Pages

Thursday 22 September 2016

Negara Islam adalah Negara Madani - Dr Muhammad 'Imarah

Persoalan sistem politik dalam Islam dikupas dan dihuraikan dengan baik oleh Dr Muhammad 'Imarah
Pendahuluan (Bab: ad-Dawlah al-Madaniyyah)

Negara Islam adalah negara madani (sivil) dan terdiri daripada beberapa buah institusi. Syura ialah medium untuk mengeluarkan keputusan di dalam semua institusi kenegaraan. Rakyat pula merupakan sumber kepada kekuasaan, dengan syarat mereka tidak menghalalkan perkara haram dan sebaliknya sepertimana yang termaktub di dalam teks-teks agama yang bersifat ‘qatʿie thubut dan dalalah’ (diyakini kewujudannya dan jelas pendalilannya).

Negara Islam adalah negara madani kerana kesemua sistem, institusi dan medium yang wujud adalah melalui wakil yang dipilih oleh rakyat, begitu juga perkembangan dan perubahannya sehinggalah tercapai nilai syura dan keadilan yang paling minima serta maslahat yang diiktiraf syarak yang juga sentiasa melalui proses perubahan dan perkembangan.

Rakyat merupakan sumber kekuasaan kerana tidak ada kekuasaan mutlak paderi (teokrasi) di dalam Islam. Pemerintah merupakan wakil rakyat, bukan wakil Tuhan. Rakyat yang berkuasa memilih, mengawasi, menilai dan menjatuhkan mereka ketikamana diperlukan.

Kekuasaan rakyat dilaksanakan melalui wakil-wakil yang dipilih dengan kehendak yang bebas tanpa had selagi masih dalam kerangka prinsip dan maslahat syarak yang muktabar, yang disimpulkan oleh kaedah: “Tidak mencari-cari kemudaratan dan tidak mendatangkan kemudaratan.”

Negara Islam merupakan negara yang terdiri daripada institusi-institusi, kerana kewajipan dakwah (amar makruf dan nahi munkar) yang merangkumi tanggungjawab sosial dan politik tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan sempurna di zaman moden melainkan melalui institusi. Firman Allah:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (A-li'Imraan 3:104)

Bagaimana struktur negara pada zaman Rasulullah SAW?

Negara Islam pertama yang didirikan di Madinah al-Munawwarah pada zaman Rasulullah SAW iaitu 14 kurun ke belakang, terdiri daripada 3 insititusi perlembagaan:

1) Institusi Muhajirin (Umara’ - pemimpin-pemimpin)
2) Institusi 12 Nuqaba’ (Wuzara’ - menteri-menteri)
3) Majlis Syura (terdiri daripada 70 anggota)

Khilafah diasaskan melalui baiʿah dan pemilihan. Hak negara untuk ditaati oleh rakyat diikat dengan prestasi negara dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat, melalui kenyataan: “Taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan Rasul, jika tidak maka tidak ada lagi ketaatan kepadaku.”

Oleh itu, insitusi merupakan prinsip yang sangat mustahak di dalam negara Islam. Ia dipelihara oleh perlembagaan yang telah termaktub di dalam sistem negara pada zaman moden. Oleh kerana negara Islam merupakan negara yang terdiri daripada institusi-institusi, kepimpinan merupakan kekuasaan kolektif dan menolak segala bentuk kediktatoran. Oleh itu, hikmah yang agung di mana tidak disebutkan kalimah ‘wali-ul-amr’ di dalam Quran dengan sighah individu, tetapi dalam bentuk kolektif (ulil amri):

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (An-Nisaa' 4:58-59)

Oleh itu, ketaatan sebenarnya kepada kekuasaan kolektif, dan kembali kepada sumber rujukan agama ketika berlaku percanggahan:

Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. (An-Nisaa' 4:83)

Kuasa untuk mengeluarkan ijtihad dan perundangan juga merupakan kuasa kolektif, dengan memastikan ianya juga dipilih oleh rakyat yang menyuarakan identiti dan maslahat mereka.
Politik dari sudut pandang Islam bukan perkara usul dalam aqidah, tetapi ia merupakan perkara cabang dalam fiqh. Para ulama’ dan ahli pemikir politik sunni dalam lembaran sejarah telah bersepakat dalam perkara ini. Oleh itu, perbezaan pandangan dalam politik neraca timbangannya ialah betul atau salah dan memberi manfaat atau menyebabkan mudarat, bukan kufur atau iman.

Negara Islam berpegang kepada kepelbagaian (plurality) dalam kepercayaan, politik dan pemikiran, bukan hanya sekadar menganggap ia merupakan kemuncak nilai kebebasan dan hak asasi manusia, bahkan menganggapnya sebagai sunnah (hukum dan undang-undang) bagi  alam dan masyarakat. Sunnah ini tidak mungkin diubah atau ditukar. Keesaan itu hanya milik Pencipta, manakala makhluk selain-Nya pelbagai, banyak dan berbeza-beza.

Bagi non-Muslim di dalam masyarakat dan negara Islam hak kewarganegaraan yang sempurna, begitu juga tanggungjawab yang sama sepertimana Muslim. Berdasarkan teks perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dan Nasrani pada tahun 10 Hijrah: “Bagi mereka apa yang diperuntukkan buat Muslim, dan ke atas mereka apa yang dipertanggungjawabkan ke atas Muslim, sehinggalah mereka menjadi rakan kongsi dalam hak dan kewajipan bersama-sama Muslim.”

Kesatuan umat dan persamaan di dalam hak kewarganegaraan memberi kesan yang signifikan terhadap perbezaan pegangan agama, yang mana rujukannya kembali kepada Allah yang menguasai hari pembalasan.

Persoalan Syura

Syura dari sudut pandang Islam merupakan medium untuk mengeluarkan keputusan dalam segenap medan kemasyarakatan, daripada keluarga sehingga negara:

1) Di dalam keluarga: kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). (Al-Baqarah 2:233)

2) Di dalam masyarakat dan umat: Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas). (Asy-Syuura 42:36-39)

3) Di dalam negara dan kuasa: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (A-li ʿImraan 3:159)

Syura dalam konteks ini merupakan syura yang mulzim (mengikat), kerana umat tidak mungkin bersepakat di atas kesesatan: “Sesungguhnya umatku tidak bersepakat dalam kesesatan” (HR Ibn Majah). Oleh itu, sifat maksum diletakkan kepada umat, bukan pemimpin, faqih, ketua, parti atau sesebuah Jemaah.

Sesungguhnya konsep syura yang mulzim telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW, sepetimana yang baginda ungkapkan kepada Abu Bakar dan Umar: “Jika kalian berdua bersepakat dalam sesuatu perkara, aku tidak akan menyanggahi kalian.” (HR Imam Ahmad). Baginda juga pernah bersabda: “Kalaulah aku boleh melantik seseorang sesuka hatiku tanpa bermesyuarat, maka ingin sahaja aku melantik Abdullah bin Masʿud. (HR Tirmizi, Ibn Majah dan Imam Ahmad)

Sesungguhnya al-Quran telah memuji sikap Ratu Saba’ kerana telah mengamalkan syura dengan pimpinannya: Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya". (An-Naml 27:32)

Al-Quran juga telah mencela Firaun kerana autokrasinya: Firaun berkata: "Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar". (Ghaafir 40:29)

Oleh sebab itulah para fuqaha’ telah bersepakat bahawa: Syura merupakan prinsip syariat dan hukum yang mesti dilaksanakan (ʿazimah). Barangsiapa pemimpin yang tidak bermesyuarat dengan ahli ilmu dan beragama, maka menggugurkannya adalah wajib. Perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Al-Qurtubi, al-Jamiʿ li Ahkam al-Quran, jil. 4 hlm. 249)

Sesungguhnya autokrasi dalam kekuasaan merupakan pintu masuk yang terbuka luas kepada kediktatoran dan kezaliman: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Al-'Alaq 96:6-7)

Oleh itu, proses pertukaran kuasa antara kuasa-kuasa politik dan pemikiran di dalam masyarakat Muslim dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat merupakan jalan penyelesaian yang praktikal untuk memperbaharui kehidupan berpolitik dalam membanteras kediktatoran dan kezaliman.

Oleh kerana keseimbangan (tawazun) merupakan rahsia kepada kehidupan dan pendinding daripada penyelewengan, kepelbagaian kuasa dan institusi serta keseimbangannya merupakan jalan untuk mencapai keadilan sosial dalam negara Islam. Sebagaimana terdapat kuasa legislatif, terdapat juga pembahagian kuasa kehakiman dan eksekutif. Keseimbangan antara kuasa-kuasa ini merupakan indikator kepada nilai keadilan yang diharapkan oleh rakyat di sebalik penubuhan kuasa-kuasa ini.

Oleh kerana rakyat merupakan sumber kekuasaan, maka kuasa legislatif diurus tadbir oleh institusi perundangan dalam kerangka prinsip dan kaedah syariat bertitik tolak dari firman Allah: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. (An-Nisaa' 4:83)

Perbandingan sistem-sistem pemerintahan

Sistem pemerintahan di dalam Tamadun Barat terbahagi kepada dua:

1) Negara pimpinan gereja (Teokrasi)
Zaman pertengahan Eropah. Negara pada masa itu merupakan negara yang diperintah oleh institusi gereja, mereka memerintah dengan nama langit dan mendakwa mendapat mandat dari Tuhan. Dengan itu, pegangan mereka ialah kekuasaan yang maksum, dari langit ke negara, tidak ada unsur kekuasaan rakyat di dalam sistem ini.

2) Negara sekular
Rakyat berkuasa membuat pilihan. Bagi mereka, negara mewakili rakyat. Dengan itu, dari rakyat ke negara, tiada unsur syariat atau rujukan agama pada mereka.

Manakala sistem bernegara dalam Islam berbeza dan unik berbanding kedua-dua sistem tersebut. Ketuanan merupakan milik Syariah Islamiah, rakyat pula merupakan sumber kekuasaan, dan merupakan khalifah Allah di atas muka bumi, manakala negara dipilih oleh rakyat dan mewakili rakyat. Dengan itu, daripada Syariah kepada rakyat seterusnya negara.

Oleh itu, Islam merupakan satu-satunya agama yang menggabungkan antara ketiga-tiga unsur atau elemen ini iaitu Syariah, Rakyat dan Negara. Dengan itu juga, ia yang paling berkemampuan untuk mencapai kemaslahatan yang diiktiraf oleh syarak untuk kebaikan rakyat dalam kerangka halal dan haram serta gagasan nilai-nilai yang dibawa dan disepakati oleh semua syariat samawi (Islam, Nasrani dan Yahudi).

1 comment: