Pages

Saturday, 7 June 2014

Al-Fatihah - Seruan Penyatuan, Pembebasan dan Petunjuk

Berbicara mengenai Surah Al-Fatihah menjadikan kita sentiasa bersyukur kepada Allah atas nikmat Al-Quran. Seringkali muslim mengucapkan di awal ucapan, agar sentiasa mensyukuri nikmat iman dan islam. Namun, apakah isi kepada iman dan islam tersebut? Sesungguhnya, penghayatan terhadap nilai iman dan islam tidak akan dapat diperoleh melainkan dengan penghayatan kita terhadap Al-Quran dan perjalanan hidup Rasulullah s.a.w.

Penamaan Surah

Penamaan surah-surah di dalam Al-Quran adalah semata-mata tauqifiyyah (dari Allah), tiada ruang untuk berijtihad padanya. Penamaan surah juga amat bertepatan dengan dengan isi kandungan surah tersebut, selari dengan hikmah yang dikehendaki oleh Allah. Hakikatnya, nama Al-Fatihah yang bermaksud 'pembuka' sudah cukup menggambarkan kepentingan dan keagungan surah ini. Ia menjadi pembuka kepada isi kandungan Al-Quran yang lebih kompleks, pembuka selera untuk menikmati kelazatan hidangan Al-Quran, pembuka hati untuk memahami dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran, pembuka minda untuk berfikir dan merenung isi kandungan Al-Quran, pembuka jalan bagi yang ingin menempuh perjalanan menuju Tuhan dan pembuka utama ke arah penyatuan, pembebasan dan petunjuk insan!

 Tema Surah

Setiap surah di dalam Al-Quran mempunyai temanya yang tersendiri. Ramai ilmuwan di zaman silam dan moden telah mengkaji dan menulis mengenai tema-tema dan nilai-nilai yang diperoleh daripada surah-surah di dalam Al-Quran. Tema penyatuan, pembebasan dan petunjuk melalui kefahaman terhadap surah Al-Fatihah dipilih kerana nilai-nilai ini telah banyak disalah fahami, diabaikan dan dilupakan oleh manusia abad ini. Di samping itu, tulisan ini mungkin sebagai permulaan dan dorongan untuk terus menulis, mengkaji dan menganalisis nilai-nilai yang diperoleh dari Al-Quran agar kitab ini terus dijadikan inspirasi, teman, panduan, rujukan dan sandaran dalam menghadapi arus kehidupan.

Seruan Penyatuan

Seringkali manusia berbicara mengenai kesatuan dan penyatuan. Inilah fitrah manusiawi, sememangnya jiwa manusia cintakan kesatuan. Namun, seringkali manusia terbabas ketikamana hendak membumikan dan memaknakan nilai yang dicintai ini. Kadangkala, manusia buntu dan hilang hala tuju dalam mencari erti kesatuan. Persoalan asasnya adalah dari mana hendak diceduk nilai ini?

Bagi mereka yang betul-betul mengimani dan menginsafi keupayaan Al-Quran untuk menjawab persoalan-persoalan asas dalam kehidupan, surah Al-Fatihah sudah cukup banyak menyarankan dan menyeru kepada penyatuan umat manusia secara keseluruhan. Setelah dimulakan surah ini dengan nama Allah yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang, ayat seterusnya menyeru supaya mengucapkan syukur dan pujian kepada Allah yang disembah dan dimohon pertolongan. Allah bukan Tuhan khusus sesuatu kaum, kabilah, etnik, negara dan kampung bahkan Allah adalah Tuhan sekalian alam. Ia merobohkan segala tembok perkauman, perpecahan dan dualisme dalam kalangan masyarakat. Kesatuan ini wujud pada dua dimensi: kesatuan dalam konsep rububiyah (ketuhanan) dan kesatuan dalam konsep basyariah (kemanusiaan), iaitu kesatuan kemanusiaan yang berakar dari Adam. Setiap insan merupakan saudara kepada insan yang lain, selagimana mereka mengiklankan prinsip kesjahteraan, keamanan dan kemanusiaan sejagat. (Taammulat fi Al-Quran Al-Karim, An-Nadwi)

Kata kerja yang datang dalam bentuk plural juga menggambarkan bahawa manusia amat memerlukan sinergi untuk membina kesepaduan antara satu sama lain. Penghayatan terhadap konsep ukhuwah insaniyah dan ukhuwah islamiyah seharusnya diperkemaskan, agar kesepaduan yang ingin dibina tidak terbabas. Oleh itu, pentingnya kesepaduan yang jitu sesama masyarakat dalam merealisasikan konsep ibadah (kepatuhan), isti'anah (pohon pertolongan) dan ihtida' (pohon petunjuk) kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Seruan Pembebasan

Kebebasan bukan muncul natijah daripada kezaliman, penindasan, perhambaan dan pertelingkahan yang berlaku sesama manusia. Kebebasan adalah nilai asas yang muncul selari dengan penciptaan manusia. Manusia yang bebas ialah manusia yang tidak meletakkan kebergantungannya pada manusia yang lain. Pada permulaan seruan lagi, Allah sudah memerintahkan untuk memulakan bacaan dengan nama-Nya, mengucapkan pujian dan syukur hanya pada-Nya, menyembah, memohon pertolongan dan petunjuk hanya pada-Nya. Oleh itu, manusia tidak perlu risau dan takut akan ugutan, tohmahan, celaan, kezaliman dan penindasan yang dilakukan ke atas mereka oleh segolongan manusia lain selagi mana mereka meyakini bahawa setiap insan pada asalnya adalah bebas, pada akalnya, gerak gerinya dan jiwanya.

Namun, kebebasan yang dikecapi ini hendaklah dipandu dengan baik. Tidak dinamakan kebebasan jika manusia keluar dari belenggu sesama manusia, tetapi terjerumus ke satu bentuk penindasan dan belenggu yang lain, iaitu an-nafs al-ammarah (jiwa yang kotor). Kebebasan yang hakiki juga dinilai pada bebasnya manusia dari belenggu jiwa yang sentiasa cenderung untuk melakukan perkara yang terpesong dan bercanggah dengan nilai manusia dan agama. 

Penghayatan terhadap surah ini menunjukkan bagaimana sesebuah kebebasan itu seharusnya dilihat dan dinilai. Konsep ibadah (kepatuhan), isti'anah (pohon pertolongan) dan ihtida' (pohon petunjuk) hanyalah kepada Allah, tanpa menafikan konsep pengambilan asbab (cara-cara untuk mencapainya). Inilah yang dinamakan jalan pemisahan, pemisah antara kebebasan yang mutlak dari segala bentuk perhambaan dan perhambaan mutlak oleh hamba sesama manusia! Bebas dari perhambaan terhadap falsafah keraguan, dongeng-dongeng, karut-marut, sistem-sistem dan kerajaan-kerajaan. (Fi Zilal Al-Quran, Sayyid Qutb)

Seruan Petunjuk

Umat yang bersatu dan bebas tidak dapat dihasilkan tanpa meletakkan kebergantungan dan pengharapan hanya pada Yang Maha Esa, penuh dengan sifat Kesempurnaan, Kekuatan dan Keadilan. Pengharapan ini muncul selari dengan kesatuan dan kebebasan yang dibina dan dikecapi. Pengharapan juga diletakkan agar kesatuan dan kebebasan ini berkekalan dan sentiasa dipelihara. Manusia tidak mungkin lari dari kebergantungan dan pengharapan kepada Tuhan. 

Pengharapan ini ditetapkan dengan permohonan petunjuk kepada jalan yang lurus dan tetap di atasnya. Setiap juzuk dalam kehidupan memerlukan panduan dan petunjuk. Petunjuk inilah yang merupakan tuntutan teragung yang diperlukan manusia, kerananya diutuskan para rasul dan nabi, diturunkan kitab dan sahifah. Tanpa petunjuk ini, tidak bernilai dan tidak akan bahagia kehidupan manusia. (Taammulat fi Al-Quran Al-Karim, An-Nadwi)  

Petunjuk tidak datang bergolek, ia hanya akan diperolehi bagi mereka yang bersungguh-sungguh mencarinya. Petunjuk juga tidak datang melalui jalan yang bercelaru dan keliru, juga tidak diperoleh melalui jalan yang kotor dan penuh noda kepada Tuhan dan manusia. Petunjuk yang dikehendaki di dalam surah ini telah diletakkan hala tujunya, iaitu jalan yang lurus, jauh dari kebengkokan dan kecelaruan. Jalan inilah merupakan jalan yang terpantas untuk sampai kepada tujuan hakiki (redha Allah), namun ia tidak lari dari cabaran dan dugaan, tidak kira datang dari golongan yang dimurkai (enggan dan berpaling dari petunjuk seperti Yahudi) ataupun golongan yang sesat (menyeleweng dari petunjuk seperti Nasrani). (Tafsir Al-Quran Al-'Azhim, Sya'rawi)

Inilah surah yang agung, mempunyai nilai yang suci dan tinggi. Kunci dan pintu kepada khazanah Al-Quran, diulang-ulang di dalam solat dan ibadat, pembuka majlis ilmu dan adat, namun adakah manusia beringat-ingat?

Wednesday, 4 June 2014

Syeikh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi

Seorang 'alim, murobbi dan da'ie yang tidak asing lagi di bumi Jordan, digelar Syed Qutb versi Jordan iaitu Syeikh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi.

Syeikh Solah Al-Khalidi di Malaysia Ogos 2014

Pengenalan Pertama

Saya mengenali Syeikh Solah Al-Khalidi bukan melalui pertemuan secara langsung. Saya mengenali beliau melalui buku beliau yang disarankan oleh seorang senior semasa tahun pertama pengajian saya di akhir 2010. Pembacaan buku tersebut telah menyebabkan saya jatuh hati dan terdorong untuk memiliki dan membaca tulisan-tulisan beliau yang lain. Buku yang berjudul 'Khittah Barraqah li zi An-nafs At-tawaqquh' atau dalam Bahasa Melayu: Perancangan yang Strategik dan Padu buat Jiwa yang Bersemangat, pada saya sebuah buku yang wajar dimiliki dan dibaca oleh setiap orang yang ingin berinteraksi dengan ilmu. Buku ini menjawab persoalan, bagaimana cara yang paling efektif untuk membaca. Namun, yang menariknya dalam buku ini, Syeikh tidak terus membentangkan cara-cara untuk membaca, tetapi terlebih dahulu menerangkan muqaddimah yang sepatutnya diamalkan oleh penuntut ilmu sebelum menyelam ke lautan ilmu. Pada awalnya, Syeikh mentadabbur secara ringkas nilai-nilai dari Surah Al-'Asr, dan membawa perbahasan yang sangat praktikal berkenaan kepentingan masa, pengurusan masa dan nilai masa itu sendiri.

Buku pertama yang memperkenalkan saya dengan Syeikh. Sedikit mukasurat, banyak manfaat!
 Kemudian, perbahasan buku ini dilanjutkan dengan menerangkan sifat asasi bagi penuntut ilmu, iaitu:

1) Rabbaniyah

Rabbaniyah merupakan asas yang perlu ada bagi seseorang penuntut ilmu. Rabbaninya penuntut ilmu bergantung kepada hubungannya dengan Allah, kerana Allah sahajalah pemilik mutlak segala khazanah ilmu. Oleh itu, tidak hairanlah ayat iqra' yang diturunkan, Allah mengikat perintah untuk membaca dengan 'bismi rabbika' (dengan nama Tuhan) kerana membaca tanpa panduan dari Tuhan akan menyebabkan kita mudah terpesong dan lari dari landasan positif yang dikehendaki Allah dari bacaan kita. Rabbani juga menuntut penuntut ilmu untuk melakukan tazkiyyatunnafs (penyucian hati), seiring dengan proses menuntut ilmu, yang menariknya Syeikh menggunakan istilah Rabbani yang merujuk kepada penyucian hati, kerana istilah qurani ini lebih tepat dan sesuai berbanding 'Tasawwuf' yang sering difahami dan digunakan oleh orang lain.

2) Salafiyah

Salafiyah bukan merujuk kepada kelompok, pemikiran atau madrasah tertentu. Salafi juga bukan terhad kepada pemakaian, rupa bentuk, permasalahan isbal, pemakaian jubah dan 'imamah (kain serban) dan lain-lain zawahir yang sering didakwa oleh golongan yang mengaku mengikut mahaj salaf. Salafi pada kefahaman Syeikh adalah sesiapa sahaja yang mengikut manhaj Rasulullah s.a.w, sahabat dan salafussoleh dalam iktikad, tazkiyyatunnafs, sumber ilmu dan mengutamakan jawahir (intipati) agama berbanding sekadar qusyur (kulit/surface). Penuntut ilmu perlu memahami konsep salafi yang sebegini, supaya landasan ilmu yang diikuti tidak tergelincir atau terpesong dari manhaj Quran dan Sunnah. Konsep ini juga membawa penuntut ilmu untuk lebih berhati-hati dalam gejala menghukum orang dengan tabdi' (membid'ahkan), takfir (mengkafirkan) atau tafsiq (memfasiqkan), kerana salafussoleh amat berhati-hati dalam menjatuhkan hukum ke atas orang lain. Tambahan, penuntut ilmu juga hendaklah amat berhati-hati dan teliti dalam konsep-konsep thawabit (tetap), mutaghayyirat (berubah), maqasid (objektif), wasail (mekansime), ittiba' (dalam urusan agama), ibtida' (dalam urusan dunia) dan sebagainya.

3) Harakiyah

Haraki bermaksud yang bergerak. Sebab itulah enjin di dalam bahasa Arab disebut muharrik (penggerak), merujuk kepada fungsi enjin yang menggerakkan alat. Seorang penuntut ilmu perlu bergerak, terjun ke medan untuk menyebarkan ilmu yang diperoleh untuk memandu dan membimbing masyarakat. Penuntut ilmu yang statik, duduk di rumah dan tenggelam di dalam timbunan buku dan tidak bergaul dengan masyarakat amat sukar untuk memahami tuntutan dan permasalahan yang melanda masyarakat. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat banyak pandangan dan fatwa yang timbul dari para ilmuwan yang bersifat atas angin, tidak praktikal dan tidak berpijak di bumi nyata. Haraki juga menuntut penuntut ilmu untuk sentiasa mengembangkan kesarjanaan dan keilmuwan yang ada, bukan terhad kepada sebuah aliran pemikiran atau ijtihad tertentu atau disebut harakatul fikr, ini penting untuk mengelakkan sikap fanatik, jumud dan 'ujub kepada sesebuah aliran pandangan atau pemikiran.

Gabungan Rabbani, Salafi dan Haraki ini akan melahirkan penuntut ilmu yang tawadhu', insaf, adil dan tegas dengan prinsip. Dunia pada hari ini amat memerlukan ilmuwan yang memiliki sifat-sifat ini bagi memandu dan membimbing masyarakat. Jika tidak, golongan manakah lagi yang boleh diharapkan untuk membimbing dan memandu perjalanan kehidupan masyarakat?

Perbahasan buku ini sangat praktikal dan menyeluruh. Jemput membaca!

Pertemuan Pertama

Pada Januari 2014, barulah pertama kali saya berpeluang bertemu muka dengan Syeikh, setelah percubaan berkali-kali untuk bertemu tidak diizinkan oleh Allah. Alhamdulillah 'ala kulli haal. Saya berpeluang solat subuh di masjid yang berdekatan dengan kediaman beliau, dan mendengar tafsir ringkas daripada beliau yang merupakan rutin harian Syeikh hafizahullah.
Pertemuan pertama di Masjid Khalil, Suweileh

Tawadhu' Syeikh

Dalam satu wawancara bersama majalah Al-Furqan yang diterbitkan oleh Jam'iyyah Muhafazah 'ala Al-Quran, wartawan tersebut bertanya: "Wahai Syeikh, mengapakah orang menggelar anda 'alim mausu'iy (ilmuwan ibarat ensiklopedia)?" Jawab Syeikh:

"Bukankah Al-Quran sendiri menggesa kita untuk menuntut, menggali dan mengambil berat terhadap ilmu pengetahuan? Saya tak menginginkan gelaran-gelaran seperti ini, cukuplah saya curahkan ilmu yang saya ada demi redha dari Allah dan sebagai saham untuk saya di akhirat kelak."

Sikap tawadhu' syeikh juga terserlah dalam penulisan muqaddimah buku-buku hasil karya beliau, apabila setaiap kali di akhir penulisan muqaddimah, Syeikh seringkali memohon para pembaca untuk mendoakan beliau (doa bizahril ghaib). Satu sikap yang wajar dicontohi!

Karya Syeikh

Kesibukan Syeikh dalam mendidik dan mengajar tidak menghalang beliau untuk membumikan pemikirannya melalui penulisan buku-buku. Syeikh telah menulis lebih daripada 50 buah buku. Antara karya beliau yang mendapat pujian ulama tersohor ialah tesis Master dan Phd beliau, di mana beliau mengkaji dan menulis dengan lengkap kisah perjalanan Sayyid Qutb rahimahullah (SQ). Tesis beliau telah mendapat pujian daripada adik SQ sendiri, iaitu Syeikh Muhammad Qutb rahimahullah. Panel penyemak terdiri daripada ulama tersohor yang mengajar di Universiti Al-Imam, Saudi seperti Syeikh Muhammad Qutb dan Syeikh Manna' Qattan.

Antara karya tulisan syeikh. Kredit FB Sekretariat Pengajian al-Khalidi
Manhaj Syeikh

Syeikh Solah Al-Khalidi amat meyakini dan mengimani bahawa kebangkitan umat Islam amat perlu bertitik tolak dan bermula dari kembalinya umat Islam terhadap ajaran, kefahaman dan penghayatan terhadap Al-Quran. Perlunya membina dan menghidupkan 'Jil Qurani Farid' (istilah yang dipopularkan oleh Sayyid Qutb) atau Generasi Quran yang Unik untuk mengembalikan dan membangkitkan kegemilangan umat Islam. Ini merupakan manhaj Syeikh yang dapat dilihat dari karya-karya Syeikh yang banyak berkisar tentang Quran. Oleh itu, menurut Syeikh, beberapa aspek dan kefahaman terhadap Quran perlu diperbetulkan dan dikemaskini agar selari dengan tuntutan dan permasalahan yang melanda umat Islam kini. Antara yang dapat saya simpulkan melalui pembacaan karya beliau:

1) Perlunya mentadabbur dan menghayati Quran oleh setiap individu dalam masyarakat. Saranan ini jelas daripada buku beliau 'Mafatih fi Ta'amul ma'a al-Quran'.

2) Perlunya tafsir Quran yang hidup, kontemporari dan mampu menyelesaikan isu-isu masyarakat. Saranan ini jelas melalui kata-kata beliau: "Sesiapa yang tidak membaca Tafsir Zilal karya Sayyid Qutb, takkan mampu memahami Quran pada zaman ini." Ini tidak bermaksud, kita perlu mengabaikan kitab-kitab tafsir karya ulama agung yang lain, bahkan Syeikh amat menitik beratkan ta'sil (mengakarkan) tafsir Quran dengan melakukan tahzib (semakan) terhadap Tafsir Ibn Kathir dan Tafsir Tabari.

3) Perlunya persembahan Qasas Qurani (kisah-kisah Quran) yang bersih dari segala unsur israiliyyat dan cerita-cerita yang direka-reka oleh golongan bani israel dan para qussas (golongan penglipur lara) yang ingin menjadikan cerita menarik perhatian orang. Perkara ini sangat dititk beratkan dan ditegaskan oleh Syeikh, contohnya dalam penulisan beliau 'Ma'a Qasas Sabiqin' dan 'Al-Qasas Qurani' apabila Syeikh memperuntukkan lebih kurang 50 muka surat untuk menerangkan bagaimana sepatutnya manhaj yang diambil oleh kita dalam berinteraksi dengan kisah-kisah yang terdapat di dalam Quran. Ini kerana, menurut Syeikh, kisah-kisah di dalam Quran diceritakan oleh Allah mengandungi maqasid (objektif) yang tersendiri, bukan sekadar penglipur lara dan mengisi masa lapang.

4) Perlunya memahami teks dan konteks Quran dengan betul, supaya tidak diseleweng dan ditafsir sewenang-wenangnya oleh golongan yang berkepentingan, skeptik, simplistik dan berniat jahat terhadap masyru' nahdah islamiah (projek kebangkitan islam). Saranan ini jelas dalam buku beliau 'Taswibaat li Fahm Ba'dhu Ayaat'.

5) Perlunya mengkaji dan menghayati bagaimana interaksi salafussoleh dengan Quran. Ini penting untuk memandu dan membimbing umat Islam untuk bangkit melalui Quran. Karya-karya seperti 'Suwar Jihad Sohabah' dan 'Mafatih fi Ta'amul ma'a al-Quran' amat baik dijadikan rujukan.

6) Penulisan dan karya-karya yang dihasilkan mestilah menitik beratkan nilai iman, penghayatan ilmu, dakwah dan harakah supaya masyarakat dapat mengambil manfaat daripada tulisan-tulisan yang mengulas berkenaan Quran. Ini kerana, banyak golongan yang oportunis yang menggunakan Quran untuk melariskan produk jualan, menjadikan ayat Quran jampi serapah, menyalah gunakan teks dan konteks Quran untuk kepentingan tertentu, dan yang paling parah menyokong kezaliman dan penindasan dengan ber'dalil'kan Quran.

7) Projek kebangkitan dengan Quran tidak cukup sekadar inisiatif individu-individu atau beberapa ulama sahaja, tetapi ia perlulah disinergikan dengan menubuhkan institusi atau badan yang fokus dalam disiplin pengajian Quran untuk mengetuai projek ini. Ini jelas melalui penglibatan Syeikh dalam penubuhan 'Jam'iyyah Muhafazah 'ala Al-Quran' (Pertubuhan Markaz Quran), bersama-sama Syeikh Ibrahim Zaid Al-Kilani rahimahullah, dan juga kegiatan Syeikh yang sangat aktif mengajar di markaz-markaz Quran di seluruh Jordan.

8) Kefahaman dan penghayatan terhadap Quran menghasilkan seorang yang berprinsip, tegas dan matang dalam berfikir dan melontarkan pandangan. Ini terbukti apabila Syeikh pernah di'gam' dan dihentikan jawatannya sebagai imam dan khatib di Masjid Abdul Rahman Auf, Suweileh kerana ketegasannya dalam khutbah Jumaat menyelar sikap pemimpin negara Arab yang berdiam diri dan tidak bergerak untuk menyokong dan membantu rakyat Palestin membebaskan tanah air mereka dari jajahan Zionis-Amerika.

9) Quran mampu menjadi titik tolak dan asas kepada kesatuan umat sejagat. Ini kerana, kefahaman dan penghayatan yang betul terhadap nilai-nilai Quran akan menjadikan setiap lapisan masyarakat menyedari peranan mereka dalam projek kebangkitan umat dan pembinaan tamadun.

10) Quran mampu menjawab dan menyediakan solusi bagi segala permasalahan yang berlaku, samada aspek ekonomi, sosial, politik, hubungan sesama manusia, haiwan dan tumbuhan. Hal ini terbukti jika diperbaiki dan dijernihkan kefahaman dan sudut pandang terhadap Quran. Quran juga menyediakan konsep asas dan umum, dan bergantung kepada manusia untuk menggunakan akal untuk berfikir dan mencari solusi. Sebagai contoh, sebuah akhbar di Jordan yang bernama As-Sabeel telah menyediakan satu ruangan khas untuk Syeikh menulis dan mengulas mengenai isu semasa dan tempatan yang berlaku, dan ajaibnya setiap isu yang diulas ditulis dengan kaca mata yang diambil dari Quran. Hasilnya, artikel-artikel Syeikh di dalam akhbar ini telah dibukukan pada tahun 2013 yang mencecah lebih 500 mukasurat!

Cukuplah 10 manhaj Syeikh yang dapat saya simpulkan melalui pembacaan karya-karya beliau. Ramai tokoh-tokoh dakwah di Malaysia telah menulis mengenai beliau, seperti Dr Abdul Basit (Abu Anas Madani), Dr MAZA, Dr Zaharuddin dan Ust Hasrizal. Coretan ini hanyalah sebahagian kecil yang mampu saya sumbangkan untuk memperkenalkan ketokohan Syeikh Solah Al-Khalidi, yang seharusnya menjadi inspirasi buat para pencinta ilmu, keadilan dan kebenaran. Sudah pasti segala-galanya bermula dengan Al-Quran!

Monday, 2 June 2014

Ringkasan Maqasid Muamalat

Sebuah buku yang wajar dibaca oleh mereka yang mendalami pengkhususan dalam ekonomi, kewangan dan perbankan. Ia ditulis oleh seorang ulama yang dikenali dengan ijtihadnya dan kajiannya dalam mempromosikan maqasid syariah untuk menyelesaikan isu-isu moden yang berlaku dalam dunia pada hari ini.

Penulisan buku ini mengambil kira roh maqasid untuk menyelesaikan sesuatu isu dalam permasalahan harta, jual beli dan transaksi kontemporari. Oleh itu, maqasid merupakan rujukan dan nilaian tertinggi dalam penentuan hukum sesebuah transaksi.

Buku penulisan Sh Abdullah bin Bayyeh hafizahullah
Pemulihan isu-isu tersebut memerlukan peringkat-peringkat yang asas:

1) Membumikan masalah yang timbul dengan mengambil kira realiti semasa, contoh: mengenal pasti intipati, unsur dan syarat sesebuah akad. (tasykhis masalah)

2) Mengeluarkan hukum fiqh. (mu’alajah fiqhiyah)

3) Menyentuh dalil-dalil yang berkaitan, atau disebut qias. (talmis dalil)

Perbahasan maqasid dalam penetapan hukum amat memerlukan pertimbangan antara maslahah dan mafsadah. Namun, terdapat syarat yang ketat untuk mengenal pasti maslahah:

1) Maslahah menepati kehendak 3 peringkat maqasid syariah; dhoruri, haji, tahsini.

2) Maslahah hendaklah tidak batal (valid).

3) Maslahah yang umum dan qatie (Ghazali) atau zhonni haji (Syatibi).

4) Kadangkala sad zarai’e juga diambil kira.

Buku ini membincangkan secara kritikal mengenai asas krisis kewangan yang melanda dunia, bagaimana ia bermula dan berkembang melalui kadar faedah, jual beli hutang, amalan pajak gadai, judi dan amalan spekulasi yang meluas dan tidak sihat.

Asas kepada pemulihan krisis, pada pandangan penulis amat memerlukan kepada roh maqasid syariah dan ia bertitik tolak dari 5 maqasid kewangan yang disebut oleh Ibn ‘Ashoor: ar-rawaaj, al- wudhuh, al-hifz, al-ithbat dan al-‘adl.

1) Ar-Rawaaj: bermaksud putaran kitaran harta yang melibatkan pemilikan yang banyak (bukan hanya sebahagian kecil individu). Roh ini diambil dari firman Allah s.w.t di dalam Quran.

2) Al-Wudhuh: bermaksud kejelasan, atau dalam bahasa moden transparensi. Transparensi sangat dituntut terutama sekali dalam system transaksi moden yang melihatkan perkembangan dalam wasilah dan pasaran.

3) Al-Hifz: bermaksud penjagaan. Penjagaan harta perlu berlaku dalam dua aspek: Penjagaan harta semasa melakukan perdagangan dengan dunia luar dan penjagaan harta dalam Negara sendiri. Ia boleh berlaku melalui penguatkuasaan undang-undang yang ketat melibatkan aktiviti import dan eksport di samping pengukuhan system pasaran, isu monopoli, isu melibatkan zakat dan institusi wakaf.

4) Al-Ithbat: bermaksud penetapan yang pasti dalam pemilikan harta. Ia amat penting untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan dan bahaya yang akan datang jika tidak diketahui hak pemilikan.

5) Al-‘Adl: bermaksud keadilan. Adil dalam pemilikan yang diiktiraf syara’ melalui pertukaran, sumbangan atau pewarisan dan bukan melalui jalan rampasan/kezaliman. Keadilan juga dilihat dari aspek keadilan sosial dan tidak mendatangkan mudharat kepada pasaran.

Kemudian, penulisan buku ini berpindah kepada membincangkan secara ringkas mengenai harta, dari sudut fungsi dan pemilikannya. Perbahasan menjadi menarik dan unik berbanding buku-buku berkenaan harta yang lain adalah kerana penulis amat memfokuskan kepada ‘illah (sebab) sesuatu hukum yang berkaitan jual beli, riba dan syarikah dikeluarkan. Selepas itu, penulis membincangkan serba ringkas mengenai konsep maqasid dan aplikasinya dalam transaksi moden. Penulis telah memberikan beberapa kaedah/sudut pandang sebagai solusi untuk seseorang faqih/mujtahid mengeluarkan sesuatu hukum:

1) Qias ‘illah.
2) Rujukan semula nas-nas yang bercanggah dengan kaedah asal.
3) Menarik kembali zahir nas dengan ada pembuktian maqasid yang nyata.
4) Melihat kepada zar’iah atau maalaat.
5) Menetapkan jenis dan martabat hukum dengan jelas.
6) Mengambil kefahaman dari sudut pandang yang lain (mafhum mukhalafah).
7) Istihsan.
8) Membezakan antara maslahah muktabarah dan maslahah mulghah (akhaf dhororain).
9) Bezakan antara ritual ibadah dengan logic nas.
10) Diamnya nas menunjukkan keluasan.
11) Meraikan objektif akad dalam mentashih dan ibtal dengan syarat.
12) Perbezaan antara akad makruf dan sebaliknya.
13) Sesuatu ‘illah yang dikeluarkan tidak membatalkan hukum sarih.
14) Memahami konteks lafaz nas.
15) Mengambil kira dan fokus kepada maqasid am berbanding maqasid khas.

Bab kedua membincangkan mengenai  maqasid transaksi kewangan. Ia terbahagi kepada: maqasid am dan maqasid khas.

Maqasid Am:

1) Ibadah.
2) Ibtila’.
3) ‘Imarah.
4) Istikhlaf.
5) Keadilan.

Maqasid Khusus:

1) Rawaaj.
2) Wudhuh.
3) Hifz.
4) Thabat.
5) ‘Adl.

Bab ketiga pula membincangkan mengenai maqasid pengharaman sesuatu transaksi atau jual beli. Ibn Rushd telah menyimpulkan sebab-sebab pengharaman sesebuah transaksi dengan kaca mata maqasid:

1) Fizikal (‘ain).
2) Riba.
3) Kesamaran (gharar).
4) Syarat-syarat yang membawa kepada ketiga-tiganya atau sebahagiannya.

Penulis menegaskan amat penting seseorang faqih/mujtahid untuk membezakan antara maqasid dan wasail dalam menetapkan sesuatu hukum, kerana hukum itu sendiri mengandungi pelbagai peringkat dan bukan dalam satu level sahaja. Oleh itu, ia memerlukan ijtihad yang teliti dan kemas untuk menyelesaikan isu-isu baru yang timbul dalam transaksi moden. Sebagai contoh, Imam Fakhrurazi telah menyimpulkan maqasid pengharaman riba:

1) Riba mengambil harta tanpa berlakunya tukaran.
2) Riba menghalang manusia daripada merasai kepayahan bekerja dan mencari rezeki.
3) Riba mengakibatkan hubungan yang keruh sesama manusia disebabkan lambakan hutang.
4) Riba menyebabkan penindasan orang kaya ke atas orang miskin.

Seperti kebiasaan, penulis meletakkan beberapa kaedah asas untuk berinteraksi dengan maqasid:

1) Mengenal pasti maqasid asal pengharaman.
2) Maqasid yang dikenal pasti diyakini, jelas dan zahir.
3) Menetapkan darjat/peringkat maqasid.
4) Meneliti nas juzi’e.
5) Membuat timbang tara antara maqasid dan nas juzi’e.

Perbahasan buku menjadi lebih kritikal dan menarik selepas berpindah dari perbahasan-perbahasan umum kepada perbahasan-perbahasan yang lebih khusus.
Bab keempat dimulakan dengan memebentangkan beberapa sampel/contoh ijtihad yang bersandarkan maqasid (ijtihad maqasidi). Penulis menegaskan bahawa neraca yang digunakan adalah neraca yang menimbangkan antara maslahah dan mafsadah.

Pada bab kelima pula, penulis membincangkan dengan lebih terperinci mengenai beberapa isu kewangan kontemporari yang memerlukan kajian dan pemulihan daripada hukum fiqh. Beberapa isu telah dipilih melihat kepada kepentingannya:

1) Sewa yang berakhir dengan pemilikan sewaan oleh penyewa.

2) Pendirian tuan sewa terhadap perbuatan penyewa yang bercanggah dengan syara’.

3) Penyertaan syarikat yang pada asasnya halal, tetapi masuk ke dalam pelaburan yang haram.

4) Interaksi dengan syarikat yang menjalankan aktiviti halal, tetapi berinteraksi dengan bank konvensional.

5) Hukum melibatkan wang kertas (fiat money) dan perubahan harganya.

6) Permasalahan riba.

7) Ganti rugi ke atas kerosakan yang disebabkan oleh lambatnya pembayaran hutang.

8) Permasalahan inflasi.

9) Permasalahan insurans.

Buku ini wajar dijadikan bahan utama untuk diwacanakan dan dibincangkan dalam permasalahan ekonomi, kewangan dan perbankan yang dilihat melalui kaca mata maqasid. Selamat membaca!

Wednesday, 16 April 2014

Nifaq Seorang Daie

Nifaq seorang daie,
Adakah selari,
Lahirnya dengan hati?
Bukankah selalu dibacai,
Amat besar kemurkaan ilahi,
Bila cakapnya tak selari,
Dengan amalan peribadi.

Nifaq seorang daie,
Ketika di khalayak,
Kelihatan sungguh warak,
Bila bersendiri,
Hanya Allah sahaja mengetahui!
Tidakkah kau malu,
Bermaksiat kepada-Ku?
Lalu kau sembunyikan celamu,
Dari sekalian makhluk-Ku?!

Nifaq seorang daie,
Lagaknya bagai singa di siang hari,
Bergerak ke sana sini,
Tidak jemu menasihati,
Namun malamnya tidak diisi,
Dengan munajat kepada ilahi,
Culas, liat kerana alasan yang diberi,
Oh..sungguh letih pagi tadi!

Nifaq seorang daie,
Penampilannya sungguh kemas bergaya,
Rambutnya disikat rapi,
Kasutnya disapu kiwi,
Tapi,
Tengok rumahnya?
Tengok biliknya?
Tengok almarinya?
Eh..ini ke namanya daie?

Nifaq seorang daie,
Bila berprogram aktif sekali,
Usrah, daurah, muktamar, mukhayyam tiada yang terkecuali,
Namun banyak sekali alasan diberi,
Tatkala dimintai,
Membantu bonda yang dicintai,
Katanya ada lebih besar lagi,
Urusan yang perlu dihabisi,
Eh..dalil mana pula yang dipelajari?!

Nifaq seorang daie,
Tidak pantas seorang daie,
Punyai nifaq dalam diri,
Kerna tidak mungkin berkumpul dua hati,
Di dalam seorang daie,
Jika merasai,
Adanya penyakit nifaq ini,
Cepat-cepatlah lari,
Menuju ke mihrab suci,
Menyucikan hati,
Dalam perjalanan menuju ilahi.

Tuesday, 8 April 2014

Sabarlah Wahai Hati

Sabarlah wahai hati,
Andai hajatmu lewat dikabuli,
Mungkin ada hikmah besar yang mengiringi,
Menuntutmu duhai hati,
Agar bersangka baik kepada Ilahi.

Sabarlah wahai hati,
Perjalananmu masih jauh lagi,
Banyak yang perlu dikau renungi,
Juga koreksi,
Agar tidak tergelincir dari landasan ini.

Sabarlah wahai hati,
Ranjau badai yang mencengkami,
Menuntutmu untuk teguh berdiri,
Menghubungkan dirimu bersama Ilahi,
Pemilik mutlak langit dan bumi.

Sabarlah wahai hati,
Andai dikau seringkali diuji,
Pelbagai bentuk penyakit hati,
Bersegeralah menyucinya dengan cucian Ilahi,
Kelak tidak ditumbuhi,
Tompokan yang bakal menggelapkan hati.

Sabarlah wahai hati,
Bukankah sudah diketahui,
Perjalanan menuju Ilahi,
Penuh onak dan duri,
Menuntutmu duhai hati,
Agar teguh memauti,
Tali Ilahi,
Kelak tidak menyesal di kemudian hari.

Sabarlah wahai hati,
Sudahkah kau melupai,
Firman Ilahi,
Atau kau berpura-pura tidak menyedari,
Bahawasanya pahala sabar itu sentiasa dicukupi,
Bahkan jika Tuhan kehendaki,
Dia akan mengganjari,
Kesabaranmu ini,
Tanpa terhitung lagi,
Pada hari,
Harta dan anak pinak tiada manfaatnya lagi,
Melainkan yang menghadap Ilahi,
Dengan hati yang suci.

"Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula - Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera"  
(As-Syu'ara': 87-89)

Monday, 31 March 2014

Sebelum Kuterima Nikahnya

Sebelum kuterima nikahnya,
Kuharus bertanya,
Mengapa kuterima nikahnya?
Bagaimana persediaannya?
Fizikalnya?
Mentalnya?
Rohnya?

Sebelum kuterima nikahnya,
Kuharus sedar,
Aku bakal menggalas amanah yang besar,
Bukan sekadar,
Bercinta hingga ke syurga,
Tetapi amanah untuk memelihara keluarga,
Dari azab api neraka.

Sebelum kuterima nikahnya,
Kuharus koreksi,
Adakah cukup rekonstruksi diri?
Bagaimanakah prestasi?
Amal fardi?
Amal dakwi?
Kerna jika diri tak terisi,
Takkan mampu mengisi!

Sebelum kuterima nikahnya,
Kuharus terima dahulu,
Nikahnya kedua ibu bapaku,
Sudahkah diri ini,
Menyemai bakti?
Mendoakan tika malam hari?
Mengucupi dahi?
Ah...sungguh banyak noda,
Yang tak terkira,
Kubuat terhadap mereka.

Sebelum kuterima nikahnya,
Kuharus bertanya,
Adakah kusudah bersedia,
Menerima dan memikat mertua?
Luruskan niatnya,
Perbaiki komunikasinya,
Pelajari kemahirannya,
Kerna hati manusia Allah yang punya!

Sebelum kuterima nikahnya,
Kubermonolog sendiri,
Layakkah diri ini,
Menerima nikahnya nanti?
Ya Allah kuatkanlah hamba-Mu ini,
Tiada daya dan upaya,
Melainkan dengan izin Ilahi.

Credit: SaifulIslam@SejarawanUmat@UstHasrizal

2200, 31 MAC 2014
Irbid, Jordan

Monday, 10 February 2014

Islam: Revolusi terhadap Kezaliman

oleh: Dr Mu'taz Muhammad Zain (Penulis dan Pemikir yang banyak menganalisis pasca-revolusi Syria dan Revolusi Arab Springs secara keseluruhannya)

Pendahuluan

Islam merupakan 'revolusi nilai' sebelum perkara lain. Ia merupakan revolusi terhadap kezaliman, kediktatoran, perhambaan sesama manusia dan autokrasi. Ia juga adalah revolusi untuk menuntut keadilan, kesamarataan dan keamanan sosial. Di samping itu, Islam juga merupakan revolusi yang dibangkitkan oleh mustadh'afin (golongan yang tertindas) untuk menghadapi para taghut, revolusi mahrumin (golongan yang dihalang mendapatkan harta awam) terhadap mutrifin (para pengaut kekayaan) dan revolusi para hamba terhadap para penguasa. Dan, saya ingin tegaskan di sini bahawa perkara-perkara ini bukanlah satu ilusi ramuan yang sengaja saya sandarkan kepada Islam, tetapi ia adalah hakikat sebenar Islam itu sendiri seperti yang saya fahami! Saya akan menjelaskannya satu per satu.

Pembahagian autoriti

Inti-inti yang terdapat dalam Islam boleh dibahagikan kepada dua autoriti/sisi/skop utama yang saling melengkapi, iaitu:

1) Skop Horizontal

Merupakan hubungan individu dengan persekitarannya (manusia dan bukan manusia). Pada hemat saya, ini merupakan asas utama dalam agama dan ukurannya. Ia merangkumi seluruh cara pergaulan, nilai dan prinsip fitrah kemanusiaan yang diterjemahkan ke dalam zaman, tempat, negara, bangsa dan keturunan. (seperti membantu golongan tertindas, menentang kezaliman, membantu dan menghulurkan pertolongan kepada golongan miskin, lemah, tertindas dan memerlukan, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, keadilan, kesama rataan dan semua akhlak mulia dalam bersosial, ditambah lagi dengan nilai-nilai peribadi yang perlu dipraktikkan dalam bersosial seperti jujur, amanah, ikhlas, menepati janji, sabar, tidak mementingkan diri, kelembutan, baik hati dan pemurah)

2) Skop Vertikal

Merupakan hubungan individu dengan Allah s.w.t, merangkumi persoalan-persoalan aqidah dan ibadah.

Hubungan yang melengkapi

Hubungan antara kedua-kedua skop di atas saling melengkapi. Maka, kadar hubungan seseorang insan dengan Allah s.w.t semakin membesar dan meningkat sejajar dengan peningkatan kadar hubungannya dengan persekitarannya (vice versa), sebagaimana yang disebut dalam hadis:

Makhluk-makhluk adalah tanggungan Allah,  maka makhluk yang paling disukai Allah adalah yang paling bermanfaat terhadap makhuk lain

Namun, intipati utama agama dan ukuran anutan seseorang (di mata manusia) adalah pada skop yang pertama. Buktinya adalah ketika mana Nabi s.a.w mendahulukan nilai-nilai dan prinsip-prinsip akhlak sebagai intipati utama risalah baginda s.a.w, dan baginda tidak mengatakan ibadah-ibadah sebagai intipati utama!

Seperti mana yang sedia maklum, mana-mana pembawa risalah, mujaddid ataupun penyeru kepada gerakan pembaharuan akan menerangkan kepada masharakat apa intipati risalah yang ingin dibawanya, dan inilah yang dilakukan oleh baginda s.a.w. Sesungguhnya, pada awal dakwahnya, baginda s.a.w telah menyeru kepada prinsip keadilan dan kesama rataan, menolak kezaliman dan mengeluarkan masharakat dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan terhadap Allah s.w.t. Ajaran-ajaran ibadat pula datang selepasnya.

Semenjak permulaan zaman Umayyah sehingga kini (terdapat beberapa pengecualian), fokus terhadap skop yang pertama telah diabaikan secara beransur-ansur, dan sebabnya sangat banyak majoritinya sebab politik. Skop yang kedua pula dibesar-besarkan dan menjadi fokus utama. Perkara ini secara jelas dapat dilihat pada kerosakan-kerosakan dan keruntuhan nilai yang berlaku dalam bersosial dan berpolitik. Masharakat pula sangat takut kepada para penguasa yang menjalankan pemerintahan atas dasar kediktatoran, ditambah pula dengan sokongan daripada rijaluddin (Orang Agama) yang menggunakan nas-nas agama untuk menyokong tindakan para penguasa, dan kadang kala dimomokkan lagi dengan media yang menakut-nakutkan masharakat dengan momokan 'teroris'. Namun pada masa yang sama, para penguasa membuka ruang secara besar-besaran untuk mempraktiskan skop yang kedua, kerana kebanyakan natijahnya kembali kepada individu, dan kadangkala kembali kepada masharakat (tetapi dalam ruang lingkup yang sempit).

Kefahaman dan praktis yang popular sebegini telah menyebabkan majoriti masharakat pada hari ini menganggap bahawa ukuran pegangan agama sesorang hanya tertumpu kepada skop yang kedua (hubungan dengan Allah) semata-mata, dan langsung tidak mempedulikan skop yang pertama, yang merupakan (pada hemat saya) adalah usul dan hakikat utama agama Islam itu sendiri. Namun, janganlah disalah fahami daripada kenyataan saya ini dengan menduduh saya menyeru kepada pengabaian aspek-aspek ibadat! Saya beranggapan bahawa aspek ibadat adalah bekalan utama, ibarat minyak yang memacu perjalanan kehidupan masharakat.

Selain itu, amat kritikal untuk meneliti sikap penguasa terhadap agama dan nilai-nilainya sepanjang zaman, dan penelitian perlu dilihat dari aspek politik, bukan keagamaan. Hal ini kerana sikap penguasa dilihat sebagai politik, dan politik digerakkan oleh maslahat. Namun, agama (pada pandangan majoriti penguasa) hanya merupakan alat untuk merealisasikan agenda politiknya. Oleh itu, agama hanya 'candu' pada pandangan mereka.

Kesimpulannya, Islam merupakan pekikan golongan yang dizalimi terhadap golongan zalim, dan revolusi golongan yang tertindas untuk mengembalikan hak-hak insan. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memegang panji Islam hendaklah menyedari hakikat ini, dan mempraktikkan serta menyebarkan kefahaman yang sebegini agar penghayatan terhadap agama kembali suci, bersih dan murni. Jadi, setiap langkah yang cuba diambil oleh penguasa untuk melakukan kezaliman dan kediktatoran akan menjauhkannya lagi dari ikatan Islam, dan setiap pendirian yang benar bersama golongan yang tertindas dan dizalimi (tidak kiralah pegangan agama dan anutannya) lebih baik daripada ribuan khutbah, ceramah, buku dan boleh jadi lebih baik dari solat-solat sunat!

Monday, 13 January 2014

Prinsip Akhlak dan Dimanakah Kita?

Persoalan akhlak merupakan persoalan yang amat kritikal. Isu akhlak atau ethics tidak sepatutnya dipandang enteng pada zaman kini. Dengan lambakan media sosial, budaya intektual melalui wacana-wacana perbincangan isu semasa dan interaksi antara masyarakat berbilang kaum dan agama, paradigma ini sepatutnya dipandu dan dimurnikan supaya ianya selari dengan prinsip umum akhlak yang mulia. Kita tidak ingin melihat atau melahirkan sebuah masyarakat yang tinggi daya inteleknya atau popular disebut 'minda kelas pertama', tetapi akhlaknya atau etikanya tidak mencerminkan tahap intelektualnya. Kita inginkan sebuah masyarakat yang disebut dalam peribahasa melayu: Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Syeikh Muhammad Al-Ghazali menerangkan di dalam muqaddimah bukunya, 'Akhlak Muslim' bahawa rukun Islam mempunyai hubung kait yang amat kuat dengan prinsip akhlak. Perkara ini ditegaskan dengan nyata oleh Rasulullah s.a.w dengan menyatakan tujuan utama risalah baginda dan metod dakwah baginda sepertimana disebut di dalam hadis:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak. 
(Riwayat Malik di dalam Muwatta')

Oleh itu, risalah baginda yang telah bertapak di dalam sejarah, dan perjuangan para sahabat untuk menyebar luaskan risalah ini dan mengumpulkan manusia ke dalamnya tidak lain adalah bertujuan untuk mengukuhkan, meluruskan dan melengkapkan sikap mulia yang sedia ada dalam masyarakat supaya mereka mampu mengamalkannya di atas basirah (pedoman).

Begitu juga dengan ibadah-ibadah yang disyariatkan. Pensyariatan ibadah ini bukan sekadar musim-musim atau syiar-syiar kosong yang menghubungkan manusia dengan benda ghaib yang tidak dikenali, ataupun membebankan mereka dengan bebanan amal yang samar-samar, ataupun sekadar pergerakan  yang tidak bermakna! Sesungguhnya ibadah-ibadah tersebut adalah latihan-latihan berterusan untuk membiasakan manusia hidup dengan akhlak yang terpuji dan berpegang teguh dengannya walau apa pun yang terjadi.

Dalil-dalil yang jelas di dalam Al-Quran dan Hadis telah menyebut maqasid (tujuan) utama pensyariatan ibadah-ibadah fardhu yang merupakan rukun Islam:

1) Solat. Firman Allah:

Sesungguhnya (maksud) solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut:45)

Menjauhi perbuatan keji dan membersihkan diri dari maksiat merupakan hakikat sebenar solat. Di dalam hadis qudsi, Allah berfirman:

Sesungguhnya Aku akan menerima solat hamba yang merendah diri terhadap kebesaranKu, tidak berbuat keburukan ke atas makhlukKu, tidak tidur dengan berterusan melakukan maksiat, meluangkan waktu siang dengan mengingatiKu, dan mengasihi orang miskin, ibnu sabil, ibu tunggal dan orang ditimpa musibah. 
(Hadis riwayat Al-Bazzar)

2) Zakat. Kefardhuan zakat bukanlah ibarat cukai yang diambil dari poket kita semata-mata. Sesungguhnya ia menanamkan nilai kasih sayang, kebersamaan dan ikatan yang kukuh antara semua lapisan masyarakat. Al-Quran sendiri telah menjelaskan maqsad (objektif) pengeluaran zakat:

Ambillah zakat dari sebagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan diri mereka. (At-Taubah: 103)

Dengan itu juga, Rasulullah s.a.w sendiri telah meluaskan konsep kesyumulan sedekah di dalam hadis baginda:

Senyuman kepada saudara kamu adalah sedekah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran adalah sedekah, membimbing orang yang sesat adalah sedekah, membuang benda kotor, duri dan tulang belulang di jalanan adalah sedekah, memenuhkan bekas saudara kamu adalah sedekah, memimpin orang buta berjalan adalah sedekah. 
(Hadis riwayat Bukhari)

Kefahaman konsep sedekah sebegini tidak terhad kepada pengeluaran harta dan diberi kepada orang lain, tetapi merangkumi segala bentuk moral yang baik disumbangkan untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain.

3) Puasa pula bukan sekadar suruhan untuk menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi juga menahan dan mengawal diri dari melakukan akhlak-akhlak yang buruk. Di dalam Al-Quran, dijelaskan tujuan utama pensyariatan puasa iaitu, Taqwa (Al-Baqarah: 183). Rasulullah s.a.w juga menyebutkan maqasid (objektif) puasa di dalam banyak hadis, antaranya:

Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan berbohong, maka Allah tidak berhajat untuk mengganjarinya atas usahanya meninggalkan makan dan minum. 
(Hadis riwayat Bukhari)

Puasa itu bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga, tetapi juga menahan diri dari perbuatan keji dan sia-sia.
(Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

4) Ibadah haji pula bukan sekadar permusafiran muslim ke tanah suci untuk melakukan ibadah ritual, ataupun berhijrah meninggalkan segala hiruk-pikuk kehidupan untuk beribadah secara total kepada Allah, tetapi ia bermatlamatkan untuk memandu dan mengamalkan nilai akhlak yang mulia. Sepertimana yang disebutkan di dalam Al-Quran:

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaipan meminta sedekah) dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Al-Baqarah: 197)

Secara umumnya, akhlak merupakan sifat dalaman pada diri seseorang yang dizahirkan ke luar. Tokoh ilmuwan moden, Syeikh Abdullah bin Bayyah menyifatkan keadaan zaman ini adalah 'keadaan yang gila/buas'. Beliau juga menegaskan bahawa prinsip akhlak yang asas merupakan fitrah dan dimiliki oleh semua, samada muslim atau bukan muslim. Beliau juga antara tokoh yang menyeru supaya masyarakat pada hari ini mengambil berat dan mempraktiskan 'nilai akhlak yang global', bagi melahirkan sebuah masyarakat yang harmoni, bertolak ansur dan bekerjasama untuk pembangunan sebuah tamadun yang lebih baik.