Pages

Thursday, 19 December 2013

Pelaksanaan Shariah dalam Masyarakat yang Bebas

* terjemahan artikel  yang ditulis oleh Dr Muhammad bin al-Mukhtar As-Syanqiti yang disiarkan oleh laman web Al-Jazeerah pada 12 Safar 1435 bersamaan 16 Disember 2013 

Selepas revolusi Arab Spring, isu pelaksanaan shariah bukan lagi semata-mata dianggap teori, bahkan ia merupakan isu praktikal yang perlu dicarikan titik persefahaman dengan kerendahan hati, mengeluarkannya dari daerah perbalahan dan perselisihan serta dari slogan/retorik politik kepada medan praktikal. Antara hasil penting yang dapat diambil dari Arab Spring, ia telah mengalihkan perdebatan sekitar pelaksanaan shariah kepada memahami makna shariah itu sendiri. Peningkatan suasana dialog yang baru bagi membincangkan isu ini amatlah diperlukan kini agar dapat mengelakkan kita dari mengulangi kesalahan yang sama. Artikel ini, dengan izin Allah sedikit sebanyak cuba untuk menghilangkan kekusutan dan kesamaran yang berlaku dalam isu ini.

Bilamana bercakap soal pelaksanaan shariah, masharakat pada hari ini secara umumnya terbahagi kepada dua sekolah pemikiran: Sekularis yang beranggapan shariah merupakan lawan kepada kebebasan dan Salafis yang beranggapan kebebasan lawan kepada shariah. Sekularis telah menjadikan wahyu agama sebagai bahan sejarah yang tidak perlu dirujuk; ini tidak syak lagi mustahil diterima dalam islam, manakala Salafis pula telah menjadikan sejarah sebagai wahyu agama yang wajib dirujuk; ini pula mustahil diterima prinsip kemanusiaan! Oleh itu, kedua-dua kemustahilan ini telah menyebabkan penolakan dan penutupan pintu untuk pelaksanaan shariah.

Sekularis dan Salafis pada permulaannya bertelingkah dalam isu pelaksanaan shariah, tapi akhirnya mereka sama-sama menjadi kuli kepada kuasa asing! Salafis mendakwa hendak menjaga shariah dengan menghadkan islam kepada gambaran sejarah semata-mata, dan menghukum segala perkara baru dari kaca mata salaf, seolah-olah apa-apa perkara yang tiada contohnya dalam sejarah adalah anak pembunuh! Sekularis pula telah mengambil pendekatan yang sangat jauh dari nilai islam, iaitu pemisahan secara total antara kehidupan agama dan dunia. Pembahagian ini jelas tidak diiktiraf oleh Islam kerana Islam adalah agama yang menyatukan dua kombinasi tauhid; tauhid kepada Allah dan tauhid dalam kehidupan. Sepertimana yang dinukilkan dari seorang pemikir agung, Alija Izetbegović (bekas Presiden Bosnia): “Al-Quran telah menyatukan antara realiti yang berlaku pada masa lampau dengan iktibar yang boleh dijadikan contoh bagi zaman semasa.”

Masharakat kita pada hari ini sangat memerlukan kepada satu pendirian yang adil dan jelas terhadap mafhum dan tatacara pelaksanaan shariah, dengan menghormati prinsip kebebasan dan kemuliaan insan tanpa adanya double-standard dan kekeliruan. Sesungguhnya kombinasi yang tepat antara shariah dan hurriah (kebebasan) merupakan aspek yang dianggap sangat penting untuk dilaksanakan, agar ia menjadi asas kepada kesepakatan nilai moral dan intelektual antara Salafis dan Sekularis yang dapat mengeluarkan masharakat dari keruntuhan moral serta membuka satu ruang perdamaian yang menjadi kebanggaan sejarah. Walaubagaimanapun, timbul satu halangan utama yang menghalang kesepakatan nilai moral ini berlaku; iaitu lemahnya mafhum pelaksanaan shariah dalam kalangan pendokongnya dan sikap mereka yang tidak terbuka dalam memahami konsep pelaksanaan shariah yang menuntut kombinasi antara shariah dan hurriah. Sekularis pula tidak habis-habis bermain di ruang legar falsafah dan kayu ukur yang diambil dari kebudayaan dan sejarah masharakat arab dan islam masa lampau. 

Sesungguhnya perkara ini memerlukan satu perbahasan yang panjang untuk dihuraikan, dan dalam tulisan ini kami sekadar memaparkan satu prinsip asas yang bersifat umum sebagai permulaan kepada kombinasi yang sihat antara shariah dan hurriah:

Pertama: Keperluan memulakan langkah dengan satu teori yang jelas terhadap intipati agama dan tabiatnya; kerana kita melihat masharakat arab merupakan satu bangsa yang merangkumi sebilangan besar umat islam, tetapi amat sedikit yang serius ingin memahami agama. Falsafah sekular pula telah menghadkan agama kepada 3 unsur: Aqidah, Ibadah dan relatif penciptaan (penceritaan asal usul insan, keperluan fizikal dan hala tuju manusia), sebahagian mereka pula menganggap akhlak bukan unsur utama dalam agama. Perundangan pula pada pandangan mereka terpisah jauh dari ruang lingkup agama. Latar belakang dari pemikiran mereka ini adalah kerana mereka memandang ke zaman gelap masharakat eropah yang berpunca dari praktis gereja pada waktu itu. Sesungguhnya islam yang sepatutnya difahami adalah islam yang yang menyeluruh merangkumi kesemua aspek dalam kehidupan, tambahan dari 3 aspek tersebut termasuklah nilai perundangan, politik, ekonomi dan sosial. Kefahaman agama yang sebeginilah yang seharusnya difahami dan diiktiraf oleh semua aliran pemikiran.

Kedua: Keperluan membina kefahaman shariah daripada terminologi Al-Quran yang merangkumi seluruh intipati agama. Sesungguhnya kalimat shariah yang digunakan untuk konteks ini hanya terletak pada satu tempat dalam Al-Quran: 

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الأمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ 

"kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu shariah dari urusan (agama itu), Maka ikutilah shariah itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui" 
(Al-Jaathiyah:18)

Kata At-Tabari, yang dinukilkan daripada Abu Zaid mengenai tafsir ayat ini: “Shariah yakni Agama”. Dan makna umum dalam ayat ini juga difahami oleh Abu Bakar Al-Ajiri (wafat 360) yang menamakan tulisannya dalam aqidah sebagai “Shariah”, dan Ar-Raghib Asfahany (wafat 500) pula telah menamakan kitabnya “Pintu kepada kemuliaan shariah”, yang berkisar tentang aspek akhlak. Yang menariknya dalam keua-dua kitab yang disebutkan, mereka telah menggunakan perkataan shariah bukan untuk menyatakan perundangan dan hukum fiqh. Oleh itu, jika difahami shariah dalam erti kata yang digunakan secara meluas oleh Al-Quran, kita mendapati bahawa dakwaan yang dibuat oleh segolongan islamis yang mendakwa pelaksanaan shariah tiada langsung dalam masharakat pada hari ini adalah tidak tepat; kerana masih ada sebahagian umat islam yang menjaga ibadah dan akhlak mereka secara umum, dan ia masih berada di dalam ruang lingkup shariah dalam terminologi Al-Quran. Namun, kita mendapati pemisahan nilai shariah secara jelas terdapat dalam dua keadaan:
  • Prinsip syura dalam pengamalan politik dan penggubalan undang-undang, nilai keadilan dan kebebasan, cara urus jawatan dan harta awam yang merupakan amanah bukan harta peribadi dan sebagainya. Sesungguhnya pemisahan ini bukanlah perkara baru yang berlaku, malahan ia telah wujud sejak setengah kurun pertama hijrah (50 H), dan ia bukan dilakukan oleh penjajah barat tetapi dilakukan sendiri oleh umat islam; saya telah memperincikannya di dalam buku saya yang bertajuk ‘Khilaf Politik dalam kalangan Sahabat Nabi s.a.w’. Sesungguhnya prinsip inilah yang sepatutnya diambil berat berbanding cabang-cabang kecil perundangan, kerana perundanganlah yang terbentuk dari nilai ini; jika rosak nilai ini, maka ia akan menjadi lebih parah dari kerosakan perundangan.
  • Terdapat sebahagian perundangan yang dipisahkan secara jelas dari nilai shariah, khususnya kanun jenayah dan sebahagian kanun keluarga dan harta pada perundangan sebahagian negara. Tidak ragu lagi, pemisahan ini telah dilakukan oleh penjajah barat. Namun yang memelikkan, jiwa umat Islam lebih terkesan dengan perbuatan penjajah ini berbanding apa yang dilakukan oleh pemimpin muslim sendiri pada masa lampau (yakni keruntuhan nilai utama-pent); sebabnya umat islam pada hari ini lebih sensitif terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain berbanding menyemak kesalahan yang dilakukan oleh muslim sendiri. Hal ini adalah kerana prinsip dan nilai perundangan lebih patut diberi perhatian berbanding cabang-cabangnya, malahan ia merupakan asasnya yang utama dan tiada makna dalam perundangan sesuatu negara yang mengabaikan prinsip dan nilai utamanya.
Ketiga: Keluar dari minda dwi-kanun/binary: kanun shariah dan kanun kufur/buatan manusia; hal ini adalah kerana minda dan kefahaman majoriti pelaung shariah hanyalah berkisar dalam syiar-syiar dan retorik politik, tanpa memikirkan praktikaliti dan idealnya. Pemikiran seperti ini boleh menatijahkan kepada sikap menghukum kanun yang dipraktikkan di barat sebagai ‘perundangan buatan manusia yang kufur’, dan meletakkanya sebagai perundangan yang berlawanan secara total dengan shariah islam. Perkara ini juga berpunca daripada pandangan Salafis yang sentiasa mencampuradukkan setiap urusan dengan masalah iktikad. Sesungguhnya, jika ingin keluar dari kepompong pemikiran ini (secara jelas akan memudaratkan praktikaliti pelaksanaan shariah), kita perlu ada kesedaran bahawa islam telah memberi garis panduan yang jelas, lengkap dan menyeluruh dalam sesebuah reform. Nabi Muhammad s.a.w sendiri diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak, bukan hanya menulis di atas sebuah kertas kosong atau menghancurkan nilai-nilai yang terdapat dalam sesebuah masharakat dan memulakan pembinaan dari kosong. Sepertimana juga kita perlu menyedari bahawa shariah bukan sekadar fiqh atau perundangan semata-mata, malahan ia merupakan asas kepada perundangan dan fiqh. Oleh itu, sesebuah perundangan dan fiqh boleh berubah tanpa mengubah shariah, dan tidak semestinya keseluruhan perundangan mesti ada dalam nas syarak bulat-bulat untuk menjadikan perundangan itu perundangan islam. Semua perundangan yang mencapai maslahah yang diiktiraf oleh syarak dan tidak bercanggah dengan nas syarak adalah sebahagian daripada shariah.

Sesungguhnya prinsip seperti ini telah ditegaskan oleh seorang ‘alim Mauritania pada kurun ke-20 iaitu Syeikh Muhammad Salim Abdul Wadud rahimahullah: “Apa yang diperlukan pada zaman ini bukan taqnin fiqh (menafsir fiqh sesuai dengan perundangan), tetapi tafqih qanun (menafsir perundangan ikut acuan fiqh).” Ungkapan ini bermaksud, kita perlu menapis perundangan yang sedia ada (tidak kiralah dari mana asasnya) dengan tapisan syarak; kerana kanun yang dinamai wadhie (buatan manusia) tidaklah bercanggahan secara total dengan nas syarak, malahan sebahagian daripadanya sebenarnya mencapai maslahah dan menepati maqasid (objektif) syarak dalam menjaga aqidah, jiwa, harta dan maruah. Maka tidak sepatutnya ia dibuang ke dalam tong sampah atau dihukumkan kufur secara sembarangan. Berdasarkan percanggahan yang berlaku dalam kalangan islamis, kepelbagaian masdar (sumber) perundangan bukan bermakna kesemuanya bercanggahan dengan shariah. Jika kita amati sirah, dustur madinah (perlembagaan madinah) sendiri telah mengiktiraf sistem ‘aqilah yang dipraktiskan oleh kabilah-kabilah arab jahiliah dan menjadikannya sebahagian dari fiqh islam. Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah memuji kerajaan Najasyi di Habsyah (kerajaan nasrani). Jadi, tidak menjadi masalah jika perundangan islam diambil dari uruf dan adat masharakat setempat atau negara bukan islam dengan syarat tidak bercanggahan dengan prinsip syarak. Ibnu Qayyim telah berkata: “Apa-apa wasilah/jalan yang boleh membawa kepada kebenaran dan keadilan mestilah dilaksanakan.” (I'lam Muaqqi'in 4/373)

Keempat: Keperluan membezakan antara akhlak dan perundangan daripada shariah; dan ini merupakan punca utama kekeliruan yang berlaku dalam wacana intelek kontemporari. Sesungguhnya shariah (dalam terminologi Quran yang telah disebutkan) merangkumi aspek kepercayaan, ibadah dan akhlak yang merupakan hak Allah yang tidak mungkin diambil alih oleh sesiapa pun. Seperti mana aspek perundangan yang merupakan hak rakyat yang memerlukan kuasa untuk dilaksanakan. Oleh kerana di dalam shariah, aspek akhlak daripada lebih luas dari aspek perundangan, maka campur tangan negara tidaklah diperlukan dalam kuantiti yang besar. Ini juga memerlukan satu formula keseimbangan had terendah taqnin dan had tertinggi hurriah, tetapi pemikiran yang menguasai umat islam pada hari ini adalah campur aduk antara tanggung jawab individu, kuasa masharakat dan paksaan kerajaan. Oleh sebab itulah kita mendapati kebanyakan penguasa masuk campur dalam urusan kehidupan rakyat dengan berselindung di bawah nama agama: seperti iktikad, ibadah dan akhlak peribadi yang tidak memudaratkan orang lain, dan dalam masa yang sama mereka mengabaikan aspek yang lebih penting iaitu memelihara maslahah rakyat, mengamalkan prinsip adil dan tidak berlebihan dalam jawatan dan harta. Sesungguhnya sikap pemerintah yang korup sebegini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w: 

سيكون أمراء من بعدي يقولون ما لا يفعلون، ويفعلون ما لا يؤمرون، فمن جاهدهم بيده فهو مؤمن، ومن جاهدهم بلسانه فهو مؤمن، ومن جاهدهم بقلبه فهو مؤمن، لا إيمان بعده

"Akan datang para penguasa selepas aku, di mana mereka bercakap perkara yang tidak dilakukan, tetapi mereka melakukan perkara yang tidak disuruh untuk dilakukan. Barangsiapa yang berusaha melawan mereka dengan tangan maka dia adalah mukmin, barangsiapa yang melawan mereka dengan lisan maka dia adalah mukmin, barangsiapa yang melawan mereka dengan hati maka dia adalah mukmin, tiada keimanan lagi setelah itu." (disohihkan oleh Al-Albaani di dalam Mawarid Zamaan 'ala Sohih Ibn Hibban)

Sesungguhnya kita telah melihat dalam sebahagian praktis pemerintah zaman moden yang memaksa denda jika tidak menutup kedai mereka pada waktu solat, atau makan di tempat awam pada bulan ramadhan dan sebagainya yang tiada sandarannya dalam nas syarak atau praktis nabawi. Perkara ini termasuk dalam kebebasan manusia, dan lebih parah ia mengakibatkan kerosakan moral terhadap praktis akhlak yang menyebabkan tersebarnya sifat nifaq dan riya’ dalam agama. Sesungguhnya pegangan agama tanpa kebebasan adalah perhambaan sesama manusia, bukan perhambaan kepada Allah. Pegangan agama yang sebenar lahir dari jiwa yang suci dari nifaq, bukan paksaan dari makhluk.

Kelima: Masharakat/Rakyat yang merupakan sasaran utama hukum islam dilaksanakan berkaitan kehidupan mereka dalam ruang lingkup umum, atau dengan kata lain mereka adalah pemegang amanah shariah dan merekalah sepatutnya yang membuat keputusan akan keperluan diimplementasikan perundangan dan cara pelaksanaannya, manakala penguasa hanyalah sebagai wakil bagi rakyat, sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Al-Haramain Al-Juwaini: 

فالمسلمون هم المخاطبون، والإمام في التزام أحكام الإسلام كواحد من الأنام، ولكنه مستناب في تنفيذ الأحكام

"Umat Islam/Rakyat secara keseluruhan adalah mukhatab (yang dimaksudkan dalam perundangan). Imam/Penguasa dalam mematuhi perundangan sama sahaja dengan rakyat, tetapi mereka hanyalah diwakilkan untuk melaksanakan perundangan." (Ghiyathul Umam hal. 276)

Maka, penguasa muslim tidaklah diwajibkan untuk melaksanakan sebahagian perundangan shariah yang tidak diterima oleh rakyat (tanpa penjelasan), dan ia bukan juga termasuk dalam kebijaksanaan politik. Jika rakyat akur dengan hukum tersebut, maka itulah kewajipan pemerintah dan jika mereka tidak redha dengn sebahagiannya, maka pemerintah tersebut telah melakukan dosa yang hanya akan dibalas Allah. Hal ini kerana rakyat tidak sepatutnya dipaksa, dan kepada daie/penyeru yang ingin melaksanakan shariah wajib ke atas mereka menjelaskan dan memberi kefahaman dengan terperinci berkenaan hukum shariah, bukan dengan cara paksaan walaupun mereka mempunyai kuasa politik dan ketenteraan. Cabang daripada prinsip ini ialah keperluan memelihara suasana politik dalam sesebuah negara, dan tabiat peringkat-peringkat perubahan umur umat yang kadangkalanya disampingi keganasan dan kacau bilau. Sebagai contoh, boleh sahaja teks dalam perundangan diubah sedikit berdasarkan suasana politik, sosial dan intelektual masyarakat (seperti asas utama atau satu-satunya asas perundangan…). Kesediaan dan penerimaan rakyat terhadap hukum shariah juga perlu diambil kira bagi memelihara perpindahan yang sejahtera daripada kediktatoran kepada kebebasan, sebagai mengambil sunnah tadarruj yang dilakukan pada zaman wahyu dan negara islam di madinah.

Keenam: Demokrasi merupakan contoh praktikal yang difahami secara salah dalam sejarah. Jika teori dan praktisnya dilaksanakan dengan betul, sebenarnya ia merupakan jalan yang membawa kepada pelaksanaan cabang-cabang shariah dalam kehidupan manusia kini dengan manhaj pendidikan yang bijaksana dalam memelihara kematangan suasana dan kesediaan masharakat, dengan syarat semua orang faham untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan pilihan mereka dihormati. Oleh itu, langkah pertama untuk melaksanakan shariah ialah membina negara demokrasi yang bebas, penguasa dipilih melalui pilihan raya, kedudukan pemerintah dan rakyat sama di sisi perundangan, segala bentuk kediktatoran dan korupsi diperangi serta persamaan hak dan kewajipan sesama masharakat tanpa mengira agama, mazhab, keturunan atau bahasa. Politik yang berlandaskan shariah ialah pelaksanaan shariah yang paling utama, dan perundangan serta persamaan semua orang di sisi perundangan sepatutnya mendahului jenis perundangan dan dasarnya. Oleh itu, apa-apa pelaksanaan shariah yang tidak ada sandaran yang kukuh, atau tidak meraikan situasi masa dan tempat, atau tidak bertepatan dengan kesediaan manusia serta kematangan mereka akan menjadikan perundangan shariah nampak berlawanan dengan nilainya sendiri, sebagaimana yang sepatutnya perundangan mestilah mendahulukan nilai bukan sebaliknya. Sesungguhnya hukum Allah bukanlah semata-mata ibarat Syeikh yang diturunkan dari langit, tetapi ia merupakan satu pilihan yang merupakan hak sebuah masharakat yang bebas, yakin dengan Allah sebagai tuhan, islam sebagai jalan hidup dan Muhammad sebagai nabi dan rasul.

Kesimpulannya, pelaksanaan shariah dalam masharakat majmuk memerlukan:
i)                    Kefahaman intipati shariah berdasarkan terminologi Quran yang luas
ii)                   Mengutamakan nilai yang menyeluruh berbanding perundangan yang bersifat minor
iii)                 Kesedaran secara terperinci tentang aspek yang lumpuh tanpa menghukum secara sama rata atau dendam kesumat
iv)                 Mengiktiraf dan menyedari kesilapan yang berlaku dari sejarah sendiri dan kesilapan yang diwarisi turun-temurun berbanding asyik menyalahkan penjajah dan negara barat
v)                   Membezakan antara elemen yang kekal dan elemen sejarah dengan aspek yang diwarisi agama
vi)                 Segera memandang ke depan daripada terlalu rigid dengan masa lampau dengan menjaga nilai kebaikan sesama muslim dan masharakat lain

Akhir sekali, kita amatlah memerlukan satu modernisasi ke arah islam, bukan berundur ke belakang atas dakwaan keaslian islam, seperti firman Allah s.w.t:

لِمَنْ شَاءَ مِنْكُمْ أَنْ يَتَقَدَّمَ أَوْ يَتَأَخَّرَ 

"iaitu bagi sesiapa di antara kamu yang ingin maju atau mundur" (Al-Muddathir:37)

Semoga Allah memenangkan shariah ke atas ‘Pendokong Shariah’ dan memenangkan agama ini ke atas ‘Pendokong Agama’. (huruf besar menandakan pendokong yang menggunakan agama atas kepentingan tertentu)

* Beliau merupakan ilmuwan muda, penyelidik, penyair dan penganalisis politik dari Mauritania. Fokusnya dalam bidang fiqh politik, sejarah politik dan hubungan alam islami-barat. Beliau telah mendapat ijazah dalam hafazan Quran, sarjana muda dalam Fiqh dan Usul, sarjana muda dalam terjemahan 3 bahasa (Arab, Inggeris dan Perancis), sarjana dalam pengurusan perniagaan di Universiti Selatan Colombia di Alabama, sarjana dan kedoktoran dalam bidang sejarah da nasal usul agama di Universiti Texas. Kini, bertugas sebagai penyelidik dan pensyarah di Akademi Pengajian Islam di Qatar. Beliau juga merupakan Ketua bahagian penyatuan etika politik di CILE (Center for Islamic Legislation and Ethics).


No comments:

Post a Comment