Pages

Monday 29 February 2016

Mengenali Sheikh Ali Muhyiddin al-Qarradaghi dan Gagasan Islam Agama Rahmah

Pada kesempatan ini, saya ingin menarik perhatian para pembaca yang budiman untuk mengenali sosok tubuh yang bernama ALI MUHYIDDIN AL-QARRADAGHI, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama' Muslim Sedunia hafizahullah.

SIAPAKAH BELIAU?




Beliau dilahirkan di perkampungan al-Qarradagh, di dalam Daerah Sulaimaniah, Kurdistan di Iraq pada tahun 1949. Beliau merupakan keturunan Saidina Al-Husain Bin Ali, dan terkenal dengan keluarga yang menitikberatkan aspek ilmu. Beliau telah menghafal al-Quran ketika masih kecil, kemudian menuntut ilmu dengan beberapa tokoh ulama dan bapa saudaranya sendiri yang merupakan alim pada ketika itu.

Pada tahun 1975, beliau melanjutkan pengajian peringkat Ijazah di Kuliyah Syariah di Baghdad dan mendapat Ijazah Kelas Pertama (Mumtaz). Kemudian, pada tahun 1980 beliau menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam Fiqh Perbandingan dan Doktor Falsafah di Kuliyah Syariah dan Perundangan Universiti al-Azhar dengan mendapat keputusan kelas pertama pada kedua-dua peringkat. Tajuk tesis Phd beliau adalah ‘Prinsip Redha di dalam Syariah Islam dan Undang-Undang Sivil’ di mana kajian beliau merangkumi pandangan lapan mazhab fiqh, undang-undang Rom, British, Perancis, Mesir dan Iraq.

Pada tahun 1985, beliau telah berkhidmat di Universiti Qatar sebagai tenaga pengajar di Kuliyah Syariah sehinggalah beliau memperoleh pangkat Profesor pada tahun 1995. Beliau telah mengarang lebih daripada 30 buah buku, 100 kertas kajian yang majoritinya dalam bidang Muamalat, Kewangan dan Perbankan Islam, Fiqh dan Pemikiran Islam. Beliau juga melakukan tahqiq atau semakan ke atas buku-buku klasik fiqh.

Para ulama kontemporari telah mengiktiraf keilmuwan, ketelitian dan kefaqihan beliau di dalam bidang Muamalat dan Kewangan Islam. Antara yang mengiktirafnya adalah Sheikh Mustafa Az-Zarqa’ dan Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi.

Antara keistimewaan beliau ialah mampu membuat kajian dan perbahasan dengan teliti tentang sesuatu permasalahan oleh sebab hafalan al-Quran sejak kecil, menguasai disiplin hadis, menguasai perbahasan kitab-kitab fiqh dan menguasai permasalahan dunia moden. Beliau mampu menggabung jalin antara fiqh turath (klasik) dan fiqh waqi’ (kontemporari), antara memahami nusus (teks-teks) dan memahami maqasid (objektif). Elemen-elemen ini amat diperlukan bagi pembinaan seorang ulama' kontemporari dalam mendepani cabaran semasa, di samping pandangan yang seimbang (tawazun), manhaj yang mu’tadil/wasatiyah dan keperibadian yang tawadhu’ (merendah diri).

Beliau memegang jawatan penting di dalam keanggotaan beberapa badan berautoriti, antaranya:

i)              Setiausaha Agung Kesatuan Ulama’ Dunia.
ii)   Ketua Majlis Penasihat Tertinggi untuk pengharmonian antara mazhab-mazhab di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
iii)          Naib Presiden Majlis Fatwa dan Kajian Eropah.
iv)          Profesor dan mantan Dekan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam di Universiti Qatar.
v)            Ketua Majlis Pemegang Amanah Kesatuan Pembangunan Sumber Manusia di Kurdistan Iraq.
vi)          Ketua Kesatuan Muslim Kurdistan.
vii)        Pakar rujuk di dalam Kesatuan Fiqh Islami.
viii)      Anggota pengasas Badan Rahmah Kemanusiaan di Skandinavia.

Selain itu, beliau juga berkhidmat di beberapa institusi kewangan:

i)          Ketua atau anggota Majlis Penasihat di dalam Badan Fatwa dan Pengawasan Syariah beberapa buah bank antaranya Bank Islam Dubai, Asian Finance Bank, Bank Pelaburan Bahrain dan Institusi Pelaburan Kuwait.
ii)            Ketua atau anggota Majlis Penasihat syarikat Insurans di Qatar dan lain-lain.
iii)          Anggota Majlis Syariah Badan Pengawasan Timbang tara Institusi-institusi Kewangan Islam.

Pada tahun 2015, beliau disenaraikan sebagai antara 500 tokoh muslim paling berpengaruh di dunia, yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Rasmi di Amman, Jordan.

ISLAM AGAMA RAHMAH

Dewasa ini, Islam sering ditohmah dengan tohmahan yang negatif, seringkali dikaitkan dengan keganasan, pertelingkahan dan sebagainya. Perkara ini adalah disebabkan kegagalan sebahagian muslim sendiri dalam mempamerkan dan mempromosikan ajaran Islam yang rahmah. Sheikh Ali merupakan antara tokoh yang seringkali membawa mesej dan nilai rahmah dalam ajaran Islam merentasi ideologi, benua dan agama! Beliau juga telah dipertanggungjawabkan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi untuk mengetuai unit dialog keharmonian antara agama dan kebajikan minoriti. 

Kepakaran beliau dalam fiqh perbandingan serta kebolehan dalam menggabung jalin antara teks-teks klasik dan pemahaman terhadap realiti serta permasalahan semasa memberi kesan kepada ijtihad dan pandangan-pandangan beliau yang kelihatan sangat segar dan relevan dalam konteks semasa. 

Oleh itu, dalam entri kali ini saya ingin berkongsi salah satu isi khutbah yang telah beliau sampaikan pada awal tahun ini, di mana beliau telah menkhususkan tajuk khutbah beliau dengan tajuk: ISLAM DEEN RAHMAH, dan saya telah menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu agar dapat dimanfaatkan dan disebar luaskan lagi kefahaman ini dengan izin Allah:

TEKS KHUTBAH

Jika seorang Muslim mentadabbur kitab Tuhannya dan sunnah Nabi Muhammad SAW, maka tidak akan ditemui agama, sistem, undang-undang atau syariat daripada syariat-syariat terdahulu yang memberikan perhatian setinggi-tingginya terhadap nilai rahmat dan belas kasihan sepertimana agama yang agung ini. Sesungguhnya Allah SWT telah memulakan kitab-Nya yang agung (Al-Quran) yang merupakan perlembagaan bagi umat Islam dengan permulaan yang mulia: Bismillah ar-rahman ar-rahim (Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang).  Ayat ini mengandungi dua sifat daripada sifat-sifat Allah SWT dan dua nama dari asma’ ul husna (nama-nama Allah SWT). 

1) Ar-Rahman: menunjukkan kasih sayang Allah SWT yang menyeluruh lagi luas. Firman Allah SWT: “Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”, samada manusia, haiwan serta semua yang wujud di alam ini, diciptakan dengan kasih sayang. Allah SWT juga mengurniakan petunjuk dengan rahmat-Nya, semua makhluk hidup dan mati dengan rahmat-Nya, maka semuanya mendapat rahmat Allah SWT dan mereka dikurniakan oleh Allah SWT rezeki dan nikmat yang tidak terhitung. 

2) Ar-Rahim: rahmat Allah yang khusus untuk hamba-hambaNya yang berhak untuk mendapat rahmat ini di akhirat.

Ayat (Basmalah) ini diulang-ulang pada permulaan setiap surah, melainkan surah Bara’ah (Surah at-Taubah). Namun, ianya digantikan di dalam surah an-Naml, justeru menjadikan bilangan Basmalah menyamai bilangan surah di dalam al-Quran iaitu sebanyak 114.

Kemudian, al-Quran dimulakan dengan surah al-Fatihah yang mana dimulakan dengan ayat: الحمد لله رب العالمين (Segala puji milik Allah Tuhan sekalian alam), yang mana mengisyaratkan makna Rububiyyah yakni pembangunan insan (Tanmiyatul Insan) secara bertahap-tahap sehinggalah mencapai tahap ciptaan yang sempurna sepertimana yang dikehendaki Allah SWT, iaitu nilai rahmat bahkan hingga mencapai kemuncak rahmat. Kemudian, di dalam surah ini juga diulang dua sifat dan dua nama iaitu ar-Rahman dan ar-Rahim.

Kemudian, kalimah Rahmah ini diulang-ulang dalam pelbagai jenis, bentuk, tempat serta susunannya di dalam al-Quran al-Karim lebih daripada 300 kali, dan jika kita tambah padanya kalimah-kalimah yang membawa sinonim dengannya seperti Ro’fah dan selainnya, nescaya ayat-ayat yang berkaitan dengan nilai rahmat di dalam Islam akan mencapai 1000 ayat atau menyamai 1/6 al-Quran al-Karim.

Tidak cukup sekadar itu, al-Quran juga berbicara tentang Rasulullah SAW dan risalah baginda yang dibawa dengan hanya kerahmatan وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين (dan tidak Aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat buat sekalian alam). 

Rasulullah SAW telah mempraktikkan sifat rahmah ini di dalam sirah perjalanan kehidupannya dan pergaulannya yang baik sesama manusia samada Muslim atau bukan Muslim, melainkan terhadap mereka yang memerangi dan melampaui batas.

Rasulullah SAW merupakan insan yang paling penyayang dengan manusia kecuali jika terdapat kezaliman dan perbuatan melampaui batas. Rasulullah SAW konsisten dengan sikap penyayang baginda meskipun Abu Jahal menyakitinya pada waktu siang, namun pada waktu malam Rasulullah SAW akan berdoa untuknya: “Ya Allah, teguhkanlah Islam dengan salah satu daripada dua Umar (yakni Umar al-Khattab dan Abu Jahal yang nama sebenarnya Umar).

Ketikamana di Taif, Rasulullah SAW disakiti dengan dahsyat oleh golongan yang jahil dan kanak-kanak yang telah melemparkan batu kepada baginda SAW sehingga berdarah kaki baginda yang penuh berkat. Lalu, baginda SAW berteduh di bawah sepohon pokok dan berdoa kepada Allah SWT dengan menyebut: “Sekiranya tiada kemarahan Engkau ke atasku, tidaklah aku peduli.” Kemudian, datanglah Malaikat gunung menawarkan untuk menghancurkan mereka yang telah menyakiti baginda SAW, tetapi baginda enggan malah berdoa kepada Allah SWT: “Moga Allah SWT keluarkan daripada tulang sulbi mereka keturunan yang menyembah Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya.”

Kemudian, Rasulullah SAW mendidik umatnya agar mengamalkan nilai rahmat dan mengikatnya dengan iman. Baginda SAW bersabda: “Barangsiapa yang tidak mengasihi dia tidak akan dikasihi. Kasihilah makhluk yang ada di bumi, nescaya semua yang ada di langit akan mengasihi kamu semua.”

Rasulullah SAW juga telah bersabda: “Kamu tidak akan beriman sehingga kamu saling mengasihi antara satu sama lain.” Sahabat-sahabat berkata: “Setiap daripada kami adalah penyayang.” Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah rahmat itu kamu mengasihi sahabat kamu sahaja, akan tetapi kasih kamu kepada semua manusia dengan kasih yang menyeluruh.” Kasih yang menyeluruh: Merangkumi semua insan, sama ada yang berlaku baik atau berlaku buruk terhadap kamu. Beginilah cara didikan Nabi SAW terhadap sahabat-sahabat baginda yang mulia.

Al-Aqraʿ bin Habis datang kepada Rasulullah SAW dan melihat baginda mencium cucu baginda al-Hasan dan al-Hussain r.anhuma. Maka al-Aqra’ berkata “Aku mempunyai 10 orang anak lelaki tetapi aku tidak pernah mencium salah seorang daripada mereka,” maka Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak akan mampu untuk memupuk rahmat di hatimu setelah Allah SWT mencabutnya dari hatimu”. Dan sememangnya apabila dicabutnya rahmat dari hati seseorang, maka Allah SWT tidak akan merahmatinya.

Setelah memaparkan perbicaraan al-Quran dan Sirah Nabawiyyah yang sarat dengan mesej rahmat, kita beralih pula kepada Ummah ini yang dilahirkan oleh Allah SWT di atas muka bumi dengan objektif yang dikehendaki oleh-Nya: كنتم خير أمة أخرجت للناس (Kalian merupakan sebaik-baik Ummah dilahirkan untuk manusia).

Akan tetapi Ummah ini bukanlah Ummah yang lahir tanpa sebarang pemeliharaan dan penjagaan, bahkan ia merupakan Ummah yang dicipta oleh Allah SWT dan ditarbiah (dididik) oleh Rasulullah SAW selama 23 tahun. Baginda yang disifatkan oleh Allah SWT sebagai pemilik akhlak yang agung. إنك لعلى خلق عظيم (Sesungguhnya engkau wahai Muhammad memiliki bahkan berada di atas akhlak yang agung).

Ummah ini bukanlah diciptakan untuk berkhidmat kepada kelompok mereka sahaja, tetapi untuk berkhidmat kepada seluruh manusia, juga menjadi Qudwah (teladan) dengan nilai kasih sayang dan belas kasihan samada melalui hati, lisan dan amal perbuatan. 

Rahmah dalam Islam bukanlah semata-mata perasaan kasih yang disimpan di dalam benak hati, akan tetapi ianya adalah rahmah yang memenuhi hati kemudian melimpah keluar ke lisan dan seterusnya kepada anggota badan sekaligus seluruh anggota tubuh bersifat penyayang yang memberi khidmat dan kebaikan kepada seluruh manusia dan semua makhluk, ini kerana: “Bukanlah iman itu sekadar bercita-cita di dalam hati dan bukan pula perhiasan. Akan tetapi iman itu ialah sesuatu yang teguh di dalam hati dan dibenarkan melalui amal.” Dan begitulah rahmah yang merupakan sifat amali yang terpancar daripada hati. Dan bagi setiap perkara ada asal usulnya, maka asal usul bagi rahmat adalah daripada hati kemudian diaplikasikan oleh lisan kemudian menghasilkan buah melalui seluruh anggota badan. 

Allah SWT menghendaki bagi Ummah ini nilai ukhuwwah persaudaraan sebagai ikatan yang paling asas antara mereka: إنما المؤمنون إخوة (Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara). Maka saudara yang hakiki adalah yang berjuang bersama-samamu dalam Iman. Ukhuwwah ini terbina atas kasih sayang Rasulullah SAW kepada kita, kemudian kasih kita kepada diri kita, lebih daripada itu kasih Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh yang demikian, diturunkan ayat-ayat Quran untuk mendidik ummah yang bermulanya kehidupan di padang pasir dengan tabiat semula jadi yang kering dan keras. Maka pendidikan buat mereka dipertingkatkan lagi supaya mereka menjadi insan yang lemah lembut, fleksibel dan penyayang. Maka dengan itu sememangnya cara pendidikan ini telah mendatangkan hasil. 

Sebagai contoh, Abu Zar al-Ghifari r.anhu pernah menggelar Bilal bin Rabah r.anhu “anak orang hitam” dengan anggapan bahawa panggilan itu adalah sesuatu yang biasa - tidaklah bermaksud untuk menghina, sebab tiada perbezaan di antara hitam dan putih di sisi Allah SWT. Namun, Islam melarang kalimah-kalimah sebegini kerana ianya mengguris perasaan seseorang. Maka ketikamana Abu Zar r.anhu menyedari kesilapannya sedangkan dia telah mendapat didikan Rasulullah SAW, dia telah meletakkan pipinya di atas tanah sebagai hukuman buat dirinya dan bersumpah untuk tidak mengangkat pipinya sehingga Bilal memijaknya. Namun Bilal r.anhu tidak melakukannya, sebaliknya memaafkannya dan menciumnya seterusnya mereka kembali beramah mesra dan bersalaman.

REALITI UMAT

Dewasa ini ummah kita menikmati kebaikan yang banyak. Namun, Islam telah menjadi sekadar kulit-kulit tanpa intipati dan makna di sisi kebanyakan manusia. Mereka mengerjakan solat tetapi tidak mengikatnya dengan tegahan daripada perkara keji, menunaikan zakat tetapi mencari fatwa-fatwa bagi mengecualikan mereka daripada tuntutan zakat, lebih dahsyat lagi mereka ingin melakukan helah kepada Allah SWT sedangkan Allah SWT berfirman: وفي أموالهم حق معلوم (dan pada harta-harta mereka terdapat hak yang termaklum). Bagaimana pembangunan-pembangunan yang megah dikecualikan daripada zakat akan tetapi Arab Badwi miskin yang hidup di padang pasir dan memiliki 5 ekor unta atau 40 ekor kambing diwajibkan pula ke atas mereka untuk membayar zakat dengan ijmak ulama’? Ini sesekali tidak menggambarkan Islam. Segala sesuatu tidak dapat disembunyikan dari Allah SWT. Tidak mungkin bagi kita untuk mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram melalui cara helah, bahkan Allah SWT telah melaknat orang Yahudi kerana mereka cuba untuk melakukan helah kepada Allah SWT.

Saudara-saudara yang mulia, saya telah mengkaji kurun kelima dan ketujuh hijrah, iaitu tempoh penjajahan tentera Salib dan saya tidak melihat suatu keadaan yang lebih parah menimpa umat berbanding dengan apa yang kita alami sekarang. Hal ini kerana, musuh mereka hanya berada di luar sedangkan musuh kita berada di dalam selimut kita sendiri.
Pada zaman ini, ayat-ayat Quran dibaca sepertimana dibaca oleh orang yang terdahulu akan tetapi adakah hati-hati kita merasa kasih terhadap saudara-saudara kita di perkhemahan pelarian yang terseksa kelaparan dan meninggal dunia kerana kesejukan dan salji lebat yang melanda negara mereka dan kemungkinannya pertama kali berlaku dalam tempoh 30 tahun? Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah penduduk sesuatu tempat itu akan mendapat lindungan Allah dan Rasul-Nya jika sekiranya dalam kalangan mereka ada yang mati kerana kelaparan.”

Maka bagaimana perhitungan kita di hadapan Allah SWT nanti dan apa jawapan kita pada setiap peristiwa yang berlaku di Syria, Palestin, dan kepada saudara-saudara kita di Gaza yang mana mereka dalam keadaan yang teruk dan begitu juga di al-Quds dan di Iraq. Bandar al-Rimadi telah dihancurkan, dan lihatlah bagaimana ISIS boleh masuk ke bandar-bandar Sunni dan memusnahkannya satu persatu, dan apa yang akan berlaku di Mosul jika mereka menghancurkannya secara menyeluruh dan penduduknya seramai 4 juta orang. Sesungguhnya ini adalah bencana!

Wilayah Kurdish merupakan satu-satunya tempat berlindung untuk pelarian tetapi disebabkan mereka tiada sumber pendapatan, mereka meninggal dunia disebabkan kefakiran. Lebih malang lagi, kefakiran juga telah merebak di kebanyakan negara kita, contohnya di Yaman, manusia meninggal dunia dan ada yang terseksa kerana kelaparan. Saya menyeru kepada anda semua untuk menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan dan jika kita tidak sampai tahap Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.anhu yang menginfak seluruh hartanya sekalipun, maka sekurang-kurangnya dengan mengeluarkan tenaga dan amal semampunya sehingga apabila kita disoal oleh Allah SWT nanti, kita mampu untuk menjawab dan berhujah.

Rahmat itu bukanlah semata-mata kalimat yang dituturkan tetapi ianya adalah perasaan kasih yang hakiki di dalam hati, seterusnya menggerakkan mata yang mengalirkan air mata, dan juga menggerakkan lidah dengan kata-kata yang benar dan seterusnya anggota badan yang meyumbangkan jasa dalam merealisasikan nilai rahmat. Manusia juga akan turut sama bergerak untuk membelanjakan hartanya demi saudara-saudaranya.

Saya tidak sanggup untuk bertutur apabila kita berbicara tentang keadaan perkhemahan pelarian di Syria, Iraq, dan Palestin serta Yaman. Kamu semua telah menyaksikan jenayah-jenayah yang mencabuli kemanusiaan di Madaya (sebuah bandar di Syria). Moga Allah hancurkan rejim zalim ini (Assad) yang membunuh rakyatnya, dan semoga Allah hancurkan militan-militan yang keji lagi keras yang bersifat kepuakan (sectarian) dan mengepung mereka yang tidak berdosa. Moga Allah hancurkan mereka yang membantu dan menyokong orang zalim: ولا تركنوا الى الذين ظلموا فتسمكم النار (Janganlah kamu cenderung pada orang yang zalim nescaya api neraka akan menyambar kamu).

Di manakah kemanusiaan?
Di manakah suara hati Ummah Islamiyah dan Ummah Insaniyah?
Dimanakah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?
Dimanakah Liga Arab?
Dimanakah OIC?

Setiap pihak sibuk dengan isu dalaman mereka dan peperangan di antara puak-puak tertentu yang hanya mendatangkan faedah dan manfaat kepada musuh. Sesungguhnya semua nanti akan disoal di hadapan Allah SWT berdasarkan kadar penanggungjawabannya dan kemampuannya. Oleh yang demikian, saya berpesan kepada anda semua untuk menyampaikan rahmat dan kasih sayang ini, sehinggalah Allah SWT mengasihi kita dan sesiapa yang tidak mengasihi orang lain dia tidak akan dikasihi.

Jika Rasulullah SAW merasa risau dan bimbang ketika melihat seekor anak burung diambil, maka bagaimana dengan anda apabila kamu melihat apa yang telah terjadi kepada mereka yang dizalimi dan kanak-kanak yang turut sama ditimpa dengan nasib yang sama? Mereka seolah-olah berada di dalam kubur sedangkan secara zahirnya mereka masih hidup. Maka saya berharap agar setiap daripada kita memikirkan bagaimana untuk merealisasikan nilai rahmat yang mana Allah SWT menjadikannya sebagai syarat bagi Iman kita.

BUKU BAKAL TERBIT

Untuk pengetahuan para pembaca, sebahagian daripada isi di dalam entri ini merupakan adaptasi daripada terjemahan tulisan-tulisan Sheikh Ali yang diterjemah oleh saya sendiri, dengan izin Allah bakal diterbitkan. Oleh itu, besarlah harapan saya agar para pembaca dapat mendoakan supaya dipermudahkan urusan penerbitan dan moga-moga usaha kecil ini dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebaikan buat Sheikh Ali dan al-faqir penterjemah ini dalam mempromosikan ISLAM sebagai AGAMA RAHMAH, bukan marah-marah.