Pages

Tuesday, 31 December 2013

Kewajipan Memperbaiki Kemungkaran dalam Politik

Terjemahan fatwa Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi yang disiarkan di dalam laman web beliau
Perbahasan mengenai golongan yang berdiam diri dari mencegah kemungkaran dan mengambil pendirian yang negatif (tiada usaha mencegah) terhadap pelakunya; samada pemimpin atau rakyat di dalam Al-Quran dan Hadis merupakan satu perbahasan yang sepatutnya menggoncangkan hati-hati orang yang ada kesedaran iman di dalam hatinya walaupun sebesar biji sawi.

Firman Allah:

Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan ‘Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu. [1]

Sabda Rasulullah s.a.w:

Barangsiapa dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tak mampu ubahlah dengan lisan, jika tak mampu ubahlah dengan hati. Dan mengubah dengan hati adalah selemah-lemah iman [2]

Dalam membahaskan isu mencegah kemungkaran ini, sering berlaku salah faham dalam kalangan masharakat pada hari ini yang hanya menganggap arahan Allah dan Rasulullah hanya terhad bagi mereka yang melakukan dosa besar seperti minum arak dan berzina.

Sesungguhnya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin pada hari ini tidak patut diambil ringan oleh para reformis dan islamis. Kemungkaran mereka sangat besar kerana bukan sahaja melibatkan individu, tetapi memberi kesan kepada kebebasan dan kemuliaan rakyat secara keseluruhan. 

Antara kemungkaran yang kita dapati ialah:

1) Mengambil mudah atau mengabaikan karamah (kemuliaan) insan
2) Penipuan dalam pilihan raya, dan membuat penyaksian atau sumpah palsu demi memenangi pilihan raya
3) Menyerahkan urusan kepimpinan kepada yang tidak berkelayakan (mengutamakan kroni)
4) Merompak dan menyeleweng harta rakyat
5) Memonopoli barangan keperluan demi kepentingan peribadi atau kroni
6) Melakukan tangkapan dan penahanan tanpa alasan yang munasabah, dan dibicarakan tanpa asas
7) Menyeksa tahanan di dalam penjara
8) Memberi dan menerima rasuah
9) Memegang tampuk kepimpinan melalui cara yang batil
10) Menceroboh, meruntuh dan merobohkan rumah-rumah ibadah
11) Bersekongkol dengan golongan kafir (yang zalim) demi kepentingan tertentu

Oleh itu, kita melihat skop kemungkaran sangat besar apabila dilihat pada realiti politik masa kini. Jadi, adakah patut seseorang muslim yang waras, berpegang teguh dengan agama dan bercita-cita untuk mendapat redha Allah mengambil pendirian untuk berdiam diri dari kemungkaran-kemungkaran tersebut atas alasan menjamin keamanan, kesejahteraan dan kebaikan?

Sesungguhnya roh pemikiran yang sebegini secara tak langsung telah menyebabkan hilangnya tujuan risalah islam dan menjadi tak releven buat masa kini. Bukankah Allah telah berfirman:

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik [3]

Jika perkara ini difahami oleh muslim, tidak peliklah jika kita menjumpai hadis-hadis Rasulullah mengenai perkara ini, seperti sabda baginda:

Jika kamu melihat umatku takut untuk berkata di hadapan orang yang zalim: Wahai orang zalim!, maka hendaklah diucapkan selamat tinggal padanya (yakni dia telah hilang keahlian untuk hidup!) [4]

Sesungguhnya, seorang muslim yang benar imannya tidak seharusnya berdiam diri daripada apa jua bentuk kemungkaran: samada kemungkaran politik, ekonomi, sosial, intelektual dan kebudayaan. Hendaklah berusaha untuk mencegah/merubah kemungkaran mengikut kemampuan: samada dengan tangan atau kekuasaan, dengan perkataan atau penerangan, ataupun dengan hati. Rasulullah menamakan cara perubahan yang terakhir dengan hati, dengan makna tidak meredhainya dengan sepenuh hati dan perasaan serta menjaga dirinya dan keluarganya dari kemungkaran tersebut. Jikalau tidak, Rasulullah tidak akan menyebutnya sebagai perubahan.

Oleh itu, tidak mustahillah jika perasaan yang sebegini (hati yang tidak redha dengan kemungkaran) mencetus revolusi atau kebangkitan rakyat seperti yang berlaku di kebanyakan negara pada hari ini. 

Selain hadis di atas yang menamakan proses pencegahan dengan terminologi taghyir, terhadap hadis yang lain yang menggunakan terminologi jihad, seperti hadis: 

Tidaklah Allah mengutuskan seorang Nabi dalam sesebuah umat melainkan mereka akan diuji, dan terdapat hawariyyun (pembantu) yang akan berdiri bersama-sama Nabi tersebut dan mengikut sunnah serta arahan mereka. Kemudian, datang umat selepasnya yang mana mereka bercakap perkara yang tidak dilakukan, tetapi mereka melakukan perkara yang tidak disuruh untuk dilakukan. Barangsiapa yang berusaha melawan mereka dengan tangan maka dia adalah mukmin, barangsiapa yang melawan mereka dengan lisan maka dia adalah mukmin, barangsiapa yang melawan mereka dengan hati maka dia adalah mukmin, tiada keimanan lagi setelah itu walau sebesar biji sawi [5]

Akhir sekali, timbul persoalan: Bagaimana jika seseorang individu tidak berupaya untuk mencegah kemungkaran tersebut berseorangan? Dan pelaku kemungkaran (dalam kalangan pemimpin) telah melampau dan berlebihan (sesuka hati) melakukan kemungkaran? 

Persoalan ini mengingkatkan kita kepada peribahasa: Harapkan pagar, pagar makan padi! Ataupun syair arab yang mengatakan: Pengembala kambing bertanggungjawab memelihara ternakannya dari seekor serigala, bagaimana pula dia mahu memelihara ternakannya dari sekelompok serigala? 

Tanpa syak lagi, persoalan ini menuntut kerjasama yang padu dalam kalangan segenap lapisan masharakat untuk melakukan perubahan atau pencegahan kerana kerjasama dan tolong-menolong untuk melakukan kebaikan dan ketakwaan adalah tuntutan islam. Kerjasama ini boleh berlaku melalui institusi-institusi kerajaan dan bukan kerajaan, parti-parti politik, dan apa sahaja saluran yang ada bagi menjamin keadilan, kebebasan dan kemuliaan masharakat.

-------------------------------
[1] Al-Maaidah: 78-79
[2] Hadis dari Sa'id Al-Khudri riwayat Muslim dan lain-lain
[3] Ali Imran: 110
[4] Hadis dari Abdullah bin Amru riwayat Ahmad
[5] Hadis marfu' dari Ibn Mas'ud riwayat Muslim

No comments:

Post a Comment