Pages

Tuesday, 1 May 2012

Ada apa dengan Facebook?



Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang membuang masa berjam-jam di hadapan komputer sedangkan Allah s.w.t sangat mengambil berat akan penjagaan masa sehingga dinamakan satu surah dalam Al-Quran dengan ‘Al-Asr’:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.(103:1-3)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang chatting berjam-jam dengan bukan mahram sedangkan Allah s.w.t melarang hamba-Nya daripada mendekati perkara-perkara yang boleh mendatangkan zina:

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.(17:32)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang post dan share perkara-perkara yang mempromosi maksiat sedangkan aku membaca firman Allah:

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan kemaksiatan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.(5:2)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang asyik bergaduh dan suka cari pasal dengan orang yang berbeza pandangan dan aliran, mencaci maki, menggunakan bahasa yang kasar dan kesat serta memburuk-burukkan dan mengutuk-ngutuk, sedangkan Allah s.w.t telah memberi panduan mengenai cara berinteraksi dengan perbezaan pandangan:

..Dan berdialoglah dengan cara yang terbaik. (16:125)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang sanggup menyebarkan hadis-hadis palsu tanpa merujuk sumbernya atau ulama’ yang sepatutnya sedangkan baginda telah memberi amaran yang berat terhadap golongan yang menyebarkan hadis palsu melalui sabda baginda:

..Sediakanlah tempatnya di dalam neraka.(Muttafaq ‘alaih)


Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang leka ber’fb’ sehingga mengabaikan solat sedangkan Allah s.w.t telah menetapkan solat pada waktu-waktu tertentu dan Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa solat pada (awal) waktunya merupakan antara sebaik-baik amalan:

Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.(4:103)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang menghabiskan malam-malamku melayan ‘fb’ sedangkan Rasulullah s.a.w menghabiskan malam-malam baginda dengan ibadah dan khulwah dengan Allah (tidur baginda juga ibadah), para ulama’ juga membahagikan malam mereka sepertiga untuk tidur, sepertiga untuk mengkaji ilmu dan sepertiga untuk  beribadah. Allah s.w.t telah menjanjikan syurga buat hamba-hambaNya yang:

Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.(51:17-18)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keaadanku yang tidak menjaga pandangan dengan melihat gambar-gambar manusia yang mendedahkan aurat sedangkan aku sering mengulang-ulang firman Allah s.w.t:

Katakanlah kepada lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandanganya..” (24:30)
Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya..” (24:31)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih melihat keadaanku yang sesuka hati meletakkan gambar-gambar peribadi yang tidak sepatutnya dilihat oleh orang lain, sedangkan Allah s.w.t memerintahkan supaya:

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.(66:6)

Andai Rasulullah s.a.w melihat aku ber’fb’..

Pasti baginda sedih dengan keadaanku yang sibuk berkongsi kisah-kisah artis, gosip-gosip panas, tuduhan-tuduhan berbaur politik dan aib-aib peribadi pemimpin tanpa teringin langsung berkongsi dan menyebarkan kata-kata hikmah, kalam-kalam ulama’ dan kisah-kisah benar yang boleh dijadikan panduan dan teladan, sedangkan Allah s.w.t memerintahkanku supaya:

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebaikan, memberi (hak) kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.(16:90)

Semoga Allah s.w.t mengurniakan kekuatan kepada seluruh umat Islam untuk menggunakan segala kemudahan dan teknologi yang dikurniakan di dunia ini dengan sebaik-baiknya, sebagai jalan untuk umat Islam berkhidmat terhadap agama Allah s.w.t, menyebarkan keadilan dan kasih sayang kepada seluruh alam dan seterusnya menegakkan kalimah-Nya di atas muka bumi ini. Insha Allah

No comments:

Post a Comment