hatta Imam as-Syafie ketika diminta oleh Imam Ahmad untuk mengimamkan solat Subuh, beliau tidak berdoa qunut kerana menghormati pandangan Imam Ahmad. Perkara ini merupakan antara fiqh (kefahaman) yang sangat agung ada pada para imam mazhab, yakni tidak memperbesar-besarkan khilaf atau bersikap melampau dan berlebih-lebihan yang boleh membawa kepada krisis ukhuwah imaniyah (persaudaraan iman). Hal ini kerana, mereka meyakini bahawa khilaf dalam perkara cabang fiqh tidak sepatutnya sampai mengabaikan aspek kasih sayang sesama muslim yang merupakan asas di dalam persaudaraan Islam serta larangan saling mendengki dan bertelingkah merupakan larangan yang qat’ie (nyata dan jelas).

Seorang ulama’ yang bernama Falih Muhammad az-Zahiri (bermazhab Zahiri) telah menukilkan sebuah syair yang sangat menarik menggambarkan kerendahan hati para imam mazhab:

"Imam Abu Hanifah berkata tidak sepatutnya mereka yang memahami Islam mengambil pandanganku sebelum menimbangnya dengan quran dan hadis

Imam Malik imam dar al-hijrah (madinah) berkata di sisi kaabah setiap kalam itu boleh diterima dan ditolak melainkan rasul

Imam as-Syafie pula berkata jika kamu melihat pandanganku menyanggahi apa yang diriwayatkan daripada hadis, maka hentakkannya di dinding

Imam Ahmad berkata jangan tulis semua yang aku katakan bahkan minta kepadaku dalilnya."

Perselisihan seputar isu pelaksanaan Syariah

Isu pelaksanaan syariah telah menjadi polemik yang dahsyat di Malaysia sejak sekian lama. Lebih membimbangkan lagi apabila ia dijadikan modal oleh sebahagian pihak atau parti politik untuk meraih undi dan sokongan sekelompok rakyat. Pada pengamatan penulis, kefahaman terhadap mafhum dan konsep asal Syariah jika tidak ditangani dengan saksama akan menyebabkan kekeliruan yang berpanjangan terhadap Syariah yang sepatutnya sangat suci, benar dan adil keseluruhannya. Namun, interpretasi dan persembahan sebahagian pihak yang mendakwa mewakili Islam dan pendokong Syariah telah menyebabkan berlakunya salah faham dan kekeliruan terhadap Syariah. Selain itu, sikap sebahagian pihak yang memonopoli dan mendakwa hanya kefahaman mereka yang mewakili kebenaran dan pemegang tongkat sakti Syariah, lalu menganggap pandangan pimpinan mereka sahajalah yang benar dan harus diterima pakai oleh orang lain. Perkara ini adalah tidak benar sama sekali dan menyanggahi tabiat dan fitrah kehidupan, di mana Allah telah menciptakan umat ini dengan pelbagai bentuk kemahiran, kelebihan dan pengetahuan. 

Oleh itu, menganggap seseorang pimpinan atau ulama’ mewakili seluruh umat dan wajib ditaati adalah amat salah sekali, kerana ketaatan mutlak hanya pada Allah dan Rasul. Kebenaran dan kebaikan itu tidak boleh dimonopoli oleh seorang pimpinan, imam atau ulama’. Oleh itu, jika konsep dan kefahaman asal terhadap Syariah ini ditangani dengan sebaiknya, persoalan-persoalan lain akan lebih mudah untuk dijawab dengan baik.

Hukum Allah vs hukum manusia

Polemik ini juga tidak kurang dahsyatnya di Malaysia mutakhir ini. Hal ini kerana wujud sebahagian golongan yang berfikir secara simplistik dan menganggap bahawa hukum Allah itu mesti dilaksanakan untuk mendapat keredhaan Allah. 

Sebelum membincangkan perkara ini dengan lebih jauh sama ada dari aspek teknikal, situasi masyarakat, perundangan dan sebagainya, persoalan yang ingin dibangkitkan penulis di dalam penulisan ini adalah: 
Apakah hukum Allah? Bagaimanakah yang dikatakan hukum Allah? Siapakah yang wajar dan berautoriti untuk mendakwa hukum yang dikanunkan itu adalah hukum Allah?

Untuk menjawab persoalan ini, telah jelas disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Husaib r.anhu:
“Ketikamana Rasulullah s.a.w melantik seseorang panglima untuk mengetuai perang atau angkatan tentera, baginda akan berpesan kepada panglima tersebut untuk bertaqwa kepada Allah dan bersikap baik terhadap pengikut, kemudian baginda bersabda: “Jika sekiranya kamu mengepung sesebuah bandar, lalu mereka menginginkan agar engkau melaksanakan hukum Allah, janganlah engkau berbuat demikian, tetapi laksanakan atas hukum engkau, kerana sesungguhnya engkau tidak pernah mengerti adakah betul hukum tersebut adalah hukum Allah atau tidak.”

Oleh itu, jelaslah di sini dakwaan sebahagian pihak yang mengatakan hukum yang didatangkan oleh mereka adalah hukum Allah secara mutlak, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir, fasiq dan munafiq sama sekali tidak benar!

Oleh itu, penulis menyarankan agar diselesaikan dan ditangani dengan teliti, adil dan saksama persoalan kefahaman yang betul sebelum menguruskan sesebuah perselisihan dan perbezaan pandangan. Semoga Allah s.w.t memandu kita untuk memperoleh kefahaman yang betul dan benar sekaligus menjauhkan kita dari sikap berlebih-lebihan, melampau dan ta’sub dengan pandangan pimpinan, ulama’ atau kelompok tertentu.